Aku tengah duduk atas tangga batu waktu dia muncul dari balik matari petang. Dia kata, "Din, jom ikut kitorang mandi sungai!" dan aku pun kata, "Ey, bukan ke dah petang?" dan dia kata, "Apa salahnya sekali-sekala," lalu ketawa dan aku pun lompat naik ke bahagian belakang trak pikap milik Kim. Aku kenal Kim sejak sekolah rendah, bapaknya ada kedai runcit di pinggir kampung kami.
Di belakang pikap itu ada dua orang kawan Kim dari bandar yang tak aku kenal. Aku perkenalkan diri dan mereka masing-masing beritahu nama mereka iaitu Ryan dan Petra, pelajar tukaran dari Amerika. Ryan tanya jika aku ada pemetik api dan aku kata tiada manakala Petra tanya jika aku ada rokok dan aku kata tiada.
Kami masuk ke sebuah perkampungan orang asli sebelum tiba ke kaki sungai. Dari situ kami mendaki masuk ke arah air terjun. Tiada sesiapa senja itu kecuali kami. Aku tanggalkan baju-T dan seluar jeans, hanya memakai boxer terjun ke dalam sungai diikuti Ryan, Petra, Kim dan seorang lagi lelaki berkulit hitam yang duduk di sebelah kerusi pemandu yang tidak aku tahu namanya.
Pada mulanya aku dibelenggu kesegaran sungai tetapi kemudian baru aku sedari yang Kim dan Petra tidak memakai baju memaparkan buah dada mereka, dan lebih malang rupanya kesemua mereka tidak memakai apa-apa! Mereka merenjis air ke arah aku dan apa yang boleh aku lakukan selain merenjis air ke arah mereka?
Lelaki yang tak aku ketahui namanya itu sudah pun berada di atas batuan air terjun, dia kata, "Wei, tengok aku!" dalam bahasa Inggeris semestinya, dan lalu melakukan lompatan berputar dan terjun di hadapan muka aku. Aku hampir lemas.
Aku kejar Kim yang sudah mula memanjat batuan air terjun. Aku beritahu Kim, "Kim, hari dah nak gelap ni, elok kita balik sebab tak elok kita mandi sungai kat dalam hutan malam-malam macam ni," dan dia kata, "Rileks Din," lalu melakukan terjunan ke dalam sungai yang kian gelap itu. Ia tiba giliran aku dan aku tidak lagi nampak ke mana aku harus terjun. Kedengaran suara mereka yang asyik memanggil aku, "Turun, Din! Terjun, terjun!" dan tanpa sedia, aku rasa nafas hilai ketawa pada belakang tengkuk aku lalu ditolak jatuh ke dalam kegelapan, terawang-awang sebelum masuk ke dalam permukaan air yang keras dan dingin. Aku menjerit histeria di dalam air sebelum suatu momen indah berlaku. Aku lihat cahaya warna-warni dari dalam air dan setibanya di permukaan, kelihatan mereka sedang bermain bunga api. Pada ketika ini aku tidak lagi tahu siapa itu siapa kerana yang terlihat hanyalah siluet dan satu api marak menyala dan seperti kelkatu, tubuh aku ditarik ke arah cahaya.
Aku keluar dari sungai dan dapati api marak itu rupanya baju-baju kami yang telah dibakar dan melalui cahaya api itu juga aku dapati boxer aku sudah tiada tertanggal semasa aku jatuh ke dalam sungai tadi. Kebogelan bikin aku neurotik.
Kim tarik tangan aku dan kami semua berjalan di dalam belukar menuju ke arah trak tetapi sebelum itu, Ryan mengatakan sesuatu tentang bulan dan tidak semena-mena kami semua sedang memanjat pokok dan duduk beramai-ramai di atas dahan melihat bulan yang paling penuh di langit. Tidak cukup dengan memanjat pokok, lelaki tak bernama itu terjun ke bawah sebelum menjerit sakit. Kami turun dan dapati tubuhnya luka-luka dan lebam-lebam dengan suluhan lampu fon. Dia kemudian gelak dan pada waktu kekok itu dia memperkenalkan dirinya, "Aku Stanley," seraya menarik tangan aku untuk menyokongnya kembali berdiri.
Kami meneruskan perjalanan dan setibanya di trak, Kim mula ketawa. Aku tanya kenapa dan dia kata kunci trak ada dalam seluarnya yang sudah dibakar. "Macam mana nak cari dalam gelap macam ni?" aku kata dengan nada bimbang. "Jangan risau, esok pagi kita cari kunci, perkara pertama bila kita bangun pagi," kata Petra. "Apa patut kita buat malam ni?" aku tanya tetapi jawapan aku terjawab dengan suluhan lampu fon. Ryan dan Kim sedang berpelukan dan bercumbu manakala Petra berbaring di atas tanah melihat bintang-bintang dan Stanley sedang bersiul menggunakan kedua belah tangannya dan aku yang keletihan tertidur.
Subuh besoknya kabus meliputi tubuh aku. Sinar matari keunguan dan keorenan. Air terjun kedengaran tidak jauh dari situ dan aku dapati Ryan dan Kim sedang tidur di dalam pelukan. Stanley datang kepada aku dengan sebelah matanya lebam (malam tadi aku tidak sedar rinci ini) dan ajak aku kutip kayu api. Aku tanya kenapa perlu cari kayu api, bukankah sepatutnya kita pergi cari kunci? Dia kata jangan risau, Petra sudah pun ke arah sungai untuk cari kunci, tetapi andai kata kunci tidak ditemui, malam itu sekurang-kurangnya mereka boleh tidur dengan unggun api. Lagi pula malam tadi menurut Stanley dia terjumpa jejak ular sawa. "Sudah pasti kita tidak mahu jadi makanan ular sawa bukan?" katanya.
