Letupan kedengaran di luar. Serpihan besi bersepai memecahkan tingkap bilik pejabat. Aku mencangkung di sebalik meja. Paha kiriku cedera. Peluruku habis. Mayat Doc terbaring kaku dihempap mayat askar pihak musuk. Peluru terakhirku berada di dalam otak askar tersebut.
Aku memegang erat dua ketul grenad yang tersemat pada jaketku. Dua grenadku yang terakhir.
Satu lagi letupan kuat kedengaran di luar bangunan. Telingaku bingit, menghalangku daripada mendengar arahan daripada radio komunikasi.
Aku cuba memberanikan diri merangkak ke arah tingkap. Perlahan-lahan aku mengintai ke luar. Seorang askar musuh yang berbadan besar sedang menembak menggunakan minigun-nya ke arah Alan yang cuba berlindung di sebalik sebuah kereta. Peluru minigun itu menembusi kereta itu seolah-olah ianya sebuku mentega. Aku hanya mampu melihat sahaja Alan ditembak mati.
Musuh berbadan besar itu gelak girang. Dia berhenti menembak dengan minigun-nya, membiarkannya sejuk sebentar. Badannya kelihatan gagah membawa senjata seberat sebuah motosikal itu. Tingginya 6 kaki 5 inci. Badannya gemuk. Bukan gemuk lemak, tetapi gemuk pejal. Gemuk yang dipenuhi otot.
Aku menunduk dari tingkap. Tanganku menggenggam kedua-dua grenadku. Aku mula fikirkan pilihanku. Apa jua tindakanku selepas ini, aku perlu pastikan yang dua biji grenad ini cukup untuk menamatkan riwayat si gergasi itu.
Aku menarik nafas dalam-dalam. Aku bersedia. Jika aku mati di sini, sekurang-kurangnya aku dapat berjumpa dengan Alan di dunia lain nanti.
Aku cabut pin keselamatan kedua-dua grenadku. Kemudian aku melompat keluar tingkap sambil melontarkan kedua-dua grenad itu ke arah si gergasi itu.
Aku jatuh bahu dahulu ke atas jalan raya. Aku meraung kesakitan. Sekelip mata selepas itu, dua ledakan kuat kedengaran.
Aku menghembuskan nafas lega. Akhirnya segala-galanya berakhir.
Aku toleh ke arah ledakan tadi.
Fikiranku meleset. Si gergasi itu masih hidup. Dan dia sedang marah. Dia berjalan ke arahku sambil menghalakan minigun-nya.
Aku segera bangun dan melarikan diri.
Peluru minigun bersepah mengejarku. Aku terus berlari mengelak. Namun dua butir peluru kena tepat pada paha dan punggungku. Aku jatuh terguling ke arah lorong belakang bangunan.
Tembakan-tembakan seterusnya hanya kena pada dinding bangunan.
Aku merangkak masuk lebih dalam ke dalam lorong itu, menjauhi jalan utama. Aku sudah kehabisan pilihan. Aku tidak tahu apa lagi yang aku patut lakukan.
Si gergasi tadi berjalan ke arahku. Bayang-bayangnya nampak lebih besar daripada badannya yang sememang besar. Setiap saat, dia semakin hampir denganku.
Aku menoleh ke arahnya. Dia senyum memandangku. Kemudian dia menghalakan minigunnya ke arahku. Aku pasrah. Aku tutup mataku. Jika ditakdirkan di sinilah riwayat aku tamat, aku terima dengan tangan yang terbuka.
Tiba-tiba si gergasi itu menjerit. Aku buka mataku. Badannya dijilat api.
Di belakangnya seseorang sedang menyembur si gergasi itu dengan penyembur api.
Si gergasi itu cuba menggunakan saki-baki tenaganya yang ada untuk menyerang si piromania itu. Tetapi si piromania lebih pantas melibaskan sebuah kapak tepat ke kepalanya. Si gergasi itu tumbang ke tanah. Nyawanya hilang.
Si piromania itu berjalan menghampiriku. Ketika itu barulah aku dapat melihatnya dengan jelas. Dia memakai sut beserta dengan topeng. Kelihatan seperti sut Hazmat, tetapi lebih tebal dan berkualiti. Topengnya pula mirip seperti topeng gas zaman Perang Dunia Kedua. Dia menghulurkan tangannya. Aku menyambut tangannya dan dia memapah aku untuk bangun berdiri.
YOU ARE READING
CERPEN HARI JUMAAT
General FictionCerpen-cerpen baru oleh mereka yang pernah hasilkan novel Fixi. Kongsikan kegembiraan ini setiap hari Jumaat! Siri ini disiarkan sempena tahun 2016 dan kini dah tamat.