ZARRA sedang menyiapkan dokumen di mejanya tatkala seorang pekerja dari bahagian resepsi menelefon melalui telefon pejabat."Puan Zarra, ada seseorang di lobi yang minta nak jumpa puan. Katanya penting," kata pekerja tersebut di hujung talian.
Zarra merasa agak musykil. "Oh, siapa dia?" tanyanya dengan nada penuh teka-teki.
"Tak pasti, puan. Tapi dia menunggu di sofa dekat dengan ruang menunggu."
Zarra mengangguk, terbayangkan Rafael yang mungkin datang untuk mengejutkannya. Dia segera menuju ke arah lif dengan senyuman lebar, harapannya tinggi untuk bertemu dengan Rafael meskipun dia tertanya-tanya apa yang menyebabkan Rafael sanggup mencemarkan kaki ke syarikat dia bekerja. Namun, apabila pintu lif terbuka dan dia melangkah keluar, dia terkejut melihat Malik duduk di sofa ruang menunggu. Malik kelihatan sopan dengan beg kertas di tangannya.
'Apa yang dia buat di sini?!' getus hati Zarra dengan amarah yang masih tersemat di dalam hati. Dengan langkah perlahan dan berhati-hati, dia mendekati Malik.
Malik perasan kehadiran Zarra terus berdiri dengan senyuman nipis. Lain dengan perwatakan Zarra, wanita itu hanya memasamkan wajah tanda tidak suka. "Assalamualaikum, Zarra,"
"Apa yang kau buat di sini, Malik? Kau nak malukan aku ke apa?!" Dia segera menarik Malik jauh daripada kawasan ramai orang dan pergi ke kawasan yang tersembunyi dari pandangan orang lain. Naya kalau orang yang kenalinya tahu siapa yang sedang menemuinya.
"Zarra, Zarra dah makan ke? Tadi Malik perasan makanan tengah hari Zarra masih di atas meja makan. Malik ingat Zarra lupa nak bawa itu yang Malik datang ke sini untuk hantar," jelas Malik sambil menghulurkan makanan kepada Zarra.Zarra semakin memerah wajah. Alasan Malik baginya tidak munasabah sehingga perlu menjejakkan kaki ke syarikat jika hanya sekadar untuk menghantar makanan kepadanya.
"Eh bangang! Kau tengoklah sekarang dah pukul berapa?! Dah nak pukul 4 petang! Makan tengah hari apanya lagi?! Kalau aku tak bawa maksudnya pandai-pandailah aku cari makan kat luar. Aku bukannya tolol macam kau semua benda nak kena aturkan dalam hidup!" Bukan sahaja ditepis makanan itu jatuh ke lantai tapi jari Zarra juga menunjal dahi milik Malik seperti lelaki itu tiada maruah yang tersisa.
Malik cemas lalu segera mencapai beg kertas yang terjatuh di atas lantai. Dia memandang Zarra semula dengan sebuah pandangan kecewa. Sekali lagi dia buat Zarra marah akan dirinya. Dia cuba lagi untuk meringankan beban wanita itu tapi saban hari pasti ada je benda yang tidak kena dia buat.
"Malik minta maaf. Tadi Malik singgah masjid untuk solat jumaat. Itu yang sampai sini lambat, Zarra. Tapi kalau Zarra nak share makanan ni dengan kawan-kawan, Zarra boleh panaskan. Banyak Malik masakkan untuk Zarra harini," Bersungguh Malik ingin menjelaskan kenapa dia sampai lewat ke sini tapi seperti biasa, Zarra tidak ambil peduli.
"Jantan bengap, kau ni memang tak ada akal ke? Kau sengaja nak buat aku malu depan semua orang, kan?" Zarra terus menghamburkan kata-kata tanpa henti, tidak memberi ruang kepada Malik untuk membela dirinya. "Kau fikir dengan buat benda-benda macam ni, aku akan terharu dan terima kau?"
Malik terdiam, menundukkan wajahnya. Hatinya berdebar mendengar setiap perkataan yang dihamburkan. Walaupun dia tahu Zarra memang tidak menyukainya, tetapi dia tetap setia menjalankan tanggungjawabnya sebagai suami, walau sering dihina dan dicaci.
"Malik cuma nak pastikan Zarra makan dengan baik. Malik tahu Zarra sibuk dengan kerja, sebab tu Malik datang sini. Maafkan Malik kalau Malik dah buat Zarra marah lagi." Malik masih menekur lantai memandang ke arah kaki mereka yang bertentangan.
"Aku tak pernah peduli kau makan ke tidak dekat rumah so tak perlu nak tunjuk baik kau pada aku! Aku tak perlukan semua tu! Kau dengar tak, Malik?!"
Dia melangkah ke depan dengan penuh amarah, mendekati Malik dengan ketapan gigi yang kuat. "Kau tak layaklah jadi suami aku, Malik. Kau cuma beban dalam hidup aku."
YOU ARE READING
Sehangat Cinta Sejuknya Luka
RomanceRAJA MALIK SYAHIR x EVELYN SKYE Dalam dunia korporat yang penuh dengan intrik dan misteri, Evelyn Skye, wanita Alpha; seorang pewaris empayar perniagaan yang cemerlang, berhadapan dengan cabaran besar dalam hidupnya. Evelyn diganggu oleh sesuatu...