NASI LEMAK SAMBAL SOTONG - Syaihan Syafiq

15.3K 405 102
                                    

         

Sebaik sahaja Aida melabuhkan punggung ke bangku kayu yang menghadap trek keretapi yang kosong di hadapannya itu, hatinya terasa sebu dan sepi merindui seseorang. Di celah kelangkangnya diletakkan sebuah buntil beg cerut lusuh berisi lima-enam pakaian sepersalinan, berus gigi dan pencuci muka (yang dibalut cermat dalam kertas surat khabar) dan sebutir cawan seramik yang pemilik asalnya sudah lama meninggal dunia. Aida sengaja bawa kompilasi objek-objek ini dalam pengembaraannya berhijrah ke tempat baru kerana Aida sentimental orangnya, sukar untuk memisahkan diri daripada kenangan silam yang terlipat kemas di antara himpunan sejarah hidupnya.

    Di bangku bersebelahan Aida dapat lihat seorang perempuan jauh lebih berumur sedang duduk melayan kerenah seorang budak lelaki yang mungkin sekali berumur empat atau lima tahun; anaknya mungkin. Di tangan kiri budak kecil itu ada sebuah patung arnab biru yang sudah lusuh, sebelah telinganya di ambang mahu putus, teroleng-oleng hanya bersambung dengan tubuhnya oleh beberapa utas jahitan benang. Apabila diamati telinga arnab itu sudah banyak kali diulangjahit tetapi tetap juga tetas kerana sembatnya tidak kemas. Perempuan tua itu manis bertudung, raut wajahnya jelas lesu tidak bermaya namun dia bijak menyorokkan rasa penatnya tatkala melayan keletah anaknya yang sedang mengoceh entah apa, tangannya yang bebas terawang-awang menunjuk-nunjuk ke kiosk menjual jajan di hujung ruang. Barangkali si kecil lapar mahukan sesuatu, dan si ibu sedang berusaha memujuknya. Melihat perempuan itu Aida mengeluh berat, teringat akan pemilik cawan seramik di dalam beg.

Dalam diam dia memujuk hatinya bahawa kali ini dia harus bulatkan hati nekad untuk meninggalkan pekan ini, tinggalkan sahaja segala-gala yang telah berlaku ke atas dirinya sebelum ini. Biarkan ia membekas menjadi pengajaran untuk hari mendatang. Ketika dia tunduk melihat beg cerut yang dipegangnya, dia terpandang jari manisnya yang kini sudah tidak bercincin kerana ia sudah dipulangkan kepada pemiliknya. Hatinya sahaja yang tertinggal, namun rasa kecintaannya masih berbekas. Rasa rindu yang mencengkam tadi datang semula membelit diri. Angin tidak bertiup, sungai tidak berkocak, namun tali pertunangan mereka terusik jua. Biarlah orang hendak kata apa, tetapi Aida merasakan tindakan bekas tunangnya, Syed Ramadhan, untuk memutuskan pertunangan secara tiba-tiba merupakan suatu berita yang benar-benar memeranjatkan namun memang dijangkakan. Masakan tidak, lima tahun mengikat tali pertunangan tanpa apa-apa lanjutan ke jinjang pelamin, sehingga keluarga mulai sangsi terhadap keseriusan Syed Ramadhan hendak menikahi dirinya. Itupun ayah boleh pejamkan sebelah mata sahaja, bersabar kerana idamkan dua keluarga itu bersatu; lebih tepat lagi sebenarnya ayah mengintai mahu mengecap walau sekelumit hamapun, harta keluarga Syed Taufiq yang melimpah-ruah itu. Kalau tidak takkanlah ayah sebegitu tega merelakan anak gadisnya menjadi tunangan orang selama lima tahun. Guris luka di hatinya ketika memulangkan cincin tunang itu masih berbekas, berkeruping, tetapi Aida tahu inilah yang terbaik buatnya.

    Genap sebulan dia tidak lagi bergelar tunangan orang, dia beranikan diri menyuarakan niat mahu berhijrah ke Kuala Lumpur, menurut kakak iparnya yang meniaga nasi lemak di sana. Ayah mulanya berat hati, namun mungkin kerana berasa bersalah telah menyusahkan hidupnya selama lima tahun dek pertunangan sia-sia itu, direlakan juga Aida pergi. Lagipun tiada apa lagi yang boleh dibuat di pekan kecil Lahar Yooi ini. Mak sudah lama meninggal, abang-abangnya pula merantau jauh di negeri orang bersama keluarga masing-masing. Yang tinggal hanya dia dan ayah dua beranak. Mulanya berat juga rasa hati hendak tinggalkan ayah bersendirian, tetapi dia harus bulat hati untuk menukar komposisi pemandangan hidupnya, agar tidak lagi terbelenggu di takuk lama. Tinggal lama-lama di sini pun tiada gunanya kalau asyik terbertuh bahu dengan bekas tunang sendiri.

    Jadinya pagi itu Aida capai beg cerut dari bawah katil, isikan baju kain beberapa pasang dan juga cawan antik peninggalan mak (usah ditanya kenapa, ia terlalu sentimental dan simbolik buatnya) dan terus membonceng motorsikal yang dipandu ayahnya untuk ke stesen keretapi Bukit Mertajam.

CERPEN HARI JUMAATWhere stories live. Discover now