SEBUAH SOFA yang tersedia di tengah-tengah ruangan bilik persalinan dihuni oleh sebatang tubuh yang tegap. Keheningan menjadi peneman. Jari Reis terus-menerus mengetuk pahanya.
Tubuh yang tadinya bersandar pada sofa dibawa ke hadapan. Tidak berbaju dan sweatpants yang dikenakan. Lengannya mendarat pada pahanya. Dalam dan gelap tatapan Reis yang membiaskan perasaan yang menangkup keramahannya. Senyuman langsung tidak terlakar.
Sehelai jersi yang berwarna putih dan tertulis nama Allianz Milano, kelab bola tampar yang pernah dia sertai selama tiga tahun menetap di Itali tergantung pada penyangkut baju.
Kelab yang telah mengajarnya dan menyumbangkan pelbagai pengalaman dalam perlawanan mahupun sebarang latihan.
Dan kelab yang menorehkan luka di dalam dirinya.
Menjalar tangan Reis yang berurat pada wajahnya. Diraup mukanya. Sepanjang tiga tahun berada di Itali, dia bersusah payah. Dia hampir mengalah kerana sokongannya pada tempoh itu tidak banyak seperti sekarang.
Perhatian dan sokongan yang dipunyai olehnya buat masa sekarang sangat berbeza daripada apa yang pernah ada untuknya sebelum ini.
Segala penatnya dan rintangan yang dilaluinya cuma dia seorang yang fahami.
Sering kali mentalnya diuji, sering juga dia tergugat untuk berhenti dan meninggalkan saja impiannya di belakang namun kerana lelaki yang bergelar ayah kandung, Reis meneruskan apa yang dimulakan.
Kerana ayahnya, Reis memilih karier ini. Dia mahu menunjukkan bahawa dia jauh lebih baik. Dia jauh lebih hebat daripada ayahnya.
Jahatkah dia disebabkan pemikiran itu? Bibir Reis mengherot senget. Sinis kelihatan reaksi yang merias wajahnya. Bagi dirinya, tidak. Dia sekadar memulangkan apa yang sudah ayahnya lakukan di masa lalu.
Sesaat kemudian, kesinisan pada wajah Reis meluntur. Pemikiran itu tidak memberikan apa-apa manfaat kepadanya lagi. Seluas mana dan sebesar mana kejayaan yang dia kuasai, ayahnya tidak memunculkan diri.
Masih hidupkah ayahnya? Berlegar pertanyaan yang tidak berjawab itu di dalam fikiran Reis. Bertahun dia tertanya. Hembusan nafasnya menghela berat. Telefon yang tersadai di tepi lantas diambil olehnya.
Bahagian notifikasi berleretan daripada aplikasi Twitter. Reis terlupa akaun miliknya di dalam aplikasi itu tidak ditetapkan secara peribadi dan sekarang dijumpai oleh netizen yang bukan para penyokongnya.
Komen 1: Dia ni siapa? Perlu ke kenal?
Komen 2: Kalau dah membuli sampai bertumbuk, baik jangan main.
Komen 3: Nak kata cara dia main hebat, berlatih lagilah.
Komen 4: Aku tengok cara dia main biasa-biasa je. Kecohlah.
Melihatkan pelbagai kritikan dan cemuhan yang ditinggalkan oleh ramai pihak di ruangan komennya, Reis terus memalapkan telefon. Detakan jantungnya berubah tidak senada. Sesak dan peritnya rasa ini. Semangat yang dikumpulnya mulai terhakis satu demi persatu.
"Reis? Awak dekat mana?" Panggilan Della kedengaran dari luar.
"Dekat dalam sini. Aku tengah pakai baju, sayang!" Terpaksa Reis mengarang alasan agar Della tidak mengetahui apa yang dibuatnya.
"Saya dah siap masak. Jomlah makan sama-sama."
"Okay, sayang. Kejap lagi aku turun. Tunggu aku."
Berdiri dari sofa, Reis melucutkan jersi itu daripada penyangkut baju dan melipatkannya. Diletakkan ke dalam laci. Turun pandangan pada tangannya yang menggeletar halus seraya dicantumkan dengan ketat.
YOU ARE READING
THE LOVE SETS
RomanceSTAND-ALONE ⋆͛︎ Reis Drazen. Tenangnya dia bagaikan ombak. Setiap ujian hidup dihadapi dengan tenang. Dia merupakan seorang pemain bola tampar yang sedang mengukir nama di kalangan pemain. Mengejar impian sehabis boleh sudah pasti. Della Lenoir. Ke...