RAJA MUHAMMAD IDRIS ALIM duduk di ruang tamu sambil membelek-belek surat khabar. Namun fikirannya jauh menerawang, cuba mencari masa yang sesuai untuk berbicara dengan Malik. Malik kelihatan masih teraba-raba, tidak menyedari apa yang sedang berlaku di sekelilingnya.Malik muncul dari dapur, selesai menolong bondanya mengemas apa yang perlu. Wajahnya sedikit penat tetapi tidak menunjukkan tanda dia mahu berkongsi apa-apa.
"Malik, sini sekejap," Raja Muhammad Idris Alim memulakan bicara dengan lembut, tetapi ada nada serius dalam suaranya.
"Ya, ayahanda?" Malik memandang ayahandanya dengan wajah yang keliru. Dia tidak jadi untuk naik ke tingkat atas sebaliknya mengatur langkah ke sofa di tempat ayahanda duduk.
Raja Muhammad Idris Alim meletakkan surat khabarnya, menatap wajah Malik dengan teliti. "Ayahanda perasan Evelyn macam lain pagi ni berbanding dengan semalam. Kamu berdua ada bertikam lidah ke malam tadi? Ayahanda tanya bukan nak syak apa-apa tapi kalau ada masalah dan sebelum melarat dengan lebih teruk baik ayahanda tanya awal-awal,"
Malik kelihatan hairan seketika, tidak menyangka soalan itu akan ditanya. "Evelyn okey je, ayahanda."
Raja Muhammad Idris Alim menarik nafas panjang, kemudian meletakkan tangan di bahu Malik. "Malik, ayahanda tahu kamu anak yang polos. Terlalu polos sampai kadang-kadang tak nampak apa yang berlaku depan mata. Ayahanda tak nak masuk campur hal rumah tangga kamu, tapi sebagai seorang bapa, ayahanda mestilah risau."
Malik mengerutkan dahi, memikirkan apa yang dimaksudkan oleh ayahandanya. Dia tidak pernah fikir bahawa ada masalah antara dia dan Evelyn. Semuanya kelihatan baik-baik saja di matanya, walaupun Evelyn agak berbeza pagi tadi.
"Tapi kami tak ada gaduh apa-apa, ayahanda. Cumanya Malik perasan juga Evelyn tak banyak cakap lepas bangun pagi tadi,"
Raja Muhammad Idris Alim tersenyum nipis, seakan-akan memahami sesuatu. "Malik, kadang-kadang perempuan ni tak tunjuk mereka tak puas hati secara terang-terangan. Mereka diam, tapi diam mereka tu banyak maksud. Kamu kena lebih peka. Jangan biar dia simpan apa-apa dalam hati. Kalau tak, lama-lama masalah kecil boleh jadi besar."
Malik menelan liur. Dia mula menyedari apa yang ayahandanya katakan. "Tapi... Malik tak tahu apa yang Evelyn tak puas hati. Dia tak ada cakap apa-apa pun..."
"Meh ayahanda ajar kamu serba sedikit untuk kamu sedar. Kamu kena belajar faham isyarat, bukan tunggu semuanya keluar dari mulut mereka. Kemungkinan Evelyn rasa dia tak dihargai, mungkin dia rasa tak cukup perhatian, atau mungkin ada perkara yang dia tak setuju, tapi dia pendam. Sebab itu kamu kena tanya, kena berbual. Kena lebih peka," nasihat Raja Muhammad Idris Alim panjang lebar, matanya tidak lepas dari memandang wajah anaknya.
Malik termenung seketika. Kemudian, dia menggaru kepala tidak gatal. "Malik tak perasan semua tu, ayahanda... Mungkin sebab Malik ni lembab," dia berkata perlahan, nadanya seolah-olah menyalahkan dirinya sendiri.
Raja Muhammad Idris Alim tersenyum, memegang bahu Malik dengan lebih erat. "Bukan lembab, Malik. Cuma kamu belum terbiasa. Tapi tak apa, semua orang ada masa untuk belajar. Bukan mudah, tapi kalau kamu ikhlas dan mahu belajar, semuanya akan jadi lebih baik."
"Jadi, Malik kena cakap dengan Evelyn?" tanya Malik, masih sedikit ragu-ragu.
"Ya, cakap. Dengar apa yang dia rasa, apa yang dia simpan dalam hati. Jangan biarkan dia rasa keseorangan dalam rumah tangga ini. Kamu berdua suami isteri, Malik. Kalau salah seorang rasa terbeban, yang lain perlu bantu mengangkat beban itu."
Malik menghela nafas panjang, kemudian tersenyum lemah. "Terima kasih, ayahanda. Malik akan cuba cakap dengan Evelyn nanti."
Raja Muhammad Idris Alim mengangguk perlahan. "Insha Allah, semua akan baik-baik saja. Ingat, Malik. Dalam rumah tangga, komunikasi itu kunci. Kalau tak berbual, tak saling memahami, semua akan jadi lebih sukar."
YOU ARE READING
Sehangat Cinta Sejuknya Luka
RomanceRAJA MALIK SYAHIR x EVELYN SKYE Dalam dunia korporat yang penuh dengan intrik dan misteri, Evelyn Skye, wanita Alpha; seorang pewaris empayar perniagaan yang cemerlang, berhadapan dengan cabaran besar dalam hidupnya. Evelyn diganggu oleh sesuatu...