RINGGIT KE NERAKA - Lokman Hakim

11.5K 279 41
                                    

         

Malam kusam. Aku renung luar jendela dengan harap titis-titis hujan ini diselangi bunyi derap kaki. Biasanya derap kaki mereka akan menyusul sesudah bunyi enjin kereta dimatikan. Namun malam ini hanya ada bunyi titis-titis hujan dan juga gemuruh bertingkahan di langit. Tiada derap kaki. Tiada bunyi enjin kereta.

11 malam dan mereka tak balik-balik lagi.

Aku tak salahkan mereka, bahkan aku memahami mengapa mereka tiada lagi malam ini. Apa yang aku tahu, malam sebegini seeloknya aku menghayati empuk tilam dan hangatnya selimut mendakapku apabila aku tidur. Lupakan mereka. Mereka takkan datang sampai bila-bila. Mereka hanya ada tatkala aku sudah beradu. Aku tidak pernah celikkan mata tatkala dahiku dikucup ketika aku tidur. Mereka sayangkan aku. Namun hidup ini kata mereka, begitu mencengkam.

Untuk kelangsungan hidupku di sini, mereka harus sentiasa berada di luar sana.

Entah dapatkah mereka mengharungi guruh dan hujan ini. Aku berharap mereka basah kuyup.

*

Nota di sisi katil. Seperti biasa, pagi yang hening ini mereka sudah bertolak dahulu untuk ke tempat kerja tanpa menunggu aku bangun. Ia arahan untuk apa yang aku patut buat sepanjang hari – pendek kata, arahan untuk pastikan aku dapat meneruskan kesinambungan hidupku yang bosan ini. Terlalu banyak perkataan jangan itu dan jangan ini. Aku rimas.

Aku koyakkan kertas itu dan terus mandi. Aku mahu buat apa yang aku suka hari ini. Aku capai kepingan wang kertas yang tebal yang telah diselit ke dalam dompetku dan mengiranya satu-persatu.

RM300.

Cukup untuk aku berbelanja seminggu. Itupun kalau aku cermat. Aku tak rasa seronok lagi dengan duit itu.

Maka, sebaik sahaja aku keluar rumah, apabila aku ketemu seorang pengemis yang meraih simpati di laluan ke stesen komuter, aku hulurkan kesemua RM300 itu ke dalam bekas yang disediakan. Aku tak tunggu reaksinya dan lekas-lekas berlari.

Ringgit ke neraka. Kerana ringgit keluarga aku punah. Biarlah aku beri kepada orang yang lebih memerlukan duit itu.

Musim cuti persekolahan. Tatkala komuter begitu sesak dengan orang-orang bercuti, aku pula meneliti keluarga demi keluarga yang berlegaran dalam komuter ini. Ada yang kelihatan daif, tetapi wajah mereka tersemat surah-surah ceria. Maksud aku tadi, mereka itu punya cerita dan saling berbual dalam keadaan girang benar.

Sudah berapa lama aku tidak berada dalam keadaan begitu ya?

Mungkin tidak pernah.

Ada yang pakaiannya begitu mahal jenamanya, tetapi wajahnya tidak tercalit keceriaan langsung. Mungkin dia kehabisan wang pada jenama. Oleh sebablah itu agaknya dia berada di dalam komuter ini serasanya. Sugul memikir wang-wang yang melayang. Oh bukan, aku sedang melihat bayanganku sendiri pada cermin. Seorang pemuda yang kebosanan. Bagaimana hendak ceria tatkala keluargaku sedang ditelan kekayaan yang melimpah ruah itu? Ditelan oleh apa-apa benda yang subjektif sifatnya tetap bukan satu benda yang bagus.

Sebenarnya aku tak ada hala tuju. Aku tak gemar lepak dengan rakan-rakan sekelasku kerana aku rasa mereka kebudak-budakan. Ah, aku pun budak jugak! Tapi aku tak boleh campur dengan mereka. Mereka punya dunia yang aneh. Mereka gemar gajet-gajet mahal, gemarkan aktiviti-aktiviti lasak di hari cuti. Jika bukan itu, mereka akan membincangkan perihal cinta monyet bergayutan di KLCC ataupun Pavilion. Serius, hidup ditelan konsumerisme dan delusi cinta itu bukan benda bagus. Macam aku cakap sebelum ini – ditelan oleh apa-apa benda yang subjektif sifatnya tetap bukan satu perkara yang bagus.

Mungkin aku yang punya dunia yang aneh sebenarnya, kerana orang aneh biasanya tak ramai/tak ada kawan.

*

CERPEN HARI JUMAATWhere stories live. Discover now