SUARA tawa dan bicara mesra menyatu dalam irama yang harmoni, menciptakan suasana penuh kehangatan dan kasih sayang. Majlis doa selamat dan cukur jambul yang diadakan ini bukan sekadar acara, tetapi sebuah perayaan kehidupan, menyambut kehadiran si kecil yang membawa sinar baru kepada keluarga.Kumpulan makcik marhaban yang seringkali hadir dalam pelbagai acara atau majlis keagamaan sedang mengalunkan nasyid dan zikir, menjadikan majlis tersebut bergema dengan nama dan kalimah tuhan yang Maha Esa.
Evelyn dan Malik bersama ayahanda dan bonda mereka melangkah ke dalam ruang yang dihiasi indah, siap merasai magis saat-saat penuh berkah ini.
"Alhamdulillah, semua berkumpul untuk meraikan kehadiran si kecil. Elina sekeluarga, marilah menjamu selera dulu sebelum mulakan acaranya," ujar Raja Syafira, mengusap lembut tangan Raja Nurul Elina.
"Eve, cantiknya bertudung. Ayu sangat! Maklong suka tengok. Lawa kamu boleh kalahkan Mira Filzah," puji Raja Syafira dengan ikhlas. Dia menekup wajah Evelyn yang kemas terlilit bawal satin berwarna biru tua, dipadankan dengan abaya warna yang sama.
"Terima kasih, maklong. Ini pun baru je beli sebab tahu ada majlis kesyukuran," balas Evelyn dengan senyuman nipis.
Di tengah ruang tamu, sebuah meja dihias indah dengan dulang berisi beras kunyit, buah-buahan, dan barang-barang simbolik untuk majlis. Kemudian, Raja Syafira dengan senyuman lebar memegang cucu bayinya yang baru lahir.
"Inilah dia, cucu putera kami! Raja Taufiq Hidayat," ucapnya, matanya bersinar penuh kebahagiaan.
"Subhanallah, comelnya anak Abang Thariq!" Malik teruja dengan mata bundar bersinar, menghampiri dan menghulurkan tangannya untuk melihat bayi itu. "Semoga dia membesar dengan sihat dan bahagia."
Majlis dimulakan dengan bacaan doa yang khusyuk, diikuti dengan ucapan dari Raja Ahmad Hafizi, suami maklong yang mendoakan kesejahteraan bayi dan keluarganya.
Setelah itu, acara cukur jambul dimulakan. Malik dan Evelyn mengambil tempat di depan, menyaksikan dengan penuh rasa teruja. "Bilalah kita akan raikan upacara ini lagi?" bisik Evelyn kepada Malik, sambil tersenyum.
"Dengar cerita anak maksu Ijah pun dah nak bersalin. Mesti cukur jambul akan dibuat lagi. Suka ya majlis makan-makan macamni? Baguslah kalau Evelyn nampak tembam. Mesti comel mengalahkan baby," jawab Malik, turut teruja dengan suasana.
Evelyn mendatarkan muka, geram dengan Malik yang tidak faham apa yang cuba disampaikan. Lurusnya mengalahkan pembaris. Lawan dengan pembaris, pembaris yang surrender!
"Mana Eqa, maklong?" soal Malik sambil mendodoikan Taufiq di dalam dukungannya, tidak sedar riak wajah dingin Evelyn di sebelah.
"Ada kat dapur tu ha. Tengah top up rendang ayam. Nanti dia keluarlah tu," jawab Raja Syafira.
"Kenapa cari Eqa? Rindu dia ke?" Evelyn bertanya sebaik sahaja tiada sesiapa berdekatan dengan mereka.
"Malik pelik kenapa dia tak ada di sini. Dulu kalau ada majlis keluarga macamni dia selalu bawa Malik main sekali," Masih tidak mengerti disebalik soalan dan riak cemburu Evelyn. Evelyn hanya mampu pasrah. Dapat lelaki yang lurus dan polos, hadap jelah...
Tiba-tiba Eqa keluar daripada dapur dan menuju ke ruang tamu. Retina mata terlihat kelibat Malik seraya bergerak mendapatkannya dengan riak wajah teruja dan gembira.
"Abang Malik! Bila sampai?! Eqa tunggu abang lama tau tadi!"
Malik menarik senyuman saat melihat Eqa menghampiri. Evelyn hanya tercegat memandang penuh tajam ke arah Eqa yang sengaja mengabaikan dia seolah dia tidak wujud di situ.
YOU ARE READING
Sehangat Cinta Sejuknya Luka
RomanceRAJA MALIK SYAHIR x EVELYN SKYE Dalam dunia korporat yang penuh dengan intrik dan misteri, Evelyn Skye, wanita Alpha; seorang pewaris empayar perniagaan yang cemerlang, berhadapan dengan cabaran besar dalam hidupnya. Evelyn diganggu oleh sesuatu...