"Mahukah kau diberi peluang untuk menjadi Tuhan?"
Itu kali terakhir kau dan mereka berinteraksi. Ia merenggut perhatianmu, bukan? Pada mulanya kau berasa tidak selesa dengan pertanyaan atau pelawaan sebegitu, lebih-lebih lagi datangnya dari golongan seperti mereka. Entah apa muslihat yang terlantai di sebalik pertanyaan sebegitu rupa.
Selepas itu, kau menjadi marah -- ya, sangat marah dengan mereka. Kau jadi berang, hampir sahaja kau menumbuk muka penanya itu kerana kau fikir Tuhan memerlukan kau untuk mempertahankan zat-Nya. Tetapi kau orang baik, mursyidmu telah berpesan bahawa marah itu sifatnya syaitan, lalu kau terus mendiamkan diri. Tetapi kau masih marah-- aku sangat tahu kerana aku lihat muka kau merah padam. Menyinga. Wajah kau menyinga tetapi kau mendiamkan diri. Persoalan itu meracuni kau seolah toksik maha bahaya yang mara bahaya.
Rasa ketiga adalah rancu. Kau keliru. Kau keliru sungguh dengan pertanyaan itu. Mata kau yang membundar serasa mengecut, kening kau mula berkerut, seolah terlalu dekat sehingga aku fikir kening kau akan bercantum. Kau sungguh keliru dengan pertanyaan sebegitu. Beberapa fasa seterusnya termasuklah penafian, kemurungan dan jamuan perasaan sehingga kau hilang kemampuan untuk tidur dengan lena.
"Mahukah kau diberi peluang untuk menjadi Tuhan?"
Soalan itu terngiang-ngiang di kedua gegendang telinga kau walau sudah sebulan mereka bertanyakan tentang hal itu setiap hari. Kau selalu terserempak dengan mereka di sebuah lorong terpencil berhadapan dengan satu-satunya masjid yang masih wujud di negara ini. Sampai kau sudah tidak mampu mandi, tidur dan makan tanpa sesaat pun mengulangi pertanyaan itu, menggandakan kerancuan yang mula berdondangan di dalam organ yang diselaputi tengkorak itu.
Aku fikir kau akan melupakan pertanyaan itu -– kau dibesarkan untuk lebih menerima dari bertanya. Mursyidmu sudah pesan berkali-kali bahawa iman kau akan lemah jika kau terlalu banyak bertanya, berteka itu ini. Kau perlu menerima. Tetapi semakin hari kau menjadi semakin liar dalam bertanya dan mempersoalkan. Kau sendiri menjadi semakin hairan, itu tanda sebuah kematangan atau sebuah kebodohan? Tetapi pertanyaan mereka setidaknya berjaya menggoda akal kau yang sudah begitu lama tidak bertanya, hanya menerima.
Aku tidak menyalahkan kau jika kau menolak pelawaan mereka –- sejak kecil kau diajar membaca menulis dan mengira kalam Tuhan. Kau diajar untuk bertindak sebagai benteng terakhir, mereka memerisaikan kau dengan iman sebagai pertahanan yang ampuh ketika ini. Di satu-satunya masjid yang masih wujud di negeri ini, kau mengenal alif ba ta dan mengetahui nama-nama Tuan Paduka. Di sebuah lorong terpencil, tempat kau bermain dan merenung langit yang dibatas dengan kepulan awan. Tetapi kau dilarang bertanya, bukan?
Atau, kau tiba-tiba berasa begitu istimewa?
Pelawaan itu seolah mengangkat kau sebagai tokoh –- ya, kau perlu mengakui itu. Kau selayaknya diangkat junjung sebagai benteng terkuat di masa ini. Kau yang selama ini menerima arahan daripada mursyidmu, kini diberi pelawaan yang terdulang sebagai sebuah kebebasan dengan sudu perak bernama pilihan. Kau tersenyum sendiri memikirkan itu. Godaan itu terbancuh larut sedikit demi sedikit dalam hatimu. Ada ketikanya, kau jemput pelawaan itu ke dalam mimpimu agar tiada sesiapa pun yang tahu bahawa kau sebenarnya dahagakan kebebasan untuk membuat pilihan. Aku lihat kau tidur sambil tersenyum dan bertanding bangkit dengan matahari dengan wajah yang masam. Aku memahamimu.
"Apa rasanya menjadi Tuhan?"
Ketika itu kau sedang memetik anggur untuk dijadikan santapan. Entah kenapa kelopak bibir dan lidah kau tidak mahu bertoleransi dengan rasional akal yang terbenteng dengan ajaran sekian lama. Kau tiba-tiba mengusulkan pertanyaan itu, kemudian berasa sungguh lega kerana menyangka tiada sesiapa yang mendengar bisikan itu. Sudahnya kau menjadi semakin keliru -– kenapa ada bisikan seumpama itu? Dari mana datangnya pertanyaan itu? Dari akal ataupun nafsumu? Barangkali akal juga ingin mengusikmu, sedang peluh mula mengalir kerana kau merasa curang sama tuhan. Kau tidak jadi memetik kesemua anggur itu -- serasa kotor tetapi kau tersenyum bila kau menyucikan diri. Kau tersenyum kerana tindakan itu tidak disengajakan, dan mungkin Tuhan cuba menguji kau dengan nafsu membuat pilihan secara liar.
YOU ARE READING
CERPEN HARI JUMAAT
General FictionCerpen-cerpen baru oleh mereka yang pernah hasilkan novel Fixi. Kongsikan kegembiraan ini setiap hari Jumaat! Siri ini disiarkan sempena tahun 2016 dan kini dah tamat.