TIADA seorang pun yang bersuara, seolah-olah kehadiran makhluk buas itu adalah perkara yang biasa bagi mereka. Aura aneh yang selama ini mengelilingi keluarga Skye semakin terasa jelas, lebih dingin dan penuh misteri.Serigala itu berhenti di tengah ballroom, tepat di depan Malik, matanya yang tajam dan berwarna kuning terang merenung tepat ke arah Malik—tidak berganjak, tidak berkedip. Ia seolah-olah menguji keberanian Malik, membaca jauh ke dalam jiwanya. Malik menahan nafas, tubuhnya terasa berat, tidak pasti bagaimana harus bertindak. Serigala itu walaupun tidak menunjukkan tanda-tanda menyerang, tetap membawa aura bahaya yang tidak dapat dinafikan.
Mira tersenyum tipis melihat reaksi Malik. Senyumannya bukanlah tanda keramahan—ia lebih kepada senyuman seorang pemburu yang telah mengesan kelemahan mangsanya.
"Jangan risau," suara Mira akhirnya pecah, tenang tetapi dingin. "Ini Helios, dia tidak akan mencederakan awak selagi awak tidak menunjukkan ketakutan."
Kata-kata itu seakan-akan menyindir Malik, seolah-olah Mira sedang menantikan saat di mana dia akan tunduk kepada ketakutan yang mula merayap dalam dirinya. Namun Malik, walaupun terasa macam nak pitam, cuba mengekalkan ketenangannya. Dia tahu, menunjukkan kelemahan di hadapan keluarga ini adalah sesuatu yang tidak boleh dilakukan. Dia perlu menjaga air muka Evelyn juga.
"Serigala?" Malik bersuara perlahan, cuba mengawal nada suaranya agar tidak bergetar. "Kenapa dia ada di sini?"
Mira memandangnya dengan sinar mata yang hampir tidak manusiawi, dingin dan penuh misteri. "Awak tak tahu? Helios adalah sebahagian daripada kami. Serigala bukan sekadar peliharaan dalam keluarga ini. Ia... lebih kepada simbol."
"Mira," Evelyn menegur keras dengan wajah yang bengis. Mira terus mengangkat tangannya namun senyuman masih belum pudar, tidak terkesan langsung dengan amarah Evelyn.
"Okay. Aku bawa Helios keluar. Janganlah macamtu, Evelyn. Ash pun kesayangan kau juga kan?"
Evelyn yang berdiri di sebelah Malik meletakkan tangannya di lengan Malik. "Mira selalu membawa Helios dalam acara keluarga. Serigala keluarga ini memang jinak dan tak merbahaya. Nanti saya bawa jumpa Ash saya."
Malik mengangguk perlahan, tetapi fikirannya masih terbelenggu dengan pertanyaan. Apa yang sebenarnya dimaksudkan oleh Mira? Fikiran Malik berputar-putar, cuba mencari logik di sebalik semuanya, namun tiada jawapan yang masuk akal.
Anton yang masih berada di situ menyedari kebekuan suasana itu. Dengan langkah perlahan, dia menghampiri Mira dan serigalanya, matanya juga dingin tetapi tidak sekeras tatapan Mira. "Jangan terlalu menakutkan orang, bengong."
Mira hanya tersenyum lagi, senyum sinis yang kelihatan terlalu terbiasa di bibirnya. "Malik perlu belajar, Anton. Kalau dia mahu menjadi sebahagian daripada keluarga ini, dia harus terbiasa dengan kehadiran yang berbeza."
Dan di satu sudut, Dimitri—Antara sepupu yang lebih hampir sebaya dengan Evelyn—berdiri dalam bayang-bayang. Dia hanya memerhati dari jauh, tetapi kehadirannya seolah-olah memenuhi ruang itu dengan kekuasaan. Tatapannya penuh dengan kewibawaan yang tidak memerlukan suara untuk berbicara. Seperti seekor serigala alpha, dia hanya memantau, memastikan segala-galanya berjalan seperti yang diinginkan.
Evelyn perasan akan tatapan tajam Dimitri itu terus berubah riak wajah.
"Mari," Evelyn menarik tangan Malik perlahan. "Kita tinggalkan mereka buat seketika."
Malik menarik nafas lega ketika mereka meninggalkan ruang yang penuh dengan keanehan itu. Tapi di hatinya, dia tahu, inilah keluarganya sekarang—penuh dengan misteri dan kuasa yang tidak dapat dijelaskan.
YOU ARE READING
Sehangat Cinta Sejuknya Luka
Roman d'amourRAJA MALIK SYAHIR x EVELYN SKYE Dalam dunia korporat yang penuh dengan intrik dan misteri, Evelyn Skye, wanita Alpha; seorang pewaris empayar perniagaan yang cemerlang, berhadapan dengan cabaran besar dalam hidupnya. Evelyn diganggu oleh sesuatu...