Bab 31

152 15 0
                                    

KEADAAN Ridhwan semakin baik, dia dibenarkan untuk pulang ke rumah pada hari ini. Aku, Maria dan Ridhwan menyembunyikan identiti kami dengan berpakaian yang tertutup. Ridhwan menyarungkan hoodie, aku bertopi dan Maria memakai pelitup muka.

Keluar saja dari pintu utama hospital, perlahan-lahan aku menolak kerusi roda yang diduduk oleh Ridhwan ke arah tempat keretaku diparkirkan, tidak mahu kelihatan terburu-buru kerana bimbang jika ada yang sedang memerhati. Tindakan yang terburu-buru hanya akan memudahkan musuh mengenali sasarannya. Oleh sebab itu, sikap tenang sangat penting pada ketika ini.

Apabila selamat masuk ke dalam perut kereta, aku menghembuskan nafas lega. Kereta dipandu dengan cermat seraya mata memerhati cermin sisi kereta, bimbang jika ada yang sedang mengekori. Tapi tiada apa yang mencurigakan. Kami sekeluarga selamat tiba di rumah.

Maria menghantar Ridhwan ke bilik tetamu di tingkat bawah. Bilik itu sudah dikemas oleh Maria. Semua barang keperluan Ridhwan telah disediakan di dalam bilik itu. Ridhwan akan menggunakan bilik tersebut sehinggalah kecederaan pada kakinya pulih baru lah kami membenarkan Ridhwan menggunakan biliknya sendiri di tingkat atas.

Aku dan Maria memandang Ridhwan bersilih-ganti. Sejak di dalam kereta tadi, Ridhwan hanya mendiamkan diri sehingga lah sekarang seperti ada yang sedang mengganggu fikirannya. Bukankah Ridhwan sepatutnya gembira apabila dia sudah keluar dari hospital?

"Rid kenapa ni? Kalau ada apa-apa yang tak kena bagitahu lah mama dengan papa." Pujuk Maria.

"Rid tengah fikir pasal Aileen." Balas Ridhwan.

Maria memandang ke arahku seketika sebelum kembali memandang Ridhwan.

"Kamu dah ingat ke siapa Aileen?" Soal Maria.

"Tak." Jawab Ridhwan sepatah.

"Rid dah cuba ingat tapi Rid tak mampu." Sambung Ridhwan lagi.

"Take your time, son. We will get through this together." Kali ini aku pula yang memujuk dan memberikan semangat kepada Ridhwan. Tapi Ridhwan tidak memberikan sebarang reaksi.

Hubunganku dengan Ridhwan menjadi renggang selepas peristiwa yang berlaku pada enam tahun yang lalu. Peristiwa di mana Ridhwan dipaksa untuk menembak seorang tukang masak lelaki yang bekerja di banglo B2K. Sejak peristiwa itu, aku tidak lagi berhubung dengan Ridhwan dan hanya mengambil tahu tentangnya melalui Maria.

Aku di arahkan oleh Mr. Isaac untuk tidak memberitahu tujuan sebenar Ridhwan menyertai organisasi B2K. Disebabkan hal itu lah Ridhwan menjadi begitu marah padaku. Baginya, aku hanyalah seorang penipu. Apabila aku berbicara dengannya, dia tidak pernah memandang wajahku. Seolah-olah dia begitu benci padaku.

Aku tidak pernah menyalahkan Ridhwan ataupun Maria kerana sememangnya ini semua salahku. Aku yang memulakan semua ini. Aku yang menerima tawaran B2K. Seandainya aku tahu pengakhirannya akan jadi begini, aku tidak akan sesekali menerima tawaran B2K dahulu.

Niatku mungkin baik, tapi caraku salah. Inilah kesalahan terbesar yang pernah aku lakukan dalam hidupku. Aku meletakkan nyawa ahli keluargaku dalam bahaya.

Maria, Ridhwan, I promise I will fix this. Walaupun nyawa aku sendiri yang menjadi galang gantinya.


TELEFON bimbitku yang lama digunakan semula. Mujurlah ianya masih berfungsi. Telefon bimbitku yang baru telah terbakar bersama dengan kereta semasa aku kemalangan. Nombor Ashraf masih aku simpan di dalam telefon ini. Aku tersenyum seraya menelefon Ashraf.

Panggilan tidak dapat disambungkan. Mana pergi Si Ashraf ini? Aku cuba mendailnya semula tapi tetap gagal. Kalau begini, lain kali saja lah. Kepalaku sudah mula berdenyut, lebih elok jika aku berehat untuk seketika.

HANIM RADIAH [C]Where stories live. Discover now