UNDUR - Syahmi Hafizuddin

9.5K 289 42
                                    

         

Jam tangan menunjukkan pukul 5 petang. Langit sudah kelihatan gelap sejak lebih kurang 10 minit yang lalu. Mendung. Tubuh terasa sejuk tatkala hujan lebat membasahi bumi. Dia duduk di bangku pondok tempat menunggu bas sambil menggosok-gosok kedua-dua belah tangan pada bahu untuk mengurangkan kesejukan.

"Khai..."

"Ha, kenapa?" balasnya.

"Serius aku menyesal tak pakai jaket tadi," kata Bob yang sejak dari tadi hanya berdiri di sebelah. Barangkali meninjau jika ada bas yang akan berhenti di situ.

"Haha, samalah kita," balasnya. Matanya kemudian tertancap pada puluhan titisan hujan yang berguguran di atas jalan tar tidak jauh dari tempat mereka berteduh. Wajahnya berubah. Senyap. Kedua-dua tangan yang menggosok-gosok bahu tadi terhenti.

Bob kemudian duduk di sebelah kanannya. Setelah menoleh ke arah Khairul, baru dia perasan yang riak wajah Khairul sudah berubah. Baru sebentar tadi dia kelihatan biasa-biasa saja. Entah mengapa secara tiba-tiba wajahnya kelihatan suram. Sedih dan seperti tak bermaya.

Bob menghembus nafas.

"Kau teringat pasal dia ke?" agak Bob. Khairul tersentak daripada lamunan, terus memandang ke arah Bob sambil tersenyum pahit. Serba salah rasanya.

"Oh, err. Sorry, sorry."

Bob memegang bahu Khairul. "Kau tau kan aku open je kalau kau nak sembang pasal apa-apa pun?"

"Aku... aku tak biasa sembang pasal dia dengan orang lain. Lebih-lebih lagi lepas dia meninggal dunia," balas Khairul.

"Owh, OK. Tak apalah kalau macam tu."

Perbualan terhenti seketika. Hanya bunyi rintikan hujan ke bumi menjengah cuping telinga. Mereka berdua memandang ke hadapan, ke arah jalan raya yang kosong itu. Tiada lagi kenderaan yang melintasi pandangan mereka setakat ini.

"Bob..."

Bob memandang ke arah Khairul yang memecahkan kesunyian secara tiba-tiba.

"Kat sinilah aku jumpa Ema buat kali pertama." Khairul menggeleng perlahan. "Mana mungkin aku lupa..."

"Bila tu?" tanya Bob.

"Lebih kurang setahun yang lalu. Memang aku tak expect langsung Bob... dia yang pergi dulu."

"Ajal maut Khai, hanya Allah yang tahu."

Khairul mengangguk lemah. "Hmm, dah seminggu berlalu tapi aku rasa macam baru semalam aku jumpa dia. Masih ada banyak lagi benda yang aku nak cerita kat dia, kongsi dengan dia. Tapi..."

"Bawak bersabar je la Khai..."

"Aku bukan apa Bob. Cuma... aku rasa macam aku ni tak boleh buat apa-apa. Kemalangan yang menimpa Ema tu macam terlalu mengejut dan tiba-tiba je dia pergi daripada hidup aku. Kalaulah..."

Ketika itu sebuah bas berhenti di hadapan pondok itu. Kata-kata Khairul terpintas. Perbualan mereka seakan-akan terhenti secara tiba-tiba.

"Ha, sampai dah. Akhirnya! Jom Khai." Bob masuk ke dalam bas itu dahulu. Khairul yang mengikutinya tiba-tiba terhenti. Ada sehelai kertas yang datang entah dari mana melayang lalu melekap tepat pada mukanya.

    Buk!

    Dalam keadaan terkejut, Khairul tergelincir lalu jatuh terduduk di atas jalan.

    "Aduuuhhh!"

    Khairul memaksa dirinya bangun sambil tangan kiri mengusap-usap punggung yang kepedihan. Tangan kanan menarik kertas putih yang melekap pada mukanya itu.

CERPEN HARI JUMAATWhere stories live. Discover now