BUNYI nafas kedengaran sayup-sayup di telinganya. Bunyi itu berselang-seli dengan bacaan Surah Yasin.
Perlahan-lahan kelopak matanya naik menampakkan seorang lelaki berbaju polo yang nampak fokus dengan lantunan ayat dari surah itu.
"Abang..."
Belum sempat surah itu diselesaikan bacaannya, Muadz terus melarikan pandangan pada wajah isterinya.
"Sayang? Sayang... Alhamdulillah." Muadz meraup mukanya sebelum butiran jernih mengalir di pipinya.
Tekaknya terasa kering. Dia perlukan air untuk membasahi tekaknya.
"Nak air..." Serak suaranya meminta.
"Air? Sekejap, sayang." Cekap tangannya mencapai botol air mineral itu dan menuangnya ke dalam gelas lalu dihulur pada Himayah.
"Abang... sakit..." Bahagian bawah perutnya disentuh.
"Sakit kat mana, sayang?" Pantas dia memeriksa keadaan Himayah. Tubuh isterinya dibelek.
"Sini... tempat baby tendang." Tangannya masih menyentuh tempat yang sama.
"Abang panggil nurse sekejap." Tanpa ragu-ragu dia keluar dari bilik itu.
Tidak lama kemudian, muncul seorang jururawat perempuan di belakang tubuh besar Muadz Hazim.
Sebaik saja jururawat itu masuk, Muadz memberi ruang padanya untuk memeriksa keadaan Himayah.
"Luka jahitan ni belum sepenuhnya kering. Puan kena banyak berehat dan jangan banyak bergerak. Jahitan tu boleh terbuka bila terlalu banyak pergerakan dilakukan." Jururawat itu menasihati Himayah lembut.
"Luka jahitan?" Gumam Himayah perlahan dengan keningnya yang berkerut.
"Kalau tak ada apa-apa lagi, saya minta diri dulu ya." Dia meminta diri.
Muadz sekadar mengangguk dan mengucapkan terima kasih.
Reaksi wajah wanita itu masih kelihatan bingung. Perutnya diusap-usap. Terasa aneh dengan perutnya itu.
Perut?
Kempis?
Dia yang tadi sedang berbaring kini terduduk di katil bersaiz single itu.
Anak...?
Laju kepala menunduk melihat bentuk tubuh dan perutnya. Namun, dia hanya melihat perutnya yang sudah kempis seperti dirinya sebelum mengandung.
"A-abang."
Muadz kelu. Kaku. Yakin pasti Himayah sudah sedar tentang anak mereka. Sedaya upaya Muadz menahan matanya dari mengeluarkan bulir jernih.
"Abang?" Perlahan hampir berbisik tidak percaya.
Diam Muadz dianggap sebagai jawapan.
"Abang mana anak kita? Abang?! Abang?!!" Tidak semena-mena suaranya meninggi. Kewarasannya seolah hilang sehingga berani menaikkan suaranya pada syurganya sendiri.
Lengan Muadz digoncang kuat. Semakin berkaca-kaca mata Muadz. Rasa bersalah semakin menggunung.
"A-abang minta maaf, sayang." Muadz cuba menahan getaran dalam suaranya.
"Kenapa abang minta maaf? Tak, tak, tak!" Dia cuba meyakinkan dirinya bahawa apa yang difikirkannya ialah tidak benar.
Sunyi menghimpit bilik itu seketika sebelum Muadz bersuara.
"Abang tak dapat selamatkan anak kita..." Terketar-ketar tangan Muadz memeluk tubuh isterinya untuk menenangkannya.
Jauh di lubuk hati yang terdalam, dia juga terluka. Rasa bersalah sentiasa menghantui diri. Dia juga merasakan sakit yang sama seperti Himayah, peritnya rasa kehilangan anak yang ditunggu berbulan-bulan akan kehadirannya.
ANDA SEDANG MEMBACA
Malaikat tak terduga
RomanceMuadz Hazim x Himayah Haseena Himayah Haseena, seorang wanita sebatang kara yang bekerja sebagai pelayan di restoran untuk menyara dirinya sendiri. Suatu hari dia mendapat pekerjaan yang sudah lama diimpikan. Dan di sanalah dia menemukan seorang jej...
