BAB 18

23 5 0
                                    

Imbas kembali...

"BETUL ke ni? Allah... alhamdulillah, alhamdulillah!" Emel yang baru sahaja membawa berita gembira itu membuatkan bibirnya tidak berhenti memuji sang pencipta. Bersyukur.

Setelah lama bekerja sebagai pelayan di restoran, akhirnya impiannya untuk bekerja di sebuah syarikat yang terkenal tercapai. Berkat usahanya dan keputusannya yang cemerlang sebelum ini.

Hari pertama bekerja sebagai accountant di sana memang tak menang tangan.

"Assalamualaikum... Himayah Haseena, kan?" tegur seorang jejaka berkot hitam di depan mejanya. Auranya sangat kuat untuk menarik perhatian seorang Himayah.

"Wa- waalaikumsalam, ya saya?" Kepala yang tertunduk meneliti kertas-kertas mendongak. Kakinya terus tegak berdiri sebaik mendengar teguran itu.

"Masuk bilik saya sekarang," arah lelaki itu. Jika dilihat dari penampilan, lelaki itu langsung tidak terlihat garang.

"Uh... B-baik," balas Himayah teragak-agak.

KEDUA jari telunjuk diketuk-ketuk menunggu bicara dari lelaki tadi di dalam biliknya dengan kepala sentiasa menunduk.

"Nama penuh?" soal lelaki itu memulakan perbicaraan.

"Himayah Haseena binti Hussein." Berdebar-debar jantungnya sekarang ini. Siapa dia ni? Bos aku ke? Seram juga sebenarnya walaupun dia nampak baik.

"Umur?"

"Dua puluh dua."

"Dah tahu saya siapa?" Soalan maut akhirnya keluar juga.

"Aaa... errr... t-tak?" Terkelu lidahnya. Lebih baik jujur dari menipu. Lagi buruk padahnya nanti.

"Baik, saya bos awak, Muadz Hazim. Semua kerja yang awak buat semuanya dari arahan saya. Salam kenal, Himayah Haseena. Dan selamat datang ke syarikat ini." Kepala ditunduk sekali. Senyum dihulur dengan ikhlas.

"Terima kasih, bos. Bos boleh panggil Himayah aje." Senyum dibalas nipis. Huh, lega. Tak adalah seram mana bos aku ni.

"Janganlah berbos-bos dengan saya. Panggil nama aje." Ramah sungguh dia sehingga panggilan pun tidak perlu berpangkat.

"Eh... mana boleh macam tu. Saya panggil Tuan Muadz aje boleh?" Tak tentu arah Himayah dibuatnya. Baru dua hari kerja di sini sudah berlagak seperti berkawan sudah lama. Apa nanti kata orang? Orang lain elok sahaja memanggilnya dengan panggilan encik.

"Ermm... tak boleh. Saya belum kahwin lagi jadi, macam tak sesuai." Pendapatnya memang betul. Muka pun masih nampak muda.

"Kalau macam tu, Encik Muadz?" Masih lagi dia berdegil mahu memanggil menggunakan pangkat.

"Memang tak nak panggil guna nama ke?"

"Saya segan. Apa orang kata nanti."

"Nak segan apa? Saya bos awak, awak dengar arahan saya saja." Dahinya berlapis memberitahu itu.

"Ehehe... tak apa, saya lagi selesa panggil macam tu. Boleh ya?" Sengihan ditayang tak berapa ikhlas. Terdengar keluhan lembut dari si lawan bicara.

"Baiklah, ikut awak. Itu saja saya nak tanya buat masa ni." Anggukan Muadz serta merta menggerakkan tubuh Himayah untuk berdiri.

"Terima kasih, Encik Muadz. Maaf jika ada terkasar bahasa." Dia menunduk sekali sebelum melangkah keluar.

"Sama-sama." Alahai, sopan betul perempuan ni, dengan pemakaiannya yang sangat sopan, menutup aurat lengkap dengan sarung tangan dan stokin. Pakaian labuh dan longgar. Sejuk mata memandang.

"Boleh buat bini ni." Muadz bergumam sendiri.

"Apa kau cakap? Bini? Siapa kau nak buat bini?" Fathur yang baru masuk ke bilik itu tertanya-tanya.

"Allah... dah sampai rupanya. Tak adalah, pekerja perempuan baru tu... sopan aje aku tengok, pakaian pun menutup aurat sempurna. Bolehlah nak buat bini." Bahunya diangkat dengan riak wajah selamba. Bibir dijuih ke depan.

"Mana? Nak jugak kenal. Mana tahu melekat," seloroh Fathur pula.

"Nantilah kau kenal-kenal dengan dia. Dia tengah nak buat kerja tu." Benar, Himayah sepatutnya mengerjakan tugasnya tadi tetapi Muadz yang mengganggu masanya.

"Cakap ajelah kau nak sambar dia dulu sebelum aku." Fathur menayang sengih nakal. Keningnya dijongket berkali-kali.

"Macam-macamlah kau ni..." Malas hendak melayan Fathur.

Malaikat tak terdugaWhere stories live. Discover now