HANYA sejalur cahaya rembulan yang masuk menerusi tirai tingkap, membiaskan sinar kelam di segenap ruang kamar yang hening itu. Suara esak tangis Eqa perlahan-lahan memenuhi keheningan malam, memecah sunyi yang sebelum ini hanya diisi dengan deraian air mata yang mengalir tanpa henti.Di atas katil, tubuh Eqa terbaring lemah, tersedu-sedan sambil wajahnya tenggelam dalam timbunan bantal yang sudah basah dengan titisan air mata. Tangannya menggenggam kain selimut erat, seolah-olah itulah satu-satunya pegangan yang mampu meredakan gejolak di hatinya yang bergelora.
Keperitan yang membaluti hatinya bukan sekadar kepedihan biasa, tetapi luka dalam yang menoreh hingga ke dasar perasaan. Malam semalam, apa yang dia saksikan—Evelyn dan Malik ditangkap basah oleh pihak berkuasa—menghancurkan segala harapan yang pernah dia simpan. Malam yang dianggap sebagai mimpi buruk itu terus bermain-main di fikirannya, berulang-ulang tanpa henti.
Eqa menarik nafas dalam, cuba menenangkan degup jantung yang masih deras berlari, namun setiap kali kelopak matanya terpejam, wajah Malik dan Evelyn muncul, menggugat segala ketenangan yang dia cuba bina.
"Kenapa... kenapa perlu jadi macam ni..." Suara Eqa terputus-putus antara sedu dan tangis, nadanya seakan-akan menyoal langit yang membisu.
Dalam keheningan malam, Eqa terasa dunianya runtuh tanpa amaran. Sekeping hati yang selama ini teguh, kini retak seribu. Betapa dia berharap semua ini hanyalah mimpi, bahawa apa yang dilihatnya hanyalah bayang-bayang khayal yang akan pudar sebaik sahaja dia membuka mata.
Ini bukan kali pertama dia menangis kekecewaan atas apa yang terjadi. Sewaktu pengumuman penyatuan Malik dan Zarra dulu pun dia meraung kesakitan begini di tempat belajarnya. Perasaan yang dipendam untuk Malik ternyata sia-sia dan ini kali kedua dia gagal menyatakan cinta kepada lelaki itu.
Evelyn yang entah datang dari mana terus mencuri peluang dengan keji. Dia merasakan tangkap khalwat itu adalah dirancang dan Evelyn dalang disebaliknya.
Tidak tahu apa motif sebenar Evelyn kerana menginginkan Malik hanya alasan suka adalah benda mustahil untuk wanita bekerjaya sepertinya.
"Mesti perempuan tu ada niat jahat. Tengok mata pun dah tahu. Banyak sangat muslihat!" bentak Eqa kegeraman.
"Tak apa, Evelyn. Aku akan buktikan pada semua orang yang kau sebenarnya duri dalam daging,"
PENJARA. Sebuah dunia yang kelam, tersisih dari segala kebebasan dan sinar harapan. Bagi Zarra, tembok batu yang dingin dan pintu besi yang berat menjadi saksi setiap detik kesedihannya. Tiada lagi glamor kehidupan yang pernah dia nikmati suatu ketika dahulu. Di sini, dia hanya seorang banduan – tiada nama, tiada maruah, hanya sebuah identiti yang dipenjara oleh dosa masa lalu.
Zarra menghela nafas panjang, matanya melilau memerhati sekitar ruang kecil penjaranya. Dinding-dindingnya berbau masam, gabungan peluh dan keputusasaan yang tidak pernah hilang. Suara nyaring kunci pintu besi di sekelilingnya membuatkan telinganya berdengung saban hari, mengingatkan betapa kerdilnya dia di sini—seperti sekadar debu yang ditiup angin, tiada signifikan, tiada simpati.
Seorang banduan tua, berusia dalam lingkungan empat puluhan, memandang Zarra dengan lirikan penuh sinis dari katil besinya di penjuru. Perempuan itu sudah lama di sini, dan kini dia seakan-akan menjadi ratu yang memerintah kehidupan dalam tembok penjara.
"Budak baru," katanya, suaranya kasar dan penuh dendam. "Tahu tak siapa aku di sini?"
Zarra diam, tidak menjawab. Dia tahu, di tempat seperti ini, kata-kata boleh menjadi senjata. Diam adalah pilihan yang paling selamat. Namun, diam juga tidak selalu menjadi penyelamat.
YOU ARE READING
Sehangat Cinta Sejuknya Luka
RomanceRAJA MALIK SYAHIR x EVELYN SKYE Dalam dunia korporat yang penuh dengan intrik dan misteri, Evelyn Skye, wanita Alpha; seorang pewaris empayar perniagaan yang cemerlang, berhadapan dengan cabaran besar dalam hidupnya. Evelyn diganggu oleh sesuatu...