CHAPTER 14

4K 236 12
                                    

KEPALA REIS tersengguk beberapa kali menahan diri daripada terlelap. Mata yang memberat sipi-sipi terkatup. Tika ini, dia berada di sebuah studio untuk sesi penggambaran. Haruslah gambar dia yang dipamerkan bila produk minyak wangi itu dilancarkan.

"Encik Reis, tolong angkat kepala sikit," sapa hairstylist yang sedang menggayakan rambut Reis. Sisi kepala Reis diangkat.

Dalam keadaan mamai, Reis mencelikkan mata untuk menghalau sisa kantuk. Sudah sebulan berlalu sejak perlawanan rasminya. Jadualnya kini padat sebagai duta jenama Velours.

Belum ditambah dengan perlawanan liga bola tampar kebangsaan yang bakal dianjurkan dalam lima bulan lagi. Memang semakin sibuklah Reis dengan latihannya kelak.

"Please call her," ujar Reis separuh sedar.

"Nak saya panggilkan siapa?"

"Della." Serangkap nama itu meniti di bibir Reis. Della ada beritahu dia tadi yang gadis itu akan menemaninya sepanjang penggambaran.

Tapi sampai sekarang, batang hidung Della tidak kelihatan.

Reis tak biasa dengan persekitarannya yang dikelilingi staf-staf di studio penggambaran itu. Dia faham mereka sekadar melakukan kerja mereka seperti apa yang disuruh. Cuma, Reis tak selesa.

Kehadiran Della menghilangkan rasa asing di dalam diri Reis. Dia kenal Della walau mereka hanya bersemuka ketika berurusan soal kerja berbanding staf-staf di situ. Reis menegakkan postur tubuh. Memudahkan tugas hairstylist untuk menggayakan rambutnya.

"I need my coffee. Please call her."

"Kejap ya. Saya suruh orang panggil Cik Della." Hairstylist itu menggerakkan mulut tanpa suara kepada seorang staf yang turut berada di dalam bilik persalinan itu untuk memanggil Della.

Selesai rambutnya digayakan secara slick back, Reis menyandarkan belakang tubuh pada kerusi. Helaan nafas dihembus kemudian mata terus dipejam. Masih ada masa sebelum sesi penggambaran bermula.

Benarkan dia tidur kejap.

Dua minit berlalu. Kedengaran dengkuran halus daripada Reis. Daun pintu tiba-tiba dikuak dari luar. Della menapak masuk ke dalam bilik persalinan itu sambil menjinjit plastik yang berisi secawan kopi di tangan. Pandangan mata terhala pada Reis yang lena diulit mimpi.

Della mendecit halus. Tadi seorang staf memberitahunya yang Reis tercari-cari dia. Bila dah ada depan mata, tidur pula. Della meletak plastik itu di atas meja rias yang berhadapan dengan Reis.

"Encik Reis, bangun. Saya dah bawa kopi encik." Teragak-agak tangan Della menyentuh bahu Reis lalu ditepuk lembut. Kalau tak dikejut, nanti Reis tertidur sehingga waktu penggambaran.

"Encik Reis? Bangunlah."

Della meninggikan suara. Kalau kejut elok-elok pun tak berfungsi, terpaksalah dia berkasar sedikit. Reis menggumam di sebalik lena. Seketika, tiada tanda-tanda dia ingin bangun. Kelopak matanya dibuka perlahan. Terus wajah Della memenuhi retina mata.

Bahu Reis terhinjut kecil.

"Sorry, sorry. Aku tertidur."

"Ni, saya dah bawakan kopi yang Encik Reis nak. Minumlah dulu supaya tak mengantuk. Kejap lagi diorang akan panggil encik untuk shooting." Della mengeluarkan secawan ais kopi dari plastik.

"Thank you, Della," ucap Reis. Lehernya diregangkan sebelum dia mencapai cawan kopi itu dan dihirup. Basah tekaknya yang dahaga sebaik saja dia meminum ais kopi itu.

Della menghenyak punggung di atas sebuah kerusi yang beberapa jaraknya di belakang Reis. Dia merenung wajah Reis yang terbias pada pantulan cermin meja rias bersama pandangan yang musykil.

THE LOVE SETSWhere stories live. Discover now