BAB 39

11 0 0
                                        

TELAPAK tangan Himayah digenggam erat dengan esakan yang menemani segenap ruangan bilik berkatil bujang itu.

"Sayang, cepatlah bangun. Abang rindu sayang ni." Semakin kuat esakan yang dikeluarkan.

Air mata yang mengalir sudah tidak dapat dibendung lagi. Sejak tadi lagi matanya tidak berhenti mengeluarkan cecair jernih.

Sudah enam jam Himayah tidak sedarkan diri setelah kemalangan tadi berlaku. Operasi telah pun selesai tiga jam yang lalu.

Enam jam Himayah di hospital, enam jam jugalah Muadz di situ menemani pemilik hatinya. Tidak sedikit pun dia jemu menunggu Himayah sedar.

Tok, tok, tok!

Muadz menoleh sekilas lalu mengesat lebihan air mata yang tersisa di pipinya.

"Assalamu'alaikum."

"Wa'alaikumsalam ummi, abi," jawabnya. Tangan Puan Mariam dan Tuan Musa disalam dan dicium.

"Himayah macam mana Muadz? Belum sedar lagi?" Puan Mariam memandang mereka sayu. Ini kali kedua dia dan suaminya datang tetapi menantu mereka masih belum sedar.

Tengah hari tadi mereka melawat, mereka dimaklumkan bahawa Himayah harus segera melakukan operasi demi keselamatannya.

"Belum lagi, ummi," jawab Muadz dengan nada lesu.

"Muadz kena sabar, Allah tengah uji kita sekarang. Kita terima dengan hati yang terbuka, ya?" pesan Puan Mariam.

Air mata kembali mengalir apabila mendengar ayat dari insan yang digelar ibu. Hatinya kembali sayu.

Belakang tubuh anak lelakinya diusap lalu dipeluk bagi menyalurkan kekuatan. "Muadz kena kuat. Untuk Himayah, untuk anak Muadz dan Himayah juga."

Semakin kuat tangisannya kedengaran mengenangkan anak syurga mereka.

"Tak boleh, abi. Muadz tak rasa Muadz kuat. Muadz tak tahu nak cakap apa pada Himayah bila dia sedar nanti." Suaranya bergetar kala mengungkapkan itu.

Puan Mariam dan Tuan Musa terkedu. Buat kali pertama mereka melihat tangisan anak mereka bersama esakan yang amat sayu. Selama ini, sedih macam mana pun Muadz kongsi ceritanya pada mereka, dia tidak pernah menangis sekuat ini. Muadz menangis pun sukar untuk mereka lihat.

"Muadz kuat dengan izin Allah. Allah ada dengan Muadz." Tuan Musa tetap memberi semangat meskipun dia turut sedih melihat keadaan anak dan menantunya.

"Muadz kuat, Muadz. Ummi tahu," pujuk Puan Mariam lagi.

Tidak hanya itu, Puan Mariam juga mengusap-usap bahu anaknya.

"Insya Allah Himayah akan faham. Muadz slow talk dengan dia ya. Tapi kalau dia dah sedar nanti jangan sebut pasal anak kamu dulu ya, kecuali dia sendiri yang sebut."

Kata-kata semangat dari mereka sedikit meredakan emosinya. Nafasnya mula teratur. Muadz mengangguk perlahan menerima kata-kata itu.

"Baik, ummi. Terima kasih ummi, abi," ucapnya ikhlas.

Ummi dan abinya hanya tersenyum dan mengangguk sekali.

"Muadz... Muadz, bersihkan diri dulu ya, segarkan badan. Ini ummi ada bawakan pakaian Muadz." Beg yang berisi pakaian Muadz ditunjuk.

"Okey, ummi." Beg itu dicapai lalu beredar dari bilik berdinding putih itu.

"Lepas mandi kita makan sama-sama," kata Puan Mariam sebelum Muadz melangkah keluar.

Muadz hanya memberi anggukan sebagai jawapan bahawa dia bersetuju.

Baru beberapa langkah keluar dari bilik itu, dia disapa oleh seorang lelaki berpakaian kemas dengan seluar slack dan shirt.

Malaikat tak terdugaCerita yang buat anda obses. Terokai sekarang