"Dah makan belum?"
Muka tak ada perasaan tu muncul lagi di balik pintu. Langsung nafsu makan Cik Som mati. Dia tak kuasa nak habiskan nasi yang tadinya bau saja dah buatkan dia singsing lengan baju nak makan. Cik Som cebik bibir. Malas nak makan. Malas nak buat apa-apa. Dia nak pemilik suara tu berambus cepat-cepat dari situ. Konon...baik! Dalam hati macam setan. Bangsat sangat! Cik Som tolak pinggan ke tepi dengan muka sebal. Dia ni.....memang tolol!
"Mama, Delia tanya ni, kenapa tak makan?"
"Kau kisah apa aku makan ke tak?"
Delia senyum, sikit pun tak berasa hati. Dia kuak daun pintu, masuk ke dalam dan melabuhkan duduk di sisi katil. Cik Som beranjak. Dia memalingkan muka daripada Delia yang menarik pinggan dari atas meja kecil lalu disuakan ke arah Cik Som.
Kriukk...kriukk. Perut Cik Som bunyi dua kali. Muka manis Delia terus menghadap Cik Som dengan bauan yang begitu menusuk rongga hidung. Dia ni dah pandai masak? Takkan dia belajar masak sebab aku? Hari tu nak masak lauk simple pun fail. Entah apa-apalah anak Lutfi ni. Bodoh dan bangang macam dia jugak. Tapi cantik budak ni. Alis mata lentik, mata bening dan besar, anak mata warna coklat, kulit muka putih bersih. Woo...Som...Som, ko nak jadi penglipur lara ke pulak? Semua pasal budak ni nak describe. Tapi serius cantik. Kalau nak harap muka Lutfi, memang ke laut.
Anak Lutfi dengan Cik Som pun tak cantik. Ramai yang bandingkan dengan budak ni. Sakit hati Cik Som. Muka Laila tu memang setempek muka Cik Som. Jadi kalau ada sesiapa yang mengutuk Laila, samalah macam kutuk Cik Som. Muka Amir pulak langsung tak menurun keduanya. Shamsul, rakan perniagaan suaminya pernah berlawak mengatakan Amir Lukman tu seiras dengannya. Shamsul memang dah terlalu rapat dengan arwah suaminya sejak mereka membuka perniagaan sama-sama. Jadi Lutfi tak kisah sangat pun dengan gurau manja macam tu. Dan mungkin benar juga yang muka anaknya itu menurun Shamsul pasal masa Cik Som tengah mengandungkan Amir, Shamsul asyik ulang-alik ke rumah atas sebab perniagaan, konon nak diskus dengan Lutfi. Dan Shamsul ni bagi Cik Som, memang lebih tampan dan gagah berbanding Lutfi.
"Pergilah berambus...taulah aku nak makan sendiri. Ko tak payah nak berbudi dengan aku, sampai mati pun jiwa aku tak terbeli!"
Cik Som menolak badan Delia dengan kasar. Delia akur. Dia tahu Cik Som akan buat lebih daripada tu kalau dia tak berganjak. Cik Som menyampah sungguh dengan Delia. Alangkah bagus kalau Delia dapat dilenyapkan saja atas muka bumi ni.
"Mama...makan ya nanti." ujar Delia sebelum menutup pintu bilik sambil tersenyum manis. Cik Som merengus kasar. Gila agaknya budak ni? Kenapa dia baik sangat dengan aku? Cik Som dah tak boleh tahan nak makan. Perut lapar gila. Si Laila ni pun tak reti-reti nak hantar makanan kat aku ke? Kenapa nak harapkan anak Lutfi pulak?
Sejak anak Lutfi pulang dari luar negara, rumah banglo tu mula lebih terurus. Semua hal dalam rumah tu dia ambil tahu dari sekecil-kecil perkara. Sebenarnya hati Cik Som pun tenang sikit sejak budak tu muncul. Amir pun dah tak keluar rumah sangat, fokus dengan studi. Delia ni pun serba boleh orangnya. Dia pun banyak mengajar Amir kat rumah. Tak payahlah pakai duit banyak sangat nak bayar yuran tuisyen. Rajin pulak dia. Nak harapkan Laila memang haram ada kat rumah. Asyik melepak dengan kawan-kawan yang tak berguna dia tu. Balik rumah pun buat hal dia saja.
"Mama... Kak Delia tu baik kan?" Amir bukak buku di sebelah katil tempat Cik Som baring. Dia malas nak layan celoteh Amir. Terutama bab puji-memuji dan sanjung-menyanjung anak Lutfi yang sorang tu. Sampai sekarang dia tak boleh tengok muka anak Lutfi.
"Ko tak payah nak puji orang luar...dia tu bukan ada kaitan dengan keluarga kita pun." Protes Cik Som. Amir tunduk, tahu benar dia kata-kata Cik Som tak boleh disanggah.
YOU ARE READING
CERPEN HARI JUMAAT
Genel KurguCerpen-cerpen baru oleh mereka yang pernah hasilkan novel Fixi. Kongsikan kegembiraan ini setiap hari Jumaat! Siri ini disiarkan sempena tahun 2016 dan kini dah tamat.