"HUH!" Nafasnya tercungap-cungap, bagai baru sahaja diseret keluar dari lautan mimpi ngeri yang gelap dan tidak bertepi. Peluh dingin membasahi wajahnya, mengalir perlahan di sepanjang pelipis.Setiap helaan nafas, setiap degup jantung yang terpukul dalam dada Evelyn. Dalam mimpi tadi, Evelyn melihat Malik—wajahnya tenang, senyuman sayu menghiasi bibir, tetapi langkahnya perlahan-lahan menjauh. Semakin jauh... seolah-olah direnggut oleh maut, dibawa pergi tanpa meninggalkan apa-apa selain rasa kehilangan yang perit.
Evelyn cuba menjerit, cuba menariknya kembali, tetapi suara yang keluar hanya tenggelam dalam kekosongan.
Dia terjaga dengan debaran di dada, memalingkan wajahnya ke arah katil sofa di sudut bilik. Malik terbaring di situ, nyenyak di bawah cahaya suram, terasing dan jauh—bukan hanya dari tempat tidurnya, tetapi juga dari hati isterinya sendiri.
Pandangan Evelyn terpaku seketika, kesedihan yang dalam menguasai dirinya. Bayangan mimpi itu... adakah itu petanda? Adakah dia benar-benar sedang kehilangannya, perlahan-lahan, tanpa disedari?
Dalam kesunyian yang menghantui malam itu, Evelyn termenung sejenak, membiarkan fikirannya hanyut ke dalam lautan kenangan pahit.
Setiap detik selepas tragedi itu terasa seperti bayangan hitam yang terus menghantui; dia teringat bagaimana dia mula menjauhkan diri daripada Malik, menuduhnya tanpa alasan, hanya kerana dirinya tak mampu menahan derita yang menghimpit.
Kesalahan yang pertama—menyalahkan Malik, seolah-olah Malik tak mengalami kehilangan yang sama, seolah-olah dia tidak berdiri di sisinya sepanjang masa, cuba memahami, cuba memulihkan hati yang terluka.
Namun, Evelyn memilih untuk melemparkan tuduhan yang pedih, kata-kata yang merobek jiwa lelaki yang paling dia cinta.
Kemudian, Evelyn mengingati saat dia menutup pintu hati, menolak tangan Malik setiap kali lelaki itu cuba mendekatinya. Dia memutuskan hubungan, bukan hanya secara fizikal, tetapi juga emosi. Malik ditinggalkan dalam dunia sunyi, terasing daripada perasaan isteri yang sepatutnya menjadi tempat dia bersandar.
Tapi Evelyn terlalu tenggelam dalam kesedihan sendiri, sehingga dia tidak melihat betapa Malik juga sedang perlahan-lahan hancur di hadapannya.
Dia juga teringat bagaimana dia sering meracau dalam kemarahan, menyalahkan semua orang di sekelilingnya—menyalahkan Malik, keluarga mereka, malah Tuhan atas kehilangan yang mereka tanggung. Seolah-olah menuduh dunia ini bersalah kerana tidak memberi peluang kedua.
Dan kesalahan yang paling besar—dia tidak menghargai cinta Malik, cinta yang tak pernah berubah walaupun Evelyn terus mendorongnya ke tepi. Malik tetap di situ, setia, walaupun dirinya dihambur dengan kecurigaan, kemarahan, dan tuduhan yang tak berasas. Evelyn tahu, dia telah mengecewakan lelaki yang pernah dia janjikan untuk mencintai selamanya.
Evelyn melangkah perlahan, hampir tidak bersuara, menghampiri Malik yang terbaring nyenyak di katil sofa yang selesa. Wajah lelaki itu kelihatan tenang dalam tidur, meskipun tangan kanannya berbalut kemas akibat kecederaan yang dialami.
Ubat tahan sakit yang diambil selepas pulang dari klinik nyata telah membawanya ke dalam dunia tanpa mimpi, dunia yang tidak terganggu oleh kesakitan mahupun luka yang menjerut hati mereka berdua.
Namun, di mata Evelyn, pemandangan ini menusuk dalam—sebuah simbol keheningan yang lahir daripada kesilapan. Setiap balutan di tangan Malik bagaikan peringatan bisu tentang apa yang dia telah lakukan.
Dia duduk di sisi Malik, melihat setiap nafas yang dihela lelaki itu, melihat bagaimana dada Malik naik turun perlahan-lahan, tenang di bawah pengaruh ubat. Dalam kediaman malam, Evelyn mula merasakan betapa terasingnya mereka kini, walaupun hanya beberapa langkah memisahkan mereka.
YOU ARE READING
Sehangat Cinta Sejuknya Luka
RomanceRAJA MALIK SYAHIR x EVELYN SKYE Dalam dunia korporat yang penuh dengan intrik dan misteri, Evelyn Skye, wanita Alpha; seorang pewaris empayar perniagaan yang cemerlang, berhadapan dengan cabaran besar dalam hidupnya. Evelyn diganggu oleh sesuatu...