EMPAT DARA - Shaz Johar

14K 350 62
                                    

         

"Apa perasaan kau?" tanya Yati hari itu. Matanya memandang ke atas. Ke atas katil Susan, penghuni yang baru menggantikan tuannya yang baru pergi. Dia tidak menjawab, barangkali sudah lama hanyut dibuai mimpi. Atau mungkin dia malas mahu melayan soalan itu. Entahlah.

"Takut," jawabku lemah. Aku tidak dapat melelapkan mata. Terbaring, berguling ke kanan dan kiri di atas katil besi bertilam nipis itu. Mataku menghadap ke dinding putih. Kosong. Hanya ada sekeping gambar di situ. Gambar Barry Prima, pelakon pujaan.

"Semuanya akan OK," kata Som pula di katil atas. Bunyi katil besi itu berkeriut apabila dia bergerak. Som berbadan besar dan bermulut becok. Kadang-kadang kami memanggilnya dengan nama Mat Som kerana dia seperti lelaki sedikit.

Aku memeluk tubuh.

Hari itu hari terakhir aku berada di situ. Meninggalkan rakan-rakan yang sudah kuanggap seperti keluarga sendiri. Yang jauh mulia sifatnya dari darah daging sendiri. Perasaanku bercampur-baur. Tidak tahu sama aku patut berasa gembira atau sedih atau perlu merasa apa-apa. Aku sudah betahun-tahun tinggal di dalam bilik itu. Sudah terlalu selesa di sana.

"Kenapa ni... kalau kau menangis, aku lagi menangis," tegur Som tiba-tiba. Yati cepat-cepat mengesat matanya, bimbang jika aku terperasan.

"Apa yang kau nak buat bila kau dah pergi nanti?" tanya Susan. Dia masih lagi belum tidur. Aku memang sudah menjangka dia memasang telinga sedari tadi.

"Aku nak jumpa anak aku. Mesti dia dah besar panjang," jawab Yati walaupun soalan itu bukan ditujukan kepadanya. Suaranya tersekat-sekat.

"Kau ni kenapa sedih sangat? Kita berempat ni mana boleh berpisah?"

"Aku rindukan anak aku."

Aku mengurut tangannya. "Siapa yang jaga dia sekarang?"

"Mak aku."

"Anak lelaki ke perempuan?"

"Lelaki."

"Apa nama dia?"

"Muhammad Aizat Haque."

"Sedap nama tu."

"Comel budaknya. Kulit dia kuning langsat. Rambut hitam lebat. Tinggi orangnya. Macam bapa dia jugak."

"Bapak dia mana?"

"Entahlah. Dah mampus agaknya. Last yang aku dengar, dia dah kahwin lain."

Aku mencubit pipinya. "Kau tak pernah cerita kat akupun kenapa kau masuk sini dulu."

Dia ketawa. "Aku simbah cuka getah kat muka madu aku," jawabnya seakan puas dengan perbuatannya itu.

"Sebab dia rampas laki kau? Bukan ke kau tu yang bini muda?"

"Sebab dia hina aku depan semua orang. Dia canang keburukan aku satu kampung. Dia caci-maki aku sampai bapak aku sakit, meninggal."

"Tapi kenapa sampai kau simbah cuka getah kat muka dia? Tak boleh bawa berbincang?"

"Entahlah. Masa tu aku dah tertekan agaknya. Orang bila dah tertekan macam-macam yang dia sanggup buat. Takkan kau tak faham?"

Ya, aku faham. Aku faham sangat-sangat. Aku rasa semua orang yang tinggal di situ faham. "Mati ke perempuan tu?"

"Muka dia hancur. Dah macam alien aku kerjakan."

Aku tersenyum lebar. "Kau, Mat Som?"

Dia terbatuk-batuk sebelum bercerita. "Dulu aku kerja bank. Aku keluarkan duit orang. Aku pinjam je bukannya aku amik terus. Bila customer lain bank-in duit, aku masukkan balik duit yang aku pinjam tu. Lepas tu duit yang aku amik dari customer yang baru bank-in tu pulak, aku tunggu customer lain pulak yang bank-in. Macam tu lah, ulang-ulang."

CERPEN HARI JUMAATWhere stories live. Discover now