CHAPTER 9

3.9K 233 23
                                    

ANGIN MENIUP lembut tika itu. Matahari tegak di dada langit namun cuaca tidak panas seperti kebiasaan. Rambut yang berselerak tak disisir turut bergerak mengikut rentak angin. Di tangannya ada sekuntum bunga lily.

Bunga yang melambangkan bunga kematian.

Bunga untuk menzahirkan rasa duka kepada yang telah pergi. 

Redup tatapan mata Reis merenung nama yang terukir di batu nisan. Berkeras dia menegah dirinya supaya tidak tewas dengan perasaan rindu. Tapi pada akhirnya, dia terima kekalahan itu dengan kerelaan.

"Ibu, Reis dah datang."

Satu lutut dijatuhkan ke atas tanah. Reis meletakkan bunga lily itu pada kubur ibunya yang bersimen. Bersih dan tak berlumut. Pasti ada pekerja yang kadangkala datang membersihkan kubur ibunya.

Sudah bertahun-tahun dia tak jejak kaki ke tempat tinggal baru ibunya. Mesti ibunya juga menanti dia untuk datang melawat. Maafkan Reis sebab ambil masa yang terlampau lama, ibu.

"Kali terakhir ibu jumpa Reis, masa tu umur Reis sepuluh tahun. Masih kecil, masih nakal. Ibu pun kadang-kadang penat nak layan Reis." Terhambur tawa kecil Reis. Sebak mencengkam dada.

"Sekarang Reis dah dua puluh enam tahun. Reis pernah janji nak tunjuk dekat ibu yang Reis boleh jadi pemain bola tampar terhebat tapi Tuhan lagi sayangkan ibu. Tuhan tak nak ibu sakit lama-lama. Sayangnya, ibu tak sempat tengok Reis berjaya."

Insan yang bergelar ibu kandung, yang sepatutnya dikongsikan momen-momen gembira tak sempat melihat segala pencapaian hidupnya. Ah, sungguh sedikit masa yang Tuhan pinjamkan. Sungguh cepat Tuhan memisahkan Reis daripada ibunya.

Ada kalanya dia berasa cemburu dengan rakan-rakannya ketika masih bersekolah dulu. Mereka ada ibu yang menjemput mereka pulang dari sekolah sedangkan dia dijemput oleh mendiang Datuk Ichard. Meskipun layanan seorang datuk dan ibu kandung tak jauh berbeza, perasaannya tetap tidak sama. Tak akan ada tandingan.

"Ibu tahu tak apa benda yang Reis paling takut?" Reis menyambung bicara. Biarlah orang kata dia gila kerana bercakap seorang diri di kubur. Dia cuma ingin meluahkan apa yang terbuku selama ini.

Nafas ditarik kemudian dihembus perlahan. Ruang dadanya terasa begitu sesak dan perit. Sudah terlampau lama dia berdiri teguh. Dia percaya dia tak akan rebah suatu hari nanti namun lumrah seorang manusia. Tak kiralah sekuat mana diri mereka, pasti akan jatuh.

"Reis dah lupa suara ibu."

Air mata mulai mengaburi penglihatan Reis. Itulah satu-satunya perkara yang dia takuti dan ia benar-benar terjadi. Dia tak dapat ingat lagi suara wanita yang sering mendodoikan dia ketika tidur.

Tak mahu air matanya tumpah saat itu, Reis terus mendongak wajah seraya mata dicelikkan beberapa kali. Jangan. Dia sudah berjanji bila dia datang melawat kubur ibunya setelah sekian lama, dia tak akan biarkan dirinya menangis. Ibunya tak suka dia bersedih.

Setelah seminit Reis menenangkan diri, dia kembali menatap kubur ibunya bersama senyuman nipis. Tangan menyentuh perlahan nama di batu nisan itu. Tak akan terganti tempat ibunya di dalam hati dia.

"Reis balik dulu. Lain kali Reis datang lawat ibu lagi."

Andai diberi peluang kedua untuk bertemu, Reis pasti akan mendakap ibunya seperti tiada hari esok. Di dunia ini, anak-anak yang lengkap berkeluarga tak pandai menghargai orang tua mereka.

Mereka masih beruntung mempunyai orang tua.

Reis bangkit dari separa melutut. Dilihat kubur ibunya buat kali yang kedua. Seolah-olah mahu membawa bekal rindu yang memang tiada penyembuh. Lambat-lambat, Reis akhirnya memalingkan tubuh lalu beredar dari kawasan perkuburan itu. Berjalan ke pintu gerbang.

THE LOVE SETSWhere stories live. Discover now