SEPULUH MINIT Reis bermain ala-ala kadar, sepuluh minit Della menonton dari bangku panjang yang terletak di tepi gelanggang bola tampar. Beberapa biji bola yang Reis gunakan untuk serve dan spike bertaburan di atas lantai. Dada bidang Reis berombak turun dan naik menyedut nafas.
Dengan tidak menukar pakaiannya, baju kemeja Reis melekap pada bentuk tubuhnya dek kebasahan peluh. Setelah berasa puas bermain, Reis menyerabaikan rambutnya yang sudah berantakan. Disebakkan ke belakang. Kepala didongakkan ke atas sambil matanya terpejam.
Della yang menyedari kelakuan Reis, merenung tanpa sebarang kata. Kacak. Perkataan itu yang terlintas di fikiran Della. Reis yang dalam keadaan berpeluh nampak kacak. Della tersentak sendiri memikirkan itu.
Get a grip, Della!
"Della? Bosan ke tengok aku main?" Reis memalingkan tubuh. Dari mula dia bermain, Della hanya lebih memilih untuk mengunci mulut.
Mahu diajak, Reis yakin Della akan menolak bersungguh-sungguh. Paling tidak pun, Della akan melontar jelingan tajam seperti selalu. Reis telah menghafal setiap ekspresi yang terpamer di wajah Della.
Kalau tidak monyok atau cemberut, pasti menjeling. Kalau tidak menjeling, pasti Della akan beriak kosong tanpa sebarang emosi.
"Sikit," balas Della singkat. Dia sekadar menyabarkan hati sehingga Reis selesai bermain sebelum dia menyuarakan apa yang sebenarnya patut mereka bualkan.
"Aku dah habis main ni. Kau nak bincang pasal apa tadi?"
Reis menghampiri bangku panjang yang diduduki oleh Della. Dia tidak mengambil ruang yang kosong di sebelah Della. Sebaliknya, Reis duduk melunjurkan kaki di atas lantai. Bertentangan daripada Della. Bibirnya menyungging senyuman yang nipis.
Della jatuh terdiam buat beberapa ketika. Otaknya menyusun ayat yang sesuai. Melihatkan bahasa tubuh Reis yang seolah-olah tidak menggesa dia untuk bercakap, kurang rasa debaran. Della menarik nafas yang dalam.
"Saya nak awak kosongkan jadual awak selama empat hari minggu depan," tutur Della senada. Sebahagian dirinya mengharapkan Reis tidak sibuk sepanjang tempoh itu.
"Untuk apa?" Reis mengangkat sebelah kening. Penasaran.
"Untuk wedding sepupu saya. Dah lupa ke?" Mata Della seraya naik dan turun memandang Reis. Mustahil Reis sudah lupa asbab asalnya mereka berpura-pura menjalinkan hubungan.
"Tapi kenapa sampai empat hari? Jauh sangat ke tempat kahwin tu?"
Wajah Reis beriak bingung. Bukankah selalunya majlis perkahwinan berlangsung sehari saja? Reis menyimpul andaian. Dia belum pernah berkahwin jadi dia memang tidak tahu prosesnya. Rasanya Reis kena awal-awal bertanya kepada Puan Zara. Manalah tahu giliran dia tiba.
"Jauh. Dekat Sabah. Mama saya nak awak ada. Dia cakap nak jumpa awak." Kata-kata Della menyebabkan Reis tercekik liur sendiri. Dia terbatuk-batuk sambil menumbuk dadanya yang diserang rasa perit.
Mata Reis membulat. Terkejut bukan kepalang. Dia memandang Della bersama riak yang jelas tidak percaya. Telinga Reis belum pekak lagi. Dia pasti Della tidak berjenaka mengenai perkara itu.
"Apa? Ingat saya main-main?" Della mencebik bibir.
Terbalik dunia ni kalau Della sebenarnya bergurau. Reis termangu sejenak. Sabah. Tempat yang boleh dikatakan sesuai untuk sebuah majlis perkahwinan atau tempat berbulan madu. Masalahnya, Reis cuma teman lelaki palsu Della yang dipercayai benar oleh keluarga Della.
Perlukah Reis ada di Sabah juga untuk menyertai mereka? Ralat termenung, barulah Reis teringat pertemuannya dengan Tessa dan Evan beberapa hari yang lepas. Della patut tahu apa yang berlaku.
YOU ARE READING
THE LOVE SETS
RomanceSTAND-ALONE ⋆͛︎ Reis Drazen. Tenangnya dia bagaikan ombak. Setiap ujian hidup dihadapi dengan tenang. Dia merupakan seorang pemain bola tampar yang sedang mengukir nama di kalangan pemain. Mengejar impian sehabis boleh sudah pasti. Della Lenoir. Ke...