BILIK PERSALINAN dimasuki Reis. Jaket tracksuit diambil dari susunan penyangkut baju. Berpaling badan, sepasang matanya yang hitam pekat mengerling sejenang pada deretan kasut di almari.
Reis mencapai sepasang kasut sukan yang saiznya lebih kecil.
Kembali Reis ke bilik tidur, dilihatnya Della yang sudah bangun tapi seraut wajahnya beriak cemberut. Tidurnya yang lena terganggu oleh Reis yang tiba-tiba mengejut dia, ingin membawanya berjoging pada jam awal begini.
"Sayang aku dah bangun rupanya."
Banyaklah sayang dia! Menggerutu Della dalam hati. Tajam renungan yang dilontarkan kepada Reis, bagaikan pisau belati.
Pukul tujuh pagi. Masa yang paling sesuai jika mahu menghadap Della yang bertegang muka. Kebetulan sungguh hari ini dia tidak bekerja kerana memohon cuti sehari. Dia mahu berehat seharian.
Lain pula pada Reis. Wajah kacaknya sering kelihatan bertenaga.
"Tak manislah marah pagi-pagi macam ni, sayang." Reis menegur.
"Saya tak nak ikut." Pantas mulut Della membangkang.
"Kena ikut. Malam tadi dah janji nak ikut aku. Kenapa tiba-tiba tak nak?" Reis menjatuhkan satu lutut ke atas lantai. Menghadap Della.
"Masih awal. Tak boleh ke pergi dalam pukul sepuluh macam tu?"
Bukannya taman rekreasi itu berpindah tempat jika Reis tidak datang ke sana pada jam seawal ini. Ruas dahi Della berkedut, menunjukkan rasa ketidakpuasan hati. Badannya sudah dipanggil untuk berbaring.
"Kita pergi pukul sepuluh." Della memutuskan tanpa persetujuan.
"Pukul sepuluh hari dah panas, sayang. Lagilah kau tak nak. Aku tak paksa kalau kau tak nak jogging. Jalan pun kira okay. Kau boleh ikut aku dari belakang. Tak naklah marah-marah." Sabar Reis berbicara.
"Tak nak." Kepala Della menggeleng kecil. Nak degil selagi boleh!
"Ikutlah, sayang. Dekat taman tu ada orang jual takoyaki jam macam ni. Jom?" Reis menegakkan tubuh. Tangannya yang kosong, menarik lengan Della untuk berdiri. "Aku pakaikan kasut kau dekat kereta."
"Saya boleh pakai sendiri. Bagi sini." Della meminta dengan nada suara yang menahan sebal. Rasa nak gumpal-gumpal Reis, sumbat dalam poket.
Tidak dihirau oleh Reis. Dikemaskan genggaman pada lengan Della.
Bersama ekspresi wajah yang cemberut, Della mengekori Reis. Tiba di pintu rumah, langkahnya terhenti. Diperhati Reis yang mengambil kunci kereta dan mengapitnya di celah bibir. Tubuh Della dicempung setelah itu.
Terbuntang mata Della. Terperanjat dengan tindakan Reis. Perlahan, tangannya diangkat dan menarik kunci kereta dari bibir Reis. Wajah terasa bahang. Memerah. Gemar sungguh Reis membuatnya terkejut.
"Ringan betul kau ni, sayang. Lepas ni kalau aku nak buat pushup, kau duduk belakang aku." Bibir Reis mengucup pipi Della, geram.
"Tak payahlah kiss," tukas Della seraya menekup mulut Reis. Lama-lama tanggal pipi dia nanti angkara sentiasa dikucup oleh suaminya.
Sekadar tertawa Reis dengan respon Della. Faham angin isterinya masih tidak baik.
Sampai di garaj, Reis menurunkan Della pada kaki sendiri. Teringat Della yang belum berselipar, dilingkarkan lengannya pada pinggang Della. Tidak membenarkan kaki isterinya daripada menyentuh lantai.
YOU ARE READING
THE LOVE SETS
RomanceSTAND-ALONE ⋆͛︎ Reis Drazen. Tenangnya dia bagaikan ombak. Setiap ujian hidup dihadapi dengan tenang. Dia merupakan seorang pemain bola tampar yang sedang mengukir nama di kalangan pemain. Mengejar impian sehabis boleh sudah pasti. Della Lenoir. Ke...