Aku kejut Kim dan ajak dirinya untuk cari kunci dan dia kejut teman lelakinya Ryan dan kami bertiga mula menapak ke arah sungai. Setibanya di air terjun di mana kami mandi semalam, kelihatan tubuh bogel Petra dihinggapi kupu-kupu pelbagai warna. Kami mendekatinya dan kupu-kupu itu mula hinggap tubuh kami juga. Ia situasi sureal dan indah hingga buat aku lupa pada kewajipan dan motif utama aku ke situ.
"Jumpa tak kunci tu?" aku tanya dan Petra angguk lalu tunjuk kunci trak pikap milik Kim sebelum ia dicampak ke arah air terjun dan aku pun tercengang. Kupu-kupu mula meninggalkan kami selepas aku terlihat sesuatu bergerak di atas tanah persis ular sawa dan aku spontan terjun ke dalam sungai cuba mencari kunci tersebut, tetapi ia sia-sia. Apa yang aku temui sebaliknya adalah sebuah gua di sebalik air terjun. Aku panggil mereka yang lain dan mereka datang dengan harapan beroleh perlindungan daripada ular sawa. Stanley masih mencari kayu api dan tidak diketahui situasinya sekarang. "Jom, tengok ke mana terowong ni akan bawa kita," kata Kim dan sebelum sempat aku menghalang, mereka telah pun hilang ditelan kegelapan. Aku masuk dan nyalakan fon kejar mereka yang buat seketika itu, baru aku perasan kami dalam keadaan bogel sejak semalam tetapi kini ia terasa biasa dan natural seperti ini alami kami anak muda.
"Lihat, ada trek!" kata Petra. Benar ada trek keretapi usang yang terputus seakan ia bekas lombong atau sesuatu yang sewaktu dengannya dan kami berjalan masuk terus ke dalam. Mula-mula kami berjalan tetapi lama-kelamaan kami berlari seolah siapa sampai dulu ke hujung akan memenangi sebuah permainan lumba lari dan gema tawa kami berkumandang di dalam ruang dengan lantai licin itu. Stalagtit dan stalagmit mula terasa berlaga dengan paha dan tangan kami yang digapai ke atas. Decit kelawar kedengaran dan satu tompok cahaya kelihatan. Angin berderu dari belakang tubuh kami ke arahnya. Ada jalan keluar di hujung dan kami mula berlari laju hinggalah kami semua berhenti. Di hadapan kami kelihatan siluet seseorang sedang mendukung sesuatu di belakang bahunya. Kami berjalan hampir dan rupanya ia Stanley dan haiwan yang didukung pada belakang bahunya tidak lain dan tidak bukan seekor ular sawa dan ia masih hidup! "Kawan-kawan, tengok apa yang aku jumpa!" katanya. Petra, Kim dan Ryan berlari ke arahnya lalu mengusap-usap tubuh ular sawa tersebut. Ekornya sesekali bergerak. Aku datang dan usap kepala ular sawa tersebut. "Ini bukan apa-apa, ada benda lagi menarik yang aku jumpa kat belakang sana!" kata Stanley. "Apa dia?" kata aku dan Stanley dengan mata sebelah lebam kata, "Jom!" dan kami mula mengikutinya keluar dari gua itu. Di hadapan mata kami, kelihatan sebuah belon udara panas dan kami semua berlari mendapatkannya merentas sebuah padang dengan penuh lalang. Langit biru dengan rona keemasan menjadi latar kepada tubuh kami yang calar-balar.
Di dalam belon udara panas, Petra dan Ryan mula menanggalkan pemberat dan menguatkan api pembakar. Kami mula berangkat ke udara bersama seekor ular sawa. Belon udara itu terbang tinggi dan melintas kawasan air terjun yang kami mandi tempoh hari. Sesuatu bersinar dan dapat aku lihat di dasar sungai itu terdapat segugus kunci. Aku suruh mereka rendahkan belon udara panas itu betul-betul di atas sungai dan pada ketinggian 15 meter, aku terjun dari belon udara panas ke bawah, ke dalam sungai dan tanpa mengelipkan mata aku gapai dan genggam kunci trak pikap yang terletak di dasar sungai itu. Aku berenang keluar dan seorang demi seorang terjun dari belon udara panas ke dalam sungai. Kim sambar kunci dari tangan aku dan buat seketika kami berkejar-kejaran sebelum berpeluk-pelukan. Ryan datang dan mulanya aku musykil apa yang akan dilakukannya kerana malam semalam mereka berdua telah bercengkerama, sudah pasti dia teman lelaki Kim fikirku, tetapi sangkaanku meleset apabila Ryan datang menghampiri aku lalu memelukku, ini diikuti Petra dan Stanley dan tengahari itu kami bergumpal menjadi kawanan ular-ular sawa.
Petang itu kami singgah di sebuah kedai bundle di hujung kampung beli boxer, baju-T dan seluar jeans. Selepas itu kami singgah makan laksa di warung tepi bendang. Senjanya Kim hantar aku ke rumah menaiki trak pikapnya. "Adios, Din!" ucap Kim berkacamata hitam. Aku tidak kata apa-apa selain melambai ke arah mereka. Ryan dan Petra di bahagian belakang trak ketawa dan melambai ke arah aku. Trak itu hilang memecut ke arah jalan besar dan aku kembali duduk di tangga batu rumah di mana aku tinggalkan semalam.
TAMAT
YOU ARE READING
CERPEN HARI JUMAAT
Ficción GeneralCerpen-cerpen baru oleh mereka yang pernah hasilkan novel Fixi. Kongsikan kegembiraan ini setiap hari Jumaat! Siri ini disiarkan sempena tahun 2016 dan kini dah tamat.