Bab 50

158 13 1
                                    

DINDING putih dan kosong itu dipandangnya lama. Dia dapat merasakan badannya kini sudah kehilangan banyak tenaga. Dia hanya terkurung di dalam bilik itu, tidak diberi makan dan tidak juga diberi minum. Hanya Allah saja yang tahu betapa dia sedang kehausan dan kelaparan pada ketika ini.

Kelopak matanya sudah terasa berat. Pandangannya sudah mulai kabur. Perlahan-lahan matanya tertutup.

Namun, cepat-cepat matanya terbuka kembali apabila telinganya menangkap bunyi pintu bilik dibuka dari luar.

Bersusah-payah Hanim menukar posisi badannya daripada baring kepada duduk memandangkan badannya sangat lemah pada ketika ini.

Hanim cuba untuk mengecam sosok tubuh yang sedang berdiri tidak jauh di hadapannya itu. Pandangannya yang kabur pada mulanya beransur jelas beberapa saat kemudian.

Kelihatan Adri menjengah masuk ke dalam bilik. Kedua-dua tangannya diselukkan ke dalam poket seluar. Adri memandang tajam ke arah Hanim.

"Aku tak fahamlah dengan orang tua tu. Dalam banyak-banyak perempuan, kenapa dia syok dekat kau eh?" Adri memulakan perbualan dengan meluahkan rasa tidak puas hatinya.

Hanim tahu bahawa orang tua yang dimaksudkan oleh Adri itu adalah Mr. Isaac. Tetapi, dia tidak mempedulikan kata-kata Adri itu kerana dia sememangnya tiada tenaga untuk merespon.

"Kau pekak ke? Aku tanya kau ni." Adri meninggikan sedikit suaranya. Bengang pula dia apabila Hanim tidak merespon kata-katanya.

"Kau patut tanya soalan tu dengan Isaac sendiri. Dia yang syok dekat aku. Bukan aku yang syok dekat dia. Benda macam tu pun tak boleh nak nilai ke? Kau ni sekolah ke tak?" Giliran Hanim pula yang melepaskan rasa geramnya kepada lelaki bermuka bengis itu. Dia gagahkan juga dirinya untuk bersuara walaupun keadaannya lemah.

"Wah...kau ni memang acah-acah bagus kan? Mentang-mentanglah si Isaac tu syok dekat kau, si Ridhwan pun tergila-gilakan kau, kau dah perasan diri kau tu baguslah? Eh, kau pun sama level lah dengan perempuan murahan." Kata-kata Adri berhujung hinaan.

Hanim memejamkan matanya rapat-rapat. Malas betul dia mahu melayan lelaki yang mempunyai pemikiran yang kolot dan mentaliti yang problem itu.

"Apa masalah kau sebenarnya?" Tanya Hanim perlahan. Dia tidak mahu lagi berdalih. Dia mahu tahu apa sebenarnya masalah lelaki itu.

Adri tertawa sinis sebelum menjawab pertanyaan Hanim.

"Apa masalah aku? Kaulah masalah aku!Disebabkan kau, semua plan aku hancur. Kau ni memang perempuan bawa malanglah! Bawa sial!" Herdik Adri.

Berkerut dahi Hanim mendengar kata-kata Adri itu. Dia tidak pernah tahu pun tentang rancangan lelaki itu dan tiba-tiba saja dia dituduh menggagalkan rancangannya.

"Plan apa kau cakap ni?" Tanya Hanim lemah.

"Betul kau nak tahu?" Soal Adri.

"Betul." Balas Hanim.

Adri membetulkan sedikit rambutnya lalu menyilangkan tangannya ke dada.

"Dulu, aku dengan Isaac nak balas dendam dekat Ridhwan dan Mukhriz. Tapi boleh pula si Isaac tu lupakan matlamat utama kami semata-mata sebab kau. Dia lupakan dendam dia kononnya sebab dia nak mulakan hidup baru dengan kau nanti. Bodoh punya orang tua." Penjelasan Adri berbaur amarah.

Sekali lagi dahi Hanim berkerut, tidak faham.

"Dendam apa? Apa yang Ridhwan dengan ayah dia dah buat dekat kau?" Soal Hanim. Tekaknya yang terasa kering itu dipaksa juga untuk bercakap walaupun payah.

Mendengarkan itu, Adri senyum senget. Perlahan-lahan dia menapak ke arah kerusi di sisi katil lalu melabuhkan punggungnya di atas kerusi tersebut. Adri memandang tepat ke arah Hanim.

HANIM RADIAH [C]Where stories live. Discover now