Assalamualaikum bapa,
Ke hadapan bapa yang tersayang dan tercinta. Apa khabar bapa? Puasa tak hari ni? Okey, saya adalah pelapor yang menaip surat ini. Saya nama diri sebagai pelapor dan mulakan dengan memberitahu tujuan surat layang ini diberikan kepada bapa adalah untuk membuat penilaian secara adil terhadap manusia dalam rumah ini.
Berdasarkan bukti-bukti kukuh dan penampakan empat mata, berikut ini disenaraikan laporan KELAKUAN PENDUDUK RUMAH berserta rakaman-rakaman sebagai bukti. Bapa pernah berjanji bahawasanya setiap anggota keluarga berhak untuk bersuara dan meluahkan pendapat kepada bapa. Sesungguhnya laporan ini bertujuan baik bagi meningkatkan ketatasusilaan dan ketakwaan orang dalam rumah ini sempena bulan Ramadhan mulia ini.
Laporan pertama, tiga bulan sebelum Ramadhan. Maisara (16 tahun) didapati balik lambat, dia masuk ikut tingkap belakang. Hasil siasatan pelapor mendapati yang dia keluar dengan Jai, budak rumah sebelah. Melalui rakaman yang disertakan, ada letak berapa kali Maisara keluar dan balik lewat. Jadi, bapa janganlah percaya yang Maisara pergi mengaji dengan kawan rumah sebelah aka adik Jai, sebenarnya dia mengaji dengan Jai dekat belakang rumah. Diharap bapa mengambil tindakan sewajarnya. Tapi jangan risau, mereka tak buat lebih, cuma berdating. Jai tu budak baik, diharap bapa bolehlah booking buat menantu di masa akan datang.
Laporan kedua adalah mengenai Aizam (17 tahun) yang disyaki mempunyai hubungan dengan kawannya Hafiz. Pelapor mendapati mereka selalu masuk bilik duduk lama dan tak keluar-keluar. Satu hari pelapor ternampak dua-dua tak pakai baju. Okey, mereka sedang berlatih nak jadi sado di atas katil. Diharap bapa dapat mengambil tindakan sewajarnya. Masih belum terlambat untuk dibendung, kerana sekiranya tidak ia akan memungkinkan bahawa keturunan bapa nanti tidak bersambung. Sekali lagi diingatkan, pelapor menginginkan kebaikan.
Laporan ketiga adalah mengenai Ahmad (21 tahun). Pelapor mendapati Ahmad tidak menyerahkan sebahagian gaji untuk membayar hutang PTPTN, sebaliknya hanya menyerahkan 10% daripada yang dijanjikan kepada bapa. Selebihnya pelapor mendapati Ahmad telah membeli tiket untuk ke Thailand. Ini adalah hal yang serius kerana Ahmad memungkiri perjanjian. Namun begitu, bapa haruslah mempertimbangkan kerana ada kemungkinan besar Ahmad mahu menjadi penulis travelog dan diharapkan bukunya laris di pasaran dan hutang PTPTN nya langsai. Apapun, perjanjian tetap perjanjian. Kalau buku travelog tu returned ke penerbit dan tak laku, ia juga adalah risiko buat bapa.
Laporan keempat adalah Mama (40 tahun). Mama main kutu dengan jiran dalam 5 kumpulan. Walaupun jumlah tidak banyak tetapi ia sebenarnya menyusahkan dan menyebabkan barangan dapur terpaksa dicatu. Bapa ingat masa hari pertama Ramadhan seorang kena makan seketul ayam sahaja? Itulah akibat main kutu mama. Satu lagi, ini rahsia besar. Karpet dekat ruang tamu yang tukar-tukar masa raya tu sebenarnya mama bukan beli dekat Giant sebaliknya berhutang dengan Uncle Bangla Naseer dengan bayaran ikut suka hati tiap bulan. Diharap bapa mengambil tindakan sewajarnya. Uncle Bangla Naseer juga bukan orang jujur, mark up banyak dari harga asal.
Laporan kelima, Ariz (13 tahun). Buat masa ini pelapor mendapati kegilaan Ariz adalah berselfie di laman sosial dengan pelbagai gaya yang begitu mencurigakan. Kadang ada secalit maskara, secalit lip gloss dan bedak serta penampakan eyeliner. Berkemungkinan Ariz mahu menjadi artis suatu masa nanti. Oh, pelapor juga mendapati Ariz selalu mencuri duit bapa secara berkala bagi membeli barang-barang online terutamanya produk pemutih kulit. Fikirkanlah demi Ariz yang baru berumur 13 tahun itu tindakan yang sewajarnya.
Laporan terakhir ditujukan kepada bapa sendiri (45 tahun). Pelapor mendapati yang bapa selalu menelefon seseorang setiap malam dengan suara manis dan kata-kata manja di depan rumah. Pelapor juga membuat penyiasatan melalui telefon bimbit bapa bahawa bapa ada memuat turun aplikasi wechat bagi berkenalan dengan gadis-gadis muda di pejabat. Bapa juga harus mengadili diri sendiri pada fikiran pelapor sebagai seorang pemimpin rumah yang bertakwa dan pembimbing keluarga sakinah.
Akhir kata, pelapor bukanlah orang luar tetapi anggota keluarga rumah ini. Pelapor mahukan satu perubahan dan tindakan memandangkan Ramadhan pun sedang berjalan. Diharap bapa dapat membendung kegiatan Maisara, operasi sado Aizam, penipuan bayaran PTPTN Ahmad, membanteras program kutu mama, menyekat laman sosial Ariz dan memperbaiki diri bapa supaya uninstall wechat demi kebahagiaan keluarga bapa. Disertakan rakaman sebagai bukti. Sekiranya bapa tidak membuat sebarang tindakan, setiap ahli di dalam rumah ini akan mendapat salinan surat laporan ini setiap hari.
By the way, pelapor request nak family pakai baju hijau pucuk pisang raya tahun ni. Hihi.
Sekian Terima Kasih,
Pelapor yang tidak mahu dinamakan
(HAMBA ALLAH)
TAMAT
YOU ARE READING
CERPEN HARI JUMAAT
Ficción GeneralCerpen-cerpen baru oleh mereka yang pernah hasilkan novel Fixi. Kongsikan kegembiraan ini setiap hari Jumaat! Siri ini disiarkan sempena tahun 2016 dan kini dah tamat.