2 jam sudah berlalu, masih tiada hasil yang boleh dibanggakan. Penantian yang membosankan lagi menyeksakan. Lukisan alam yang sepatutnya memukau mata yang melihat, tidak berapa menghiburkan pada malam ini. Langit tidak berbintang. Ianya bagaikan hamparan kanvas hitam yang tiada nilainya. Apa yang boleh dilihat adalah setompok warna putih berbalam dilindungi awan tebal yang langsung tidak berupaya menarik perhatian penontonnya. Satu-satunya hiburan yang ada hanyalah deruan ombak yang tidak kenal erti penat. Ombak yang terus mendayu cuba memeningkan Azzam, Alim, dan Sayza. Mujur mereka bertiga telah menelan Novomin sebelum turun ke laut.
"Kau kata dekat sini banyak sotong, Azzam. Banyak gila aku sotong aku dapat ni," perli Alim sambil menarik candatnya perlahan-lahan.
"Kau sabarlah, Alim. Aku rasa sotong-sotong tu takut tengok muka kaulah," sampuk Sayza yang berlagak cool. Hakikatnya, perempuan yang bajet cool ini sebenarnya penakut.
"Aku handsome. Sepatutnya bila kita turun laut, berpuluh-puluh ribu ekor sotong berkerumun minta dicandat," jawab Alim dengan sifat narsisis yang tiada tandingan.
Azzam tidak dapat menahan tawanya. Dia tergelak sambil menampar rangka bot beberapa kali. "Itu sotong lain. Sotong tu tak payah cakap la. Kalau sotong tu datang, aku terus berenang balik Kuala Lumpur."
"Pergi la kau berenang balik. Aku nak bawa bot ni pergi Pulau Kapas. Dekat sana ada chalet. Boleh aku tidur atas katil. Nak baring berlantaikan papan bot ni, sakit badan aku esok," sampuk Alim yang sudah tidak lagi mampu bertahan untuk terus menunggu sotong menyerah diri pada candatnya.
"Jangan tinggalkan aku seorang dekat tengah laut ni. Aku takut," Sayza jujur dalam celahannya.
Azzam terus menarik candatnya yang sudah lama tenggelam di dalam perut laut. Dililit kemas talinya, Azzam terus duduk di hadapan Alim dan Sayza.
"Kau tahu ke pasal tempat ni, Sayza?"
"Janganlah cerita. Aku tak nak dengar." Sayza tahu apa yang ada dalam fikiran Azzam. Azzam pantang dicabar.
"Cerita apa? Cerita seram ke?" Alim pula tiba-tiba teruja ingin tahu apa yang cuba disampaikan Azzam. Lagipun, Alim suka tengok Sayza diserang ketakutan.
Mata Azzam bergilir-gilir memandang Alim dan Sayza. Pada mulanya Azzam tidak mahu menceritakan kisah yang didengarinya sewaktu dia kecil tetapi memandangkan sudah 2 jam mencandat tetapi tiada hasil, dan malam yang panjang itu perlukan hiburan, Azzam mengambil keputusan untuk bercerita.
"Aku dengar orang kata tempat ni pelik."
"Azzam!" rayu Sayza keras.
"Alah, kalau kau tak nak dengar, kau tutup telinga kau je la. Aku nak cerita dekat Alim ni."
"Tah kau ni Sayza. Takut sangat. Bukan ada apa pun dekat laut ni. Kau pernah tengok penanggal terbang merentas Laut Cina Selatan? Tak pernah, kan? Cepat la cerita, Azzam." Alim melunjurkan kakinya mendapatkan posisi relaks. Alim sudah bersedia.
Bot yang dinaiki bukanlah bot nelayan yang boleh menampung sebanyak 20 orang. Bot mereka bot kecil sahaja. Sayza tidak ada tempat untuk larikan diri. Terpaksalah Sayza mendengar kisah yang bakal diceritakan Azzam.
* * *
Ceritanya macam ni. Alkisah beberapa tahun selepas Tanah Melayu mencapai kemerdekaan, sekawan meredah ombak yang tidak pernah tenteram demi sebuah misi. Dikhabarkan, nama mereka adalah Sofia, Bert, dan Refdi. Walaupun nama mereka tak kedengaran seperti nama biasa yang didengari pada tahun sekitar 1950-an, tetapi itulah yang aku dengar.
YOU ARE READING
CERPEN HARI JUMAAT
Aktuelle LiteraturCerpen-cerpen baru oleh mereka yang pernah hasilkan novel Fixi. Kongsikan kegembiraan ini setiap hari Jumaat! Siri ini disiarkan sempena tahun 2016 dan kini dah tamat.