WARDEN penjara mengetuk perlahan pintu sel Zarra sebelum memanggil namanya, suaranya tegas namun bersifat formal. "Banduan 305; Zarra Ayesha, masa untuk sesi melawat. Ibu dan ayah awak ada di luar."Zarra yang duduk di sudut sel, terdiam seketika. Dengan langkah perlahan, dia berdiri dan berjalan keluar mengikut arahan warden. Hatinya bercampur-baur—antara rasa rindu pada keluarganya dan rasa malu dengan keadaan dirinya yang tidak terurus. Wajahnya yang membengkak akibat dibuli beberapa hari lepas masih terasa pedih, menambahkan rasa getir dalam hatinya.
Setibanya di bilik lawatan, Zarra diasingkan dengan dinding kaca. Puan Siti Halimah dan Encik Harris Ibrahim sudah menunggu di sebalik kaca itu, wajah mereka jelas menunjukkan riak kebimbangan. Mata Puan Siti Halimah mula berkaca saat melihat keadaan anak perempuannya.
Zarra duduk perlahan, mengangkat telefon di hadapannya. Tangannya sedikit menggeletar saat dia menyapa ibu bapanya. "Ibu... ayah..." suaranya lemah, hampir berbisik. Emosi di wajah seolah mati, tiada harapan baginya untuk kekal berjuang.
Puan Siti Halimah memegang gagang telefon di sebelahnya dengan erat, suara suaminya, Encik Harris, turut terdiam melihat wajah Zarra yang lebam dan penuh luka.
"Ya Allah, Zarra... apa yang berlaku?" Puan Siti Halimah bertanya, suaranya pecah. Air matanya tidak mampu lagi ditahan.
Zarra memandang ke bawah, cuba menyembunyikan keperitan di hatinya. "Tak ada apa-apa, bu. Zarra... Zarra okey."
Encik Harris menahan nafas panjang, melihat keadaan anak gadisnya yang jauh berbeza daripada sebelum ini. "Zarra, ayah dah cuba segala cara untuk bawa Zarra keluar dari sini. Percayalah, kami takkan biarkan Zarra lama-lama kat tempat ni."
"Zarra nak balik..." pinta Zarra sambil keesakan seperti anak kecil. Dia sudah serik untuk duduk di sini. Belum sebulan dia dah rasa macam nak gila. Macam mana dia mahu duduk di sini selama 5 tahun?
"Ya, sayang. Nanti ibu dan ayah akan berjumpa dengan keluarga Raja semula untuk mohon penarikan saman semula. Paling tidak pun kurangkan tempoh penjara kamu," pujuk Puan Siti Halimah lagi dengan linangan air mata. Nak tak nak mereka terpaksa menebalkan muka demi masa depan anak mereka. Kalau tidak, tak tahu apa yang akan terjadi pada Zarra dalam sana.
"Macam mana dengan Rafael? Ibu dan ayah dah bercakap dengan dia ke?" soal Zarra penuh harapan kerana ini je satu-satunya peluang untuk anak dalam kandungan mendapatkan hak. Rafael patut bertanggungjawab.
Encik Harris Ibrahim merengus kasar. Kesal dengan apa yang menimpa anaknya. "Kami dah cari menggunakan alamat rumah yang Zarra bagi haritu. Keluarganya memang tak tahu tentang perkembangan terkini dia. Dengar cerita juga dia dah bercerai dengan isterinya. Lepastu tak tahu jadi apa kat budak tu," Keras nada Encik Harris Ibrahim apabila mengingati semula pada lelaki yang telah merosakkan Zarra. Kalau dia dapat Rafael, memang dia kerjakan cukup-cukup.
Zarra semakin teresak mendengar jawapan ayahnya. "Takkan dia tinggalkan Zarra macam ni, ayah? Anak ni anak dia... Rafael patut bertanggungjawab." Suaranya bergetar dengan kesedihan dan kekecewaan yang mendalam. Baginya, Rafael adalah satu-satunya harapan untuk menyelamatkan masa depannya—masa depan anak mereka.
Puan Siti Halimah, yang duduk di sebelah, mengusap lengan suaminya, cuba meredakan ketegangan yang semakin memuncak di dalam bilik lawatan itu.
"Ibu, Zarra tak tahu apa lagi yang boleh dibuat. Zarra dah penat... Zarra tak tahan duduk sini lama-lama." Matanya yang sembab akibat tangisan kelihatan semakin merah, menambahkan beban emosi yang terasa berat di dadanya.
Encik Harris Ibrahim mengeluh panjang, matanya tajam memandang ke bawah. "Zarra, ayah takkan biarkan kamu derita macam ni. Kalau Rafael lari, kita akan ambil tindakan. Kalau dia tak nak bertanggungjawab, kita akan heret dia ke mahkamah. Anak ini tak patut dibiarkan tanpa hak."
YOU ARE READING
Sehangat Cinta Sejuknya Luka
Storie d'amoreRAJA MALIK SYAHIR x EVELYN SKYE Dalam dunia korporat yang penuh dengan intrik dan misteri, Evelyn Skye, wanita Alpha; seorang pewaris empayar perniagaan yang cemerlang, berhadapan dengan cabaran besar dalam hidupnya. Evelyn diganggu oleh sesuatu...