DEK TIDAK tertanggung rasa yang mencucuk dan memedihkan di bahu kanannya, bangun Reis daripada tidur yang tidak seberapa lena. Dalam pukul tujuh dia tersungkur ke alam mimpi. Rasa lelahnya lain macam dan ditokok tambah dengan cuaca yang hujan lebat. Rahmat!
Namun nikmatnya dalam tidur yang diselubungi cuaca sejuk cuma beberapa jam. Kedua-dua belah kelopak mata Reis tersingkap. Jam menunjukkan pukul dua belas malam.
Sekadar lima jam Reis dapat merehatkan mata dan badannya.
Dilihat ruang yang kosong di sebelah katil. Sahlah Della belum lagi tidur berbanding dia yang jenis memang akan tidur awal. Perbezaan Della dengannya, Della kebiasaan berjaga lewat bila hujung minggu.
Reis menolak tubuhnya dari pembaringan. Terasa berat saja apabila hanya mampu menggunakan tangan kiri. Bahu kanannya berdenyut-denyut mengingatkan keadaan dirinya. Mengernyit dahi mengekang erangan terlepas dari mulut.
Pintu bilik kedengaran terkuak dari luar. Terhinjut bahu Della. Dia ingatkan siapalah yang duduk di atas katil. Suis lampu ditekan lalu bilik tidur yang tadinya kelam dan gelap, disimbahi dengan cahaya.
"Reis, kenapa ni? Awak terbangun?" Della mendekati katil.
"Terbangun sebab tak selesa, sayang. Bahu aku ni."
"Kenapa dengan bahu awak? Arm sling terbuka?" Terus kerisauan memancar di wajah Della.
"Bahu aku sakit, sayang." Reis mengadu. Berkerut-kerut keningnya disebabkan rasa yang giat mencucuk. Menyesal tidak bayarkan ubat sekali ketika di klinik untuk mendapatkan pemeriksaan dan rawatan.
Kan dah merasa! Di dapur bukannya ada ubat tahan sakit. Sekadar ubat panadol soluble yang dilarutkan dalam air itu saja. Itupun bila ada yang di antara mereka kurang sihat atau demam, akan diminum.
"Habis tu, macam mana ni? Awak tak ada ubat untuk makan." Della juga tidak ada ubat yang boleh membantu untuk mengurangkan rasa sakit Reis.
"Kita pergi klinik. Cari yang dekat-dekat dan yang masih buka. Sakit ni, sayang. Tak tahan." Bahkan sampai menggigil tangan kanan Reis.
"Betul ni awak nak pergi klinik?" Bukan Della tidak hafal yang Reis tidak menyukai klinik dan hospital. Kedua-dua tempat itu dipangkah besar-besar dalam hidupnya.
"Iya, sayang. Lama-lama macam ni boleh gila."
"Okay, kita pergi klinik. Kejap. Saya ambilkan baju untuk awak."
"Tolong ambilkan jaket je, sayang. Tak payah baju," pesan Reis.
Terburu-buru Della menyusun langkah ke bilik persalinan. Reis tidak memakai baju sesudah membersihkan diri. Memayahkan sebab sukar untuk memasukkan lengannya. Lagi satu, kena tanggalkan sling arm.
Jadinya, Reis tidak menyarung baju memandangkan hanya mereka berdua yang menetap di rumah itu. Tiada mata yang lain akan lihat.
Seminit berlalu, Della muncul semula ke bilik tidur bersama sehelai jaket di pegangan. Reis dihampiri. Lengan kirinya disisip masukkan ke dalam jaket dahulu. Dipakaikan terselempai pada bahu kanannya.
Seketika, Della menganalisa Reis. Terdedah otot-otot di bahagian abdomen Reis kerana jaket itu hanya menutupi separuh badannya.
"Awak okay ke pakai macam ni? Tak sejuk?" Bukan apa, Della tak nak berkongsi apa yang dia hadap setiap hari di rumah bila mereka berada di luar. Tubuh Reis itu milik pandangan matanya seorang.
"It's okay, sayang. Dah sakit nak buat macam mana. Nak angkat tangan ni pun payah. Faham-fahamlah kalau orang tengok nanti."
Della mengangguk faham. Dompet dan kad pengenalan Reis dicapai di meja solek. Membawa apa yang penting. Saat dia ingin berpusing, tubuh Reis menekan di belakang badannya. Della mengangkat muka.
YOU ARE READING
THE LOVE SETS
RomanceSTAND-ALONE ⋆͛︎ Reis Drazen. Tenangnya dia bagaikan ombak. Setiap ujian hidup dihadapi dengan tenang. Dia merupakan seorang pemain bola tampar yang sedang mengukir nama di kalangan pemain. Mengejar impian sehabis boleh sudah pasti. Della Lenoir. Ke...