CINTA - Julie Anne

4.4K 207 59
                                    

         

  Senyuman seorang pelayan lelaki berusia awal dua puluhan menyambut kedatangan Maisarah ke kafe yang terletak di sebuah hotel lima bintang itu. Maisarah mengangkat empat jari, tanda ada tiga orang lagi yang akan menyertainya petang ini. Pelayan itu mengangguk dan mengisyaratkan agar Maisarah mengikutinya ke salah sebuah meja di sudut sebelah kanan kafe yang hiasan dalamannya didominasi warna coklat tua, putih dan ungu itu.

  Maisarah melabuhkan punggung pada salah sebuah kerusi di meja berbentuk segi empat itu. Selesai mengambil pesanan, pelayan itu beredar meninggalkan Maisarah sendirian. Gadis berusia 31 tahun itu membetulkan duduknya. Beg tangan Guccinya diletakkan di riba. Sebuah telefon bimbit iPhone 6S dikeluarkan dari beg tangan sebelum jemarinya menari-nari di atas layar telefon itu, memaklumkan yang dia sudah sampai pada tiga lagi insan yang sedang dinanti.

  Mereka sudah bertahun-tahun bersahabat baik, dari zaman belajar di UiTM Shah Alam lagi. Kini masing-masing sudah membawa diri. Ezani kini sebagai penolong pengurus di sebuah hotel di Pulau Pinang, Risma kini eksekutif akaun di Setapak dan Suraya pengurus akaun di syarikat suaminya di Johor Bahru. Dia sendiri pula sibuk menguruskan restoran milik keluarga yang dibuka di Shah Alam.

  Beberapa jam sebelumnya.

Ezani membetul-betulkan rambutnya yang panjang berombak keperangan itu. Sebentar lagi dia akan menaiki pesawat ke Kuala Lumpur. Kunjungan kali ini adalah untuk bertemu rakan-rakan karibnya yang sudah lama tidak ditemui. Walaupun sesekali mereka ada berhubung melalui WhatsApp, namun seakan tidak lengkap rasanya andai tidak duduk berbual sambil menikmati kopi dan bertukar-tukar cerita tentang kehidupan masing-masing.

  "Do you really have to go, darling?"

  Tubuh langsing Ezani dipeluk dari belakang. Ezani tertawa kecil saat Datuk Wahid mencium pipinya, misai tebal lelaki itu seakan menggeletek pipinya yang gebu. Ezani tersenyum manja saat kucupan itu pindah ke lehernya yang jinjang.

  "I do. Dah lama I tak jumpa kawan-kawan I tu. Rindu sangat."

"You nak jumpa kawan ke nak jumpa skandal you yang lain?" suara Datuk Wahid menderam di telinga Ezani.

Ezani menoleh, wajah Datuk Wahid yang berkulit hitam manis itu direnungnya penuh manja. "Baby, I kan you punya. Takkan you tak percayakan I kot?"

"Bukan tak percaya... I risau. You tu cantik. I ni dah tua, takut you terpikat dekat orang lain pulak."

Ezani membetulkan rambut yang jatuh menutupi sebahagian wajahnya dengan jari lentik berkuku merah menyala. "Kalau you sayangkan I, bila you nak ceraikan Datin dan kahwin dengan I?"

Datuk Wahid terdiam tidak menjawab. Sebaliknya dia mengeratkan pelukan ke pinggang Ezani. Ezani mengeluh perlahan, faham benar dengan sikap Datuk Wahid yang suka mengelak saat diajukan pertanyaan sebegitu.

Sejam kemudian, Ezani sudah berada di dalam perut kereta mewah yang membawanya ke Lapangan Terbang Antarabangsa Bayan Lepas. Sambil menekan-nekan layar telefon bimbit iPhone 6S Plus yang dihadiahkan Datuk Wahid dua bulan lepas, otaknya masih memikirkan soal dia dan Datuk Wahid.

Sudah tiga tahun dia menjadi simpanan Datuk Wahid. Dari pertemuan pertama di lobi hotel lima bintang tempat dia mencari rezeki sejak empat tahun yang lalu, perkenalan itu berlanjutan ke bilik tidur apartmen mewah di tepi laut yang kemudiannya dihadiahkan Datuk Wahid padanya. Ahli politik berusia lewat 50-an itu selalu mengucapkan kata-kata cinta, mencurahkannya dengan wang ringgit dan membawanya bercuti ke pelbagai destinasi romantis di luar negara, namun apabila ditanyakan soal perkahwinan, pasti lelaki itu akan menolak dengan alasan tidak mahu Datin Rosiah dan anak-anak tahu tentang perhubungan mereka.

CERPEN HARI JUMAATWhere stories live. Discover now