SUDAH satu jam Himayah diam tidak berkutik setelah menumpahkan airmatanya. Kemudian dia melelapkan matanya dek kerana kelelahan.
Sepanjang dia menumpahkan butiran jernih, Muadz setia memeluknya sehinggalah Himayah sendiri yang meminta agar diberi masa sebentar untuk berehat.
Muadz yang faham akan tindakan Himayah hanya membiarkan. Memberi ruang padanya. Walaupun begitu, dia terasa sunyi apabila telinganya tidak menangkap satu pun suara indah milik Himayah.
"Bismillahirrahmanirrahim... ya Allah, hamba memohon kepadaMu untuk menenangkan hati dan fikiran isteri hamba, Himayah, yang mungkin sedang berkecamuk sekarang ini. Sesungguhnya Allah maha mengetahui apa yang terjadi petang tadi pada hamba. Bukakanlah hati isteri hamba untuk mendengar penjelasan hamba walaupun hamba tahu dia pasti akan mendengarnya nanti." Dia berdoa dengan kedua tangannya ditadah. Kepala ditoleh memandang Himayah yang lena diulit mimpi.
Kebiasaannya bila bulan mengambang tiba, Himayah akan turut duduk di sebelah Muadz dan ikut menadah tangan untuk berdoa selepas Muadz menunaikan kewajipan yang dituntut kepada semua orang islam.
Sejadah dilipat kemas dan disimpan kembali di dalam almari khas untuk peralatan solat. Kakinya bergerak melangkah keluar dari bilik dan turun menuju ke dapur. Ingin menyediakan makan malam.
Tanpa Muadz sedari setiap gerak-gerinya tadi diperhati oleh Himayah. Butiran airmata kembali mengalir membasahi pipi.
Setiap bait yang keluar dari bibir Muadz menusuk ke kalbu. Muadz tetap memikirkan hati dan fikirannya hingga dia sanggup mendoakannya sedangkan dia tidak sedikit pun bersuara selepas menangis tadi.
Niatnya ingin turun menemani Muadz dan meminta maaf namun, pening yang menyerang kepalanya membuatkan dia mengurungkan niatnya. Himayah berfikir untuk melelapkan mata sebentar dalam sepuluh minit kemudian turun menjenguk Muadz.
KELOPAK matanya perlahan-lahan dikelip-kelip. Telefon di atas meja tepi katil dicapai untuk melihat jam sekarang.
"Allah... dah setengah jam rupanya." Kepala ditumbuk perlahan beberapa kali untuk menghilangkan sedikit rasa sakit kepala yang menyerang.
Himayah bergerak mencuci muka di tandas dalam bilik mereka. Langkah diatur ingin menuju ke tempat hadirnya Muadz.
Mendengar bunyi periuk dan senduk berperang, Himayah sudah tahu bahawa Muadz sedang memasak.
"Astaghfirullahalazim!" Terlepas senduk dari tangan Muadz, merasakan ada tangan yang memeluk pinggangnya.
"Malaikat abang dah bangun? Sayang duduk dulu okey? Abang nak siapkan sup ni dulu... tak lama pun dalam lima minit, okey?" Muadz berpusing menghadap Himayah. Pipi isterinya ditekup sambil berkata begitu. Himayah menggeleng.
"Tak nak. Nak teman abang." Matanya tidak lepas dari menentang mata Muadz. Ikhlas. Itu yang jelas terlihat.
"Sayang... sayang rehatlah dulu, okey?"
"Tak nak. Nak teman abang."
"Okey, baiklah."
Kerana Muadz tahu betapa keras kepalanya isterinya, dia mengalah.
Himayah senyum segaris. Tangannya masih memeluk erat Muadz yang sedang menggaul sup ayam.
"Okey, alhamdulillah dah siap. Jom! Malaikat abang duduk dulu, okey?" suruh Muadz sambil tangannya perlahan meleraikan pelukan Himayah terhadapnya.
"Okey." Himayah pasrah. Bohong kalau dia kata dia tidak terasa dengan perlakuan Muadz yang seolah menghalau.
"Aik... kenapa malaikat abang duduk sebelah abang?" Buat kesekian kalinya Himayah terasa. Dia sengaja duduk di situ kerana ingin berada lebih dekat di sisi Muadz.
Adakah Muadz sedang membalas perbuatannya yang tidak menghiraukan Muadz tadi?
"Tak boleh ke Ima duduk sini?" Suaranya bergetar ketika menanyakan itu.
"Eh tak, bukan macam tu. Boleh aje, tapikan sayang selalu duduk depan abang." Nada yang digunakan Muadz cukup lembut tetapi masih kedengaran seperti menghalau di telinga Himayah.
Tangan Himayah sudah erat memeluk lelaki di sebelahnya. Terasa bergetar di dada Muadz. Himayah menangis.
"Hiks... hiks... hiks. Maafkan Ima, abang. Ima janji takkan diamkan abang lagi. Jangan halau Ima macam ni, Ima tak sanggup laa nak hadap." Tersengguk-sengguk Himayah mengadu. Banyak juga airmata yang dikeluarkan sampai basah baju Muadz.
"Astaghfirullah... maafkan abang kalau abang buat sayang rasa dihalau. Abang bukan nak halau sayang." Belakang tubuh Himayah diusap perlahan. Hari ini sudah dua kali Himayah menangis kerana dirinya.
BIRAI katil menjadi tempat punggung mereka berlabuh. Tangan Himayah sudah digenggam erat oleh tangan Muadz.
"Malaikat abang dah sedia dah nak dengar penjelasan abang?" Ibu jarinya mengusap lembut tangan isterinya. Anak matanya merenung tepat pada anak mata Himayah.
"In Syaa Allah Ima dah sedia dah, abang." Jantungnya bedegup kencang ingin mendengar penjelasan suaminya.
"Alhamdulillah, okey... masa tu kawan-kawan abang dah habis makan dah, abang aje belum sebab makanan abang sampai lewat. Jadi, mereka ada yang ke tandas dan ada yang basuh tangan. Lepas tu, ada seorang perempuan datang minta izin nak duduk situ sebab tempat duduk dah penuh dan betul, abang tengok memang penuh."
Tanpa Himayah sedar genggaman tangannya pada Muadz sudah semakin kuat. Muadz yang sedar hanya tersenyum tenang dan setia mengusap tangan Himayah.
"Mungkin masa tu yang sayang tengok abang macam makan berdua dengan dia. Tapi, sebenarnya tak. Maafkan abang ya sayang sebab buat sayang berfikir macam tu?"
"Tapi macam mana boleh malaikat abang ada dan nampak abang kat situ?"
Himayah mengerutkan dahinya, "Ima kan dah bagitahu abang, Ima nak jalan sekejap."
"Oh ya eh? Abang lupalah tu kut."
"Ima dah bagitahu abang dua kali dah. Ima ada mesej abang jugak sebelum jalan tadi. Ni..." Telefon yang memaparkan mesejnya dan Muadz dihulur.
"Maaf, malaikat abang. Abang tak peka." Huluran tadi diambil.
"Tak ada apalah abang, benda kecil aje." Sengihan dihias di bibir.

YOU ARE READING
Malaikat tak terduga
RomanceMuadz Hazim x Himayah Haseena Himayah Haseena, seorang wanita sebatang kara yang bekerja sebagai pelayan di restoran untuk menyara dirinya sendiri. Suatu hari dia mendapat pekerjaan yang sudah lama diimpikan. Dan di sanalah dia menemukan seorang jej...