KAK NOOR, PEREMPUAN LANGKAWI - Regina Ibrahim

4.8K 148 21
                                    

Mati-mati aku ingat aku akan berada di Langkawi seumur hidup. Aku manusia yang tidak meminta banyak pada kehidupan. Semua persekolahan tamat di sini, akademik tidak sebijak mana, aku redha menjadi wanita pulau yang biasa-biasa. Hidup indah, keluarga, teman-teman sekerja yang baik-baik, bertemu pelancong yang datang bercuti atau yang berkursus. Seronok bertambah seronok, berkenalan dengan Rahmat. Dia membawa sinar dalam hidup, orang luar menurut ibuku, tunggu dulu, bertunanglah dulu kalau tidak sabar sangat.

"Seburuk-buruk diri kita orang pompuan, maruah diri kena jaga," ujar ibu sebelum aku dan Rahmat bertunang.

Memang aku buruk. Pendek dan sedikit gempal, kulit berjelaga, almaklumlah orang pulau. Nampak beza dengan orang lain, kadang-kadang melihat pelancong luar atau tempatan yang datang, aku merasa sangat terpinggir, gadis-gadis putih gebu yang berkaki panjang, rambut tebal dihembus angin, wajah ayu bersama kekasih—tetapi Rahmat dari Perak mengatakan senyuman aku manis, itu yang membuat dia terpikat.

Aku masih bekerja, Rahmat juga bekerja, kerja biasa saja di resort di Langkawi. Bukan mudah mengumpul duit untuk majlis perkahwinan, aku tahu gaji Rahmat sedikit, dia bukan ada pangkat apa-apa di resort itu. Sering juga dia meminta bantuan kewangan, aku heran, orangnya sesak sentiasa. Dia memang tidak tahu budgetkah? Apalah sangat mahu dibelanjakan di atas pulau ini? Makan percuma di resort, tempat tinggal disediakan, keluar dating secara mingguan juga aku yang tanggung.

Bergaduh aku dengan Yahya, sepupu jauh yang sering datang untuk memberi khabar tentang sifat Rahmat atas alasan dia kesian takut aku dianiaya; entah-entah dia ada hati pada aku?

"Hang ni apa, Ya? Jumpa aku takdak kisah lain, takkanlah Mat nak buat lagu tu kat aku? Pompuan manalah mau kat dia tu? Dia mana ada duit? Hang nak kata aku muka tak elok ka? Hang nak kata aku tak sedaq diri ka?" aku memarahi Yahya dalam satu pertemuan.

"Kita ni adik-beradik, kita ni orang Langkawi, Noor, orang luaq mai nak penaya adik aku sendiri, takkan aku nak diam saja? La ni macam ni lah, sampai masa tepat, aku nanti bawa hang dengan adik hang, kita nanti tengoklah, apa dia yang aku dok kata kat hang tu," Yahya menutup bicara, meninggalkan aku macam orang bodoh dan mula berfikir.

Gelang, cincin, duit ringgit sudah banyak aku serahkan dengan mudah pada Rahmat; dia sering sesak, famili dia mahu pakai duit. Dia sering minta tolong aku, aku percaya seratus persen. Tunang apa kalau tidak membantu tunang, bukan?

Malam kejadian, tepat pukul 8:30, Yahya datang membawa Mat Isa, adik aku; kami berada di tempat kerja.

"La ni jom kita pi na, tak jauh mana aih, hujung tu saja, Chalet Permai, mai aku nak tunjuk kat hang macamana tunang hang yang sebenaqnya," Yahya bercekak pinggang.

Kami berjalan sahaja ke sana, hati aku berdebar... dap-dig-dap-dig-dup!

Tiba di kawasan chalet, Yahya mengangkat kepalanya pada penjaga kaunter, mereka mungkin kawan, saling kenal, yang aku nampak bahasa isyarat mereka sahaja.

"Hangpa dua tunggu sini, aku ketuk pintu, dia buka baru hangpa mai serbu masuk tengok apa dia dok buat dengan sapa," cadang Yahya.

Aku nampak Rahmat, wanita berkemban, coli, seluar dalam tergantung, wanita sini atau luar aku tidak mahu tahu, dia tentunya putih gebu lebih cantik menarik dari aku. Mahu menjerit pun aku tidak mahu, buat malu diri. Melangkah lemah aku dari chalet itu dengan ketetapan bahawa pertunangan ini secara rasminya putus.

Sakitnya Tuhan saja yang tahu. Demam, sesak nafas, melayang semua perasaan itu ada, aku tidak tahu bagaimana mahu bercerita, yang penting dianiaya itu sangat menyakitkan. Airmata juga kering. Patutlah ada orang berbunuhan apabila terlerai kasih. Kembalilah bekerja tubuh gemuk pendek ini, kalau tidak kerja mahu buat apa? Duduk depan cermin melihat diri menangis?

Melayan keluarga Cina dari Pulau Pinang yang sudah dua-tiga kali bercuti di Langkawi, membuahkan idea untuk aku berhijrah ke sana. Aku nyatakan hasrat mahu cuba Pulau Pinang untuk kerja hanya dengan alasan mahu mencari pengalaman baru dan hidup baru.

"Mr. Choong, saya ingat mau cari kerja Penang sanalah, sana okay ka?" aku bertanya tanpa rasa malu.

"Noor pandai masak? Kalau pandai masak anytime saja saya boleh rekemen," kata Mr. Choong sambal-sambil isterinya melayan tiga orang anak mereka yang masih kecil.

Semuanya seolah-olah begitu mudah sekali berjalan. Mr. Choong menguruskan rumah sewaan dan urusan-urusan yang lain. Rupa-rupanya isteri dia adalah eksekutif di hospital swasta di sana, dia memberi aku pilihan samada mahu berada di dapur atau menjadi pengemas wad. Kalau hidup di Pulau Pinang tidak jalan sekalipun aku akan pulang saja ke Langkawi, dari sini aku akan menjelajah hidup dengan sesiapa sajalah, asalkan mereka itu manusia baik-baik.

Siang malam aku berdoa, supaya tidak diduga lagi sebegini, dugaan terlalu menyintai manusia sampai terlupa yang diri tidak ada apa-apa, tidak baik pula aku mahu merungut rupa paras yang dikurniakan-NYA, aku redha.

TAMAT

CERPEN HARI JUMAATWhere stories live. Discover now