TAKDIR - Adib Zaini

4.1K 168 13
                                    

         

Nissa taburkan bijiran sarapan ke dalam kole minuman. Di rumah ini tiada mangkuk untuk dia gunakan. Nissa buka peti sejuk dan ambil karton susu. Dia tuangkan susu itu ke dalam kole yang sama. Dia ambil sudu dan suapkan bijiran itu ke dalam mulut. Lemau.

Nissa menyumpah di dalam hatinya sambil menuang segala isi kole itu ke dalam sinki. Dia buka peti ais sekali lagi, mencari apa-apa makanan yang boleh dibuat untuk mengalas perut. Dia tidak faham bagaimana dua budak bujang ini boleh hidup tanpa sebarang makanan di dalam rumah.

Nissa mengeluh sendiri. Ketika ini Nissa berusia 28 tahun.

Nissa kini berada di rumah teman lelakinya, Hadi. Dia tiba setengah jam yang lepas. Sepatutnya dia datang untuk menjemput Hadi dan mereka makan tengahari bersama. Tetapi Hadi bangun lewat. Dan kini Nissa kelaparan.

Nissa bengang. Ini bukan kali pertama Hadi buat begini. Dia rasakan seolah-olah Hadi tidak ambil peduli pasal hubungan mereka. Mungkin betul juga perasaan Nissa. Dia kenal Hadi pun menerusi abangnya. Dan Nissa tahu abangnya bangang.

Sedang Nissa menyelongkar peti sejuk, kedengaran bunyi televisyen di ruang tamu. Nissa tidak perlu untuk pandang ke ruang tamu untuk tahu apa yang sedang tersiar di televisyen. Dia boleh dengar bunyi tepukan. Dia boleh dengar suara pengulas.

"Boleh tukar channel lain, tak?" pinta Nissa.

"Apahal pulak?" balas Joe dari ruang tamu. Joe ialah rakan serumah Hadi. Dia sedang duduk di sofa, menonton siaran Sukan Olimpik di televisyen.

"Aku tak nak tengoklah."

"Tak nak tengok janganlah tengok. Bukan masalah aku."

Nissa malas nak bertengkar dengan Joe. Sudah letih. Joe memang tidak sukakannya sejak ditakdirkan dia mula keluar dengan Hadi sebulan lepas. Nissa tahu yang Joe bukannya ingin sangat tonton Sukan Olimpik itu. Dia cuma tengok kerana Nissa tidak mahu tengok. Ini membuatkan Nissa bertambah marah. Mereka bertengkar untuk beberapa minit. Pertengkaran hanya berakhir apabila Joe masuk ke bilik untuk bergayut di telefon dengan kekasihnya. Nissa cepat-cepat menukar siaran televisyen.

Nissa ada sebab tersendiri mengapa dia tidak mahu tonton Sukan Olimpik. Dia benci. Dia benci sukan kompetitif. Terutamanya sukan olahraga.

Lebih daripada itu, dia benci kerana ia akan mengingatkannya kepada sejarah yang dia ingin lupakan.

* * *

Badan Nissa dibasahi peluh. Nafasnya tercungap-cungap.

"Come on," kata Papa. "Nissa boleh. Satu round lagi."

"Nissa tak laratlah, Papa."

"Come on, jangan cepat give up. Nissa ditakdirkan untuk jadi yang terbaik. Nak jadi yang terbaik tak boleh give up."

Nak tak nak, Nissa terpaksa akur dengan kata-kata Papa. Dia teruskan berlari di laluan joging tepi tasik bersama Papa.

Nissa sudah tidak mampu kira berapa pusingan yang sudah dia selesaikan. Kerana Nissa baru pandai mengira dari 1 sampai 5. Kerana Nissa berusia lima tahun ketika ini. Nissa tidak faham mengapa Papa berkeras menginginkan dia terus berlari. Nissa cuma ingin duduk di rumah, melukis menggunakan krayonnya.

Nissa terus berlari. Dia ditakdirkan untuk jadi yang terbaik. Nissa terus berlari.

* * *

Nissa sedang berdiri tidak tenteram di dalam bilik persalinan atlit. Peringkat akhir 200 meter wanita akan berlangsung beberapa minit lagi. Nissa berpeluang besar untuk menang pingat emas. Jurulatihnya cuba untuk menenangkannya.

CERPEN HARI JUMAATWhere stories live. Discover now