RASHID MAT DESPATCH - Regina Ibrahim

4K 191 32
                                    


Hidup di bandar besar Kuala Lumpur memang cekik darah, semua pakai duit. Kadang-kadang ada juga timbul rasa cemburu melihat anak-anak muda sebaya dengan dia berpeleseran di kelab-kelab malam, melepak-lepak di kedai kopi hipster mahal dan kelihatan bergaya ranggi. Rasa teringin itu diiringi dengan proses menelan air liur sahaja.

Gaji RM1200 menjadi Mat Despatch mana mampu untuk segala kemewahan itu, membeli pencuci muka jenama lelaki pun dia harus fikir dua kali, takut lari budget.

Nasiblah dia jenis yang bukan merokok atau bergaya hipster mahal seperti ikon Malaysia Wak Doyok. Kerja pula ada baju seragam percuma tajaan syarikat Maksum Courier Enterprise. Kalau koyak boleh minta ganti, seluar jeans hanya tiga helai bertukar ganti, dua helai seluar slack hitam untuk dipakai kalau pergi kenduri. Sewa bilik di flat Miharja pula hanya RM350 sebulan. Makan? Dia sudah menetapkan hanya sepuluh ringgit sehari, pandai-pandailah mencari gerai dalam perjalanan sewaktu menunaikan kerjaya. Kalau ada teman teman belanja alhamdulillah. Masih ada gerai-gerai yang murah di sekitar Ampang, Petaling Jaya dan Shah Alam kalau pandai cari. Konsepnya mudah sahaja, kalau di bandar besar, kalau kedai mahal cukuplah sekali sahaja, boikot kalau perlu. Malam pula dia membantu gerai teh terik Haja Maideen dapatlah 50 ringgit bertungkus lumus dari pukul 6 petang sampai 11 malam tanpa cuti, kecuali kalau ada gangguan dari Majlis Perbandaran.

Dia bukan tidak mahu ikut teknik survival jahat di kota. Dia tahu dua tiga kawan sekerjaya ada yang melakukan kerja-kerja tidak berkat. Dia anak desa, dia tidak mahu terlibat. Bangsa lain membekal dadah, si haprak Melayu tukang jual, Melayu juga yang beli, tak sanggup rasanya menjana pendapatan sedemikian. Biarlah dia tidak menari mengikut rentak mereka. Paling tidak, ada juga prinsip hidup!

Ada teman-temannya yang bijak menggoda wanita kaya dengan kata-kata, wanita-wanita sepi memang mudah tergoda. Wanita-wanita itu juga dapat duit dari lelaki lain, tidak dapat dia bayangkan bagaimana putaran wang yang bertukar tangan itu. Ada waktunya dia jadi teruja mahu tahu apa? Bagaimana? Perasaan mereka? Tapi ini Kuala Lumpur, kota pantas bijaksana, kita tahu kita diam. Tanya banyak-banyak nanti disanggah pula dengan kata-kata kesat menghina, hidup bakal jadi tidak aman. Ada yang lebih parah, menggoda mak nyah dan gay. Mereka yang mengambil peluang ini merasakan mereka bijak, bergaya dan selalunya menjadikan hidup begitu rahsia sekali. Huh! Tak sanggup rasanya, biarlah dia kekal biasa-biasa sahaja.

Dia tahu semua, tapi ini kotaraya, hidup orang pula, tak perlulah kita terlalu banyak beranalisa. Cukup sekadar kita tahu dan berjaga-jaga. Kalau tahu sekali pun kita tidak ada faedah di bahagian kita, jadi kita jimatkan tenaga. Di kepalanya hanya ada satu pegangan. Dia sudah bertunang dengan Marlisa gadis kelahiran daerahnya yang kini menjadi guru tadika sementara menunggu kerja tetap. Itu cinta hatinya, terlepas yang satu ini hilanglah titik tumpu bahagia.

Malam Jumaat itu sekitar pukul 10 malam, dia melayan pelanggan seperti biasa. Apalah sangat melayan pesanan teh tarik, roti canai kuah parpu dan mee segera yang disantap pelanggan? Mulut kena manis, kata-kata harus sopan, gerak badan harus tangkas, segalanya pasti beres. Pantas cekap dan peramah, Haja Maideen suka akan cara anak desa ini dalam diam. Berbaloi upah 50 ringgit duit upah pekerja bila pelanggan rasa selesa. Orang kota selalunya pergi ke gym, orang kampung macam Rashid inilah senamannya.

"Kau siang kerja despatchkan?" tanya lelaki separuh usia berkopiah putih sewaktu Rashid menghantar teh halia panas dan telur suku masak.

"Ya abang. Ni part time je, kan bagus kalