BALLROOM hotel yang anggun itu berdiri megah, dihiasi dengan cita rasa yang begitu tinggi, mempamerkan kemewahan yang memukau. Lampu-lampu kristal bergemerlapan di atas siling, memancarkan cahaya lembut yang mencipta suasana romantis dan eksklusif. Setiap meja dihiasi bunga segar yang dipilih dengan teliti, baunya memenuhi ruang, memberikan rasa tenang dan mendalam kepada setiap tetamu yang hadir. Udara di sekeliling terasa penuh dengan haruman mawar putih dan lavender, campuran yang sempurna untuk majlis berprestij seperti ini.Majlis tersebut bukanlah sekadar pertemuan biasa. Ia adalah satu sambutan istimewa bagi keluarga Skye, sebuah keluarga terkemuka di Rusia yang berabad-abad lamanya dihormati dan digeruni. Darah serigala jadian yang mengalir dalam salasilah mereka telah menjadikan keluarga ini simbol kuasa, ketahanan, dan kekuasaan yang tiada tanding. Ketibaan Malik sebagai ahli baru dalam keluarga disambut dengan penuh kebanggaan dalam satu acara besar.
Di tengah-tengah kemeriahan itu, Evan Skye berdiri megah. Wajahnya yang tampan memancarkan karisma seorang pemimpin sejati. Dengan senyuman yang mampu memukau sesiapa sahaja yang memandang, dia adalah pusat perhatian pada malam itu. Matanya yang tajam dan penuh keyakinan tidak pernah terlepas dari memerhatikan sekelilingnya, seolah-olah setiap inci ruang ballroom itu berada di bawah pengawasannya. Di sisinya, Eva Sabrina tampak begitu menawan dalam gaun putih yang sempurna, hijab yang menepati syarat seorang perempuan muslimah menambah aura kecantikan yang tiada tandingan.
"Daddy, mummy..." Suara Evan melontar dengan lembut ketika dia melihat Lord Alexei Skye, ayahnya, bersama Lady Irina, isteri kedua Lord Alexei yang anggun dan penuh karisma.
Alexei masih segak dalam tuxedo hitam, badannya yang tegap tidak menggambarkan usia senjanya. Garisan-garisan di wajahnya membawa cerita tentang pertempuran, pengorbanan, dan kebijaksanaan seorang ketua yang pernah memimpin klan mereka dengan tangan besi. Namun, kekuasaan itu kini perlahan-lahan diserahkan kepada pewaris-pewarisnya; Evan dan adik-beradiknya.
"Lama tak nampak kau, Evan. Kali terakhir daddy jumpa kau masa perkahwinan Evlis. Lepas habis majlis Evelyn ni, agaknya sampai bila-bila kut tak nampak muka kau lagi," ujar Alexei sambil tersenyum sinis, namun ada sinar bangga yang terpendam di matanya.
Evan tergelak kecil mendengar sindiran ayahnya. "Bukan macam tu, Daddy. Sekarang saya lebih fokus pada keluarga sendiri. Lagipun, tanggungjawab saya sebagai ketua puak EV makin banyak yang perlu saya jaga."
Lady Irina hanya tersenyum tipis, pandangannya tajam memerhati situasi di sekeliling. Dia adalah lambang ketenangan, seorang wanita dengan kecerdasan yang tinggi, yang bukan sahaja mengurus rumah tangga, tetapi juga menyimpan rahsia-rahsia penting keluarga mereka. Aura dinginnya sering meninggalkan kesan mendalam pada sesiapa sahaja yang berinteraksi dengannya.
"Eva darling, bila nak balik Rusia lagi? Tak rindu mummy dah ke?" Lady Irina menyapa menantunya di sebelah Evan. Ciuman kedua belah pipi disambut dengan penuh hormat dan kasih.
"Rindu. Apa pula tak rindu? Nanti kalau Evan dah selesaikan urusan di Malaysia, kami balik Rusia semula," balas Eva sebelum mereka berborak dengan perkara lain tentang majlis ini.
Evan bukanlah satu-satunya pewaris dalam keluarga Skye. Di sekelilingnya, adik-beradik lelakinya berdiri megah, masing-masing dengan karakter yang berbeza tetapi sama-sama penting dalam memastikan kelangsungan kuasa keluarga mereka.
Nikolai Skye, abang sulung Evan, bersandar di sudut ballroom dengan wajah yang sukar dibaca. Senyum sinis menghiasi bibirnya, dan matanya yang kelam menyorot segala pergerakan di sekelilingnya. Nikolai dikenali sebagai ahli strategi dalam keluarga, seorang lelaki yang licik dan sukar ditebak. Mempunyai legasi keluarga yang memiliki syarikat menghasilkan senjata api yang berlesen.
YOU ARE READING
Sehangat Cinta Sejuknya Luka
RomansaRAJA MALIK SYAHIR x EVELYN SKYE Dalam dunia korporat yang penuh dengan intrik dan misteri, Evelyn Skye, wanita Alpha; seorang pewaris empayar perniagaan yang cemerlang, berhadapan dengan cabaran besar dalam hidupnya. Evelyn diganggu oleh sesuatu...