JUMLAH STOK minyak wangi yang terpapar di iPad diteliti oleh Della. Jika tersalah jumlah setelah kesemua stok itu dihantar ke butik vendor jenama mereka, dia yang bakal dipersalahkan oleh direktur. Dia yang urus bahagian itu, dialah yang perlu bertanggungjawab.
Ketua division di bahagian kurier pula sekadar menerima arahan daripada dia. Tidak boleh bertindak sesuka hati tanpa persetujuan. Selagi dia belum memberi kata akhir, selagi itulah team bahagian kurier akan menunggu.
Khusyuk membaca segala yang tertera di dalam fail dokumen, hayunan langkah kakinya terus-menerus membunyikan hentakan kasut tumit tinggi yang dipakai. Sibuk benar gayanya sehingga hampir disepit oleh pintu lif yang mulai tertutup tanpa disedari.
Mujur ada yang menarik lengannya dari arah belakang. Langkah Della mendadak berhenti. Haruman maskulin yang semenjak ini menghilang, kembali menyerbu deria baunya. Macam kenal.
Della mendongak wajah.
"Hi."
Sapaan Reis yang tenang diangkut sekali bersama senyuman yang elok terpancar di bibir. Rambutnya sedikit berantakkan tidak rapi. Gaya pemakaiannya santai. Jaket, t-shirt hitam dan jeans.
Simple yet still attractive.
"Encik Reis buat apa dekat sini?" Della terus menyoal curiga. Tangannya yang memegang iPad dijatuhkan ke sisi badan.
Seingat dia, semua yang berkait dengan sesi penggambaran Reis sudah selesai. Hanya menghitung hari saja untuk hari pelancaran produk minyak wangi yang baharu itu. Segalanya sudah disusun.
Hal terakhir dalam jadual Reis yang belum dilaksanakan ialah menghadiri hari pelancaran itu sebagai duta rasmi bagi jenama minyak wangi tersebut. Itu perkara yang paling penting.
"Aku jumpa Cik Hera tadi. Bincang benda sikit. Since aku belum ambil manager untuk kerja dengan aku, dia akan tolong aku waktu hari pelancaran nanti. Sehari tu je. You know, handling the manager stuffs."
"Oh, dia setuju?" Della beriak kosong.
Dengan Hera boleh pula Reis menggunakan gelaran 'cik' tapi bila dengan dia, gelaran itu langsung tidak dipakai. Gaya layanan Reis kepadanya seolah-olah mereka sudah kenal lama. Menjengkelkan.
"Mhm, dia setuju. Kau nak pergi mana?"
Reis menekan punat butang lif. Jarak tubuhnya berada tiga jengkal daripada Della. Ditahan gelodak rindu yang menggebu. Sudah dua minggu mereka tidak berjumpa selepas insiden di mana dia sakit.
Jujur Reis mengaku yang dia rasa sedikit kecewa apabila Della tak menghantar sebarang pesanan mesej. Bertanya sama ada dia sudah pulih atau belum. Namun dipujuk hatinya sendiri. Della sibuk. Ada kerja yang perlu dilakukan daripada merisaukan tentang dia.
"Nak jumpa ketua division bahagian kurier." Della memasuki lif yang kosong tanpa manusia sebaik pintu automatik terbuka. Reis turut masuk ke dalam.
"Untuk apa?" Reis bertanya ingin tahu. Matanya tidak lepas memandang Della yang menekan punat tingkat sepuluh.
Dia sepatutnya turun ke lobi tapi tak apalah. Peluang keemasan ini akan dia curi untuk berbual dengan Della. Mereka jarang berjumpa kebelakangan ini.
"Nak bagitau dia berapa jumlah stok minyak wangi yang patut dihantar ke vendor syarikat kami. Direktur orang yang cerewet. Kalau dia tahu jumlah stok tak cukup, saya yang disalahkan."
"Sounds tough." Tatapan mata Reis berubah redup. Dalam diam, dia mengagumi Della dalam menggalas amanah kerjanya. Berbanding dia, dia tahu main bola tampar saja. Kerjaya yang berasingan.
YOU ARE READING
THE LOVE SETS
RomanceSTAND-ALONE ⋆͛︎ Reis Drazen. Tenangnya dia bagaikan ombak. Setiap ujian hidup dihadapi dengan tenang. Dia merupakan seorang pemain bola tampar yang sedang mengukir nama di kalangan pemain. Mengejar impian sehabis boleh sudah pasti. Della Lenoir. Ke...