CHAPTER 53

3.4K 222 9
                                    

TURUN SAJA dari tingkat atas, tapak kaki yang bergerak berhenti. Tubuh yang tinggi lampai itu tertegun langkahnya pada anak tangga yang terakhir. Anak mata yang hitam kepekatan terhala pada arah ke ruangan makan. Wajah Tuan Rewis itu, Reis renung beberapa ketika.

Rancak berbalas kata bersama Tuan Arther, ayah saudaranya.

Reis lupa. Rumah agam itu masih merupakan tempat tinggal untuk ayahnya. Tambahan, mendiang Datuk Ichard sudah beberapa bulan meninggal dunia. Tiada sesiapa ingin menghalang Tuan Rewis dari menetap di rumah itu juga.

Tanpa disedari, tegang kelihatan rahang Reis yang mengetap.

"Reis, kenapa berdiri dekat sini? Jomlah breakfast." Muncul Della yang tertinggal beberapa langkah di belakang. Dia yang menyuruh suaminya untuk turun dahulu tanpanya.

"Sayang sarapanlah dulu. Aku tak lapar sangat. Lunch nanti je aku makan." Pudar ketegangan di raut wajah, beralih kepada senyuman.

"Tapi takut tak sempat kalau nak lunch nanti. Kejap lagi kita kena pergi hospital." Bimbang Della dengan jawapan Reis. Ada sesuatu yang dipendam suaminya namun dia tidak ingin memancing cerita.

"Tak apa. Kalau tak sempat lunch, aku makan roti je nanti. Dekat hospital ada kantin. Sayang pergilah sarapan. Aku tunggu depan."

Sekali lagi Reis mengerling sepintas lalu pada Tuan Rewis sebelum membawa dirinya ke ruang tamu. Della yang melihat, resah-gelisah.

Tidak mudah untuk seorang anak menerima kehadiran seorang insan yang dipanggil orang tuanya dalam masa yang singkat pabila banyak yang telah disaksikan. Rumitnya isi hati bila hidup Reis yang kosong bertahunnya tanpa kasih sayang dari seorang ayah tiba-tiba berubah.

Ingin memaafkan tidak senang sama sekali. Mahu menyelesakan diri dengan kehadiran ayahnya lagi satu hal. Reis tiada biasa. Dia janggal dengan semua itu. Bagaimana harusnya kelakuan seorang anak lelaki bila berhadapan dan berbual dengan ayah kandung sendiri.

Kenapa keluarga orang lain tampak senang ingin bergaul sedangkan dia berasa sukar? Kenapa hidup mereka bagaikan serba lengkap tapi sebaliknya bagi dia? Tidak cukupkah dia bersusah payah selama ini?

Jari telunjuk dan jari tengah ditekan Reis pada alis keningnya. Bingit ruang kepala mengajukan soalan yang mungkin tidak berjawab. Perit realiti hidupnya yang disangka indah.

Reis menghembus nafas yang berat, duduknya dilabuhkan di sebuah sofa.

Setapak demi setapak kaki mengorak. Della memasuki ruangan makan. Jari-jemari diremas sebentar apabila semua pasang mata yang berada di meja makan itu kini berubah tumpuan ke arahnya.

"Della, jom sarapan sekali." Puan Zara mengajak ramah. "Reis mana? Tak nak sarapan?"

"Reis cakap dia tak lapar, aunty. Dia dekat depan. Della nak ambil makanan ni. Nak makan dengan dia." Della menguntum senyuman yang nipis. Piring kosong diambilnya lalu dimasukkan nasi goreng.

"Tak lapar? Jarang Reis kata dia tak lapar. Selalunya dia yang paling awal sarapan," jawab Puan Zara. Berkedut kening mendengarkan itu.

"Tak tahu kenapa, aunty. Tapi Della nak kongsi nasi ni dengan dia."

Pandangan mata Della tidak sengaja melirik pada Tuan Rewis yang tampak tercenung di tempat duduk. Ya, sesiapa saja di dalam rumah itu boleh faham mengapa Reis enggan sarapan. Kerana ada ayahnya.

Malam semalam Reis tidak keluar dari bilik tidur untuk bergaul dengan yang lain. Terperuk di dalam bilik bersama Della sambil menonton filem. Jarang berperangai sebegitu, tertanya yang lain.

THE LOVE SETSWhere stories live. Discover now