STEW DAGING - Fahmi Mustaffa

8K 249 132
                                    

"Hai puan-puan. Harini, Man nak masak satu resepi istimewa. Haa, sesuai kalau nak buat jamuan kan. Maklumlah, zaman ekonomi macam ni; haritu Man ada pergi makan kat satu kafe ni, ya Allah punyalah mahal. Bayangkan, masak lemak cili padi, RM15! Tapi tempat orang kaya ni, yelah, bukan sedap sangat kadang-kadang. Lawa je! Berhias situ sini tapi makanan? Non hado! Kalau bebudak muda tu sukalah, buat Instagram. Baiklah kita ni, cik Jah cik Senah oi, masak sendiri kat laki. Takdelah jantan duk merayau cari makan kat luar. Dah lah mahal, dingoratnya pelayan-pelayan muda ni, silap-silap dapat payung emas kau Senah, Tipah! Bukan kita tak tahu kan, perangai lelaki. Kalau dah asyik balik lewat je, pakaian kemain segak, ha, jumpa Kiah jandalah tu! Siang malam duk mengidam soto lah, bakso lah, silap-silap haribulan mengidam apam siang malam, siapa nak jawab Jah oi! Jantan kan, kena jaga laki kita. Eh pecah lobang!

Haa, takpe, ni ha, hari ini, sempena episod pertama Rancangan Makan Dalam, Man nak ajar cara buat Stew Daging. Tersedappp kat Malaysia ni! Stew ni kan, kalau mat saleh makan, dah tak speaking dia Senah hoi, habis mat saleh dia, nak kat orang melayu je. Kau jangan nak buat resepi ni. Resepi diraja ni Man nak ajar tau. Free je! Salin, jangan lupa, kalau melepas sia-sia hidup kau Timah, kalau laki duk mengidam apam janda seberang!"

Penonton bersorak keriangan.

Azman Kamarul Hisham. Merantau dari Pantai Timur ke kota Kuala Lumpur setelah kematian ayahnya setahun yang lalu. Mek Besoh, ibunya, sudah tidak larat untuk menanggung keluarga mereka. Penyakit kencing manis yang dihidapinya memaksa Dr Rahman memotong kaki kanan Mek Besoh sebelum merebak ke seluruh anggota. Sejak hari itu, Azman ke Kuala lumpur berbekalkan lima keping not RM 50, dengan harapan sinar di hujung terowong yang gelap itu bukan fantasi dalam lapangan hidup nihilnya.

"Ha, mula-mula, minyak kena panas. Kalau tak, nak menumis apa Senah? Bengkak bawang duk serap minyak, satu apa pun tak jadi. Memasak ni, kena banyak bersabar."

Begitu juga Azman yang sabar sedari kecil. Sabar mendengar dengusan, atau kadangkala hempasan tangan abahnya ke muka Mek Besoh. Musim tengkujuh adalah musim yang suram, di mana hasil tangkapan ikan yang kurang menyebabkan abah pulang dari laut marah-marah. Marah kepada hujan dan Tuhan di langit gamaknya. Mek Besoh hanya mampu menangis dan berdoa, kadangkala menyebut nama Allah ketika kaki Aboh terhempas ke dahi isterinya, meraung dia. Ah, syurga isteri nyata di bawah tapak kaki suami bukan? Kamu puas hati, wahai Tuhan?

"Rempah. Kalau takda rempah Limah, toksah berangan nak masak. Masak Stew takda rempah, patutlah laki lari oi! Masukkan bunga lawang, buah pelaga, kayu manis dan cengkih. Eh kalau pop pop pop meletup tu, ha, kau letak sekali bawang merah, bawang besar, bawang putih dan halia. Lepas tu? Eh menumislah biar wangi!"

Kalaulah hidupnya sewangi novel cinta yang tebal di pasaran, tentu lebih indah. Tentang pengorbanan yang diakhirkan dengan kejayaan dan kasih sayang. Tetapi cinta bukan untuk semua manusia. Tiada pemilikan dalam cinta walau difirman Tuhan kita dicipta berpasangan. Ramai yang sunyi hidup sendiri, namun ada yang lebih sakit kerana masih terasa sunyi setelah berumah tangga. Betapa cinta itu ironi dan bukan untuk manusia semuanya. Barangkali itu pelajaran terbesar Azman. Tentang cinta.

"Kalau zaman dulu, orang giling rempah-rempah ni. Sekarang semua pemalas, blender siap. Tapi percayalah, rasa tak sama Bedah. Lepas tu, kita letak tepung gandum sikit, biar dia masak. Caramelized. Ha, itulah pentingnya English education!"

Cinta membawanya jauh ke kota Kuala Lumpur untuk mencari permulaan baharu. Menjadi Azman yang baharu, tanpa perlu cinta dan penerimaan. Cinta itu guru terbaiknya. Betapa dia pernah dimalukan ketika melafazkan kata cinta kepada teman baiknya sendiri, Jamal. Jamal yang diakrabi ketika masih dalam buaian, tiba-tiba menjadi jijik saat Azman ingin menukarkan persahabatan mereka kepada percintaan.

CERPEN HARI JUMAATWhere stories live. Discover now