CAHAYA matahari pagi yang menyinar lembut ke dalam bilik mencipta suasana tenang, namun di hati Malik, perasaan itu bercampur baur. Dia ingin mendekati Evelyn, ingin bertanya kalau-kalau dia perlukan apa-apa atau sekadar duduk di sisinya. Tetapi ada sesuatu yang menahannya.Takut...
Takut dia menganggu ketenteraman Evelyn. Wanita itu kelihatan begitu fokus, jarinya pantas menari di atas papan kekunci, dan sekali-sekala dahinya berkerut, menunjukkan betapa seriusnya dia dengan apa yang sedang dilakukan. Malik menelan air liur, memandang ke arah Evelyn dengan rasa serba salah. Dia tidak mahu mengulangi kesilapan yang sama seperti dulu.
Bayangan itu muncul tiba-tiba, menyentak hatinya. Zarra...
Malik menundukkan kepala, cuba menolak ingatan itu jauh-jauh, tetapi ia tetap menghantui. Dia bimbang jika situasi yang sama akan berulang. Bimbang Evelyn akan bertindak balas dengan kemarahan jika dia mengganggunya. Biarpun dia tahu Evelyn berbeza, tidak seperti Zarra namun trauma itu masih kuat mengakar di dalam dirinya.
Dia mengeluh perlahan, kemudian berura-ura melangkah perlahan menuju ke tingkat bawah. Mungkin dia patut biarkan Evelyn sendirian, biarkan dia fokus pada kerjanya tanpa perlu diganggu. Malik menggenggam erat hujung baju melayunya, berusaha menenangkan debaran hati yang kini digelumangi ketakutan dan rasa rendah diri yang tak terucap.
Tapi dalam diam, Evelyn perasan. Sebelum Malik sempat melangkah, tiba-tiba terdengar suara lembut Evelyn.
"Malik... Teman saya buat kerja boleh?" suara Evelyn memecah keheningan, tanpa mengalihkan pandangannya dari skrin laptop. Tangan menepuk kerusi kosong yang berada di sebelah.
Malik terhenti sejenak, jantungnya berdegup kencang. Dia menggenggam hujung bajunya lebih kuat, serba salah. "Malik takut menganggu. Evelyn kan busy..."
Evelyn menoleh perlahan, kali ini pandangannya terus tertumpu pada Malik. Matanya lembut tapi tegas. "Malik, come. Just duduk sebelah. Tak ganggu pun."
Masih ada rasa ragu-ragu di dalam diri Malik, namun wajah Evelyn yang penuh harapan itu membuatkan dia tidak sanggup menolak lagi. Dengan langkah perlahan, dia menghampiri Evelyn, duduk di sisi, masih menahan kegugupan. Tangannya diletakkan kemas di atas lutut, bimbang dia akan merosakkan sesuatu tanpa sengaja seperti dulu.
"Janganlah takut. Kan saya tak marah," Tanpa mengalihkan pandangan ke sisi, Evelyn memujuk lembut.
"Malik risau kalau Malik tak sengaja rosakkan laptop dan kerja-kerja Evelyn," ujar Malik, jujur.
Evelyn menoleh sekilas ke Malik sebelum menghadap kerjanya semula. "Laptop boleh beli lagi. Suami mana ada jual di mana-mana," Tenang nadanya membalas.
Jam berdetik laju meninggalkan masa lalu. Dia tahu Malik sebenarnya sedang menunggunya dan dia tidak mahu Malik terus-terusan kebosanan tanpa haluan. Evelyn berpaling semula, memandang suaminya yang masih duduk kaku di sebelahnya.
"Malik..." Kali ini suaranya lebih lembut, cuba menarik perhatian Malik. "Tunggu saya habis kerja ni ya? Nanti kita boleh buat sesuatu bersama."
Malik mengangkat wajah, memandang Evelyn dengan sedikit rasa bersalah. "Evelyn tak kisah? Ingat macam nak ajak Evelyn pergi beli barang dapur nanti,"
Evelyn menggeleng perlahan. "Menarik. Sekejap je lagi, lepas tu kita boleh pergi shopping grocery sama-sama."
Malik tersentuh dengan kata-kata Evelyn. Hatinya menjadi lebih tenang mendengar betapa Evelyn memahami dirinya. Dia mengangguk kecil, senyuman ceria yang jarang-jarang muncul di bibirnya kini terukir.
"Okey! Malik tunggu."
DALAM kesibukan pasaraya yang dipenuhi dengan hiruk-pikuk pembeli, Malik dan Evelyn bergerak tenang, seolah-olah berada dalam dunia mereka sendiri. Malik menolak troli perlahan, manakala Evelyn memimpin dengan senarai barang di tangannya.
YOU ARE READING
Sehangat Cinta Sejuknya Luka
Storie d'amoreRAJA MALIK SYAHIR x EVELYN SKYE Dalam dunia korporat yang penuh dengan intrik dan misteri, Evelyn Skye, wanita Alpha; seorang pewaris empayar perniagaan yang cemerlang, berhadapan dengan cabaran besar dalam hidupnya. Evelyn diganggu oleh sesuatu...