Bab 48

128 13 4
                                    

KERETA dipandu dalam keadaan kecewa. Selepas Ridhwan pergi, dia juga keluar dari rumah. Fikirannya kusut. Dia pandu saja kereta itu menuju ke destinasi. Memandu dan terus memandu sehinggalah dia berhenti di sebuah taman.

Dia selalu pergi ke taman itu ketika dirinya sedang bersedih. Di taman itu juga, Ridhwan pernah menemani dirinya pada hari dia tahu bahawa Sofea adalah adiknya sendiri. Mereka sebapa. Umur mereka hanya dibezakan beberapa bulan sahaja.

Hanim duduk di atas bangku panjang yang sudah tersedia di taman itu. Pandangannya dilemparkan ke arah tasik di hadapannya.

Air tasik itu kelihatan tenang, beralun dengan lembut sekali.

Seandainya dirinya juga mampu setenang air tasik itu, mesti beruntung kan?

Hanim menghela panjang nafasnya, cuba memenangkan perasaan yang mencengkam jiwanya itu.

Ridhwan telah mengecewakan dirinya sekali lagi. Ridhwan telah mematahkan kepercayaannya sekali lagi. Mampukah dia mempercayai Ridhwan semula selepas ini?

Sejujurnya, dia tidak mempunyai sebarang jawapan untuk itu.

Hanim memejamkan matanya rapat-rapat, cuba menelan pahitnya ujiannya kali ini. Dia tidak pernah merasakan sakit hati separah ini. Mungkinkah kerana dia terlalu cintakan Ridhwan sehinggakan apabila Ridhwan melukai perasaannya, dia tersakiti dengan sangat hebat?

"Allah..." Sebut Hanim perlahan dalam keadaan matanya masih terpejam rapat. Nama Sang Pencipta disebut untuk mencari sumber kekuatan. Dia tahu Allah tidak pernah tidur. Dia tahu Allah ada bersama dengannya untuk mengharungi ujian itu. Dia hanya perlu terima ujiannya itu dengan hati yang redha.

Jadi, mampukah dia redha? Dia akan cuba. Dia tahu dia mampu menghadapi ujian itu kerana Allah SWT tidak pernah menguji hambanya di luar batas kemampuan hambanya sendiri.

Sedang leka melayan perasaan sendiri, tiba-tiba kedengaran suara erangan seseorang. Mata Hanim yang terpejam tadi terbuka serta-merta. Suara itu kedengaran seperti dari belakangnya saja. Hanim pun laju menoleh.

Kelihatan seorang lelaki tua yang terduduk di atas jalan laluan di taman itu. Lelaki itu mengerang sekali lagi sambil memegang bahagian lututnya. Fikir Hanim, sudah tentu lelaki tua itu terjatuh sehingga mencederakan lututnya.

Laju Hanim menapak ke arah lelaki tua itu, ingin menghulurkan bantuan.

Namun dalam masa yang sama, Hanim turut berasa geram. Dimanakah ahli keluarga lelaki tua ini? Kenapa membiarkan lelaki tua ini bersendirian? Nasib baik hanya kecederaan ringan sahaja. Kalau kecederaan teruk? Kena langgar? Kena rompak? Kasihan pada lelaki tua itu. Kudratnya tidak sekuat kudrat anak-anak muda.

Tanpa berlengah lagi, Hanim pun duduk mencangkung di hadapan lelaki tua itu. Dia cuba untuk memastikan seteruk mana luka yang dialami oleh si pak cik.

"Boleh saya tengok luka pak cik?" Tanya Hanim apabila dia gagal untuk melihat luka pada lutut lelaki itu kerana lelaki itu masih memegang lututnya dengan tangannya.

Sempat juga Hanim berfikir bahawa lelaki tua itu pekak, sebab itulah lelaki tua itu tidak memberikan sebarang respon kepadanya.

Sudahnya Hanim pun mengulang semula soalannya namun reaksi lelaki itu masih sama. Dia tetap mendiamkan diri dan kepalanya tertunduk saja.

Hanim mula diserang rasa tidak sedap hati.

Selang beberapa saat, lelaki tua itu akhirnya mendongakkan kepalanya memandang Hanim.

Pandangan mereka bertaut.

Entah kenapa Hanim merasakan dia pernah melihat wajah lelaki itu.

Tidak lama kemudian, lelaki tua itu memberikan senyuman sinis kepadanya.

HANIM RADIAH [C]Where stories live. Discover now