Bab 53

139 11 4
                                    

SERBUAN daripada pihak polis itu membuatkan dahi Adri berkerut. Bukankah sepatutnya pihak polis hanya mendiamkan diri? Kenapa tiba-tiba datang membuat serbuan pula? Tidak berhasilkah rancangan rasuahnya sebelum ini? Atau wang rasuah yang dia berikan itu tidak cukup?

"Kamu pekak ke apa?! Letakkan senjata kamu dan angkat tangan kamu sekarang!" Arahan keras diberikan kepada Adri apabila Adri tidak berganjak dari tempatnya.

Adri tiada pilihan.

Dirinya sudah dikepung. Anggota-anggota polis sedang mengelilingi dirinya dalam bulatan. Sudah tiada jalan keluar lagi untuk dia melarikan diri.

Adri akhirnya mengalah.

Dia menjatuhkan pisaunya ke lantai lalu mengangkat kedua-dua belah tangannya ke udara.

Serta-merta tangannya direntap kasar dan digari.

"Kamu ditahan atas kesalahan menculik dan membunuh. Sila ikut kami ke balai." Anggota polis yang sedang menggari tangan Adri bersuara.

Adri hanya diam. Tidak mengiyakan, tidak juga menafikan. Dia hanya membiarkan saja anggota polis itu menolak tubuhnya supaya mengikuti mereka.

Kemudian, seorang anggota polis mendatangi Mr. Isaac dan memeriksa keadaannya. Setelah mendapati kecederaan yang dialami oleh Mr. Isaac itu agak parah, anggota polis itu membantu Mr. Isaac dengan memapahnya sehingga ke ambulans.

Sempat Mr. Isaac meminta anggota polis yang lain supaya memeriksa keadaan Ridhwan dan ayahnya yang telah meninggal dunia itu. Merekalah yang sepatutnya diberikan perhatian lebih, bukannya dia.

Ridhwan termenung jauh. Pipinya yang basah dengan air mata itu dibiarkan begitu saja tanpa diseka. Posisinya tidak berubah sedikit pun. Dia masih setia memangku kepala ayahnya yang sudah tidak bernyawa itu.

Dua orang anggota polis pun mendatangi Ridhwan. Salah seorang daripada mereka memeriksa nadi Mukhriz.

Denyutan nadi pada pergelangan tangan Mukhriz diperiksa.

Tidak berdenyut.

Diperiksa pula denyutan nadi pada bahagian tepi leher Mukhriz.

Masih juga tiada apa-apa denyutan.

Akhir sekali, anggota polis itu meletakkan jari telunjuknya pada posisi yang sedikit jauh daripada hidung Mukhriz bagi memeriksa helaan nafas.

Tiada hembusan nafas.

Maka dengan itu, Mukhriz akhirnya disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.

"Encik, sila ikut kami." Anggota polis itu cuba berinteraksi dengan Ridhwan.

Ridhwan tidak merespon. Dia masih lagi termenung, tenggelam dan hanyut dalam lautan emosinya.

"Ridhwan!" Kehadiran Ashraf membuatkan dua orang anggota polis itu menoleh ke arahnya.

Ridhwan masih seperti tadi. Bahkan panggilan daripada sahabatnya sendiri tidak disahutnya. Ridhwan benar-benar hanyut. Hanyut dalam dunianya sendiri.

"Saya kawan dia. Saya akan cuba pujuk dia." Kata Ashraf.

Mendengarkan itu, dua orang anggota polis tadi mengangguk faham. Mereka kemudiannya menguruskan mayat Mukhriz untuk dibawa ke hospital.

Ashraf duduk mencangkung di sebelah Ridhwan. Dia memandang Ridhwan. Tiada langsung tanda-tanda Ridhwan akan menoleh ke arahnya. Malah sahabatnya itu seperti tidak peduli dengan kehadirannya.

Ashraf melepaskan keluhan yang berat. Jika dia sebagai orang luar saja sedih dengan pemergian Mukhriz, apatah lagi Ridhwan yang merupakan anak kepada Mukhriz sendiri.

HANIM RADIAH [C]Where stories live. Discover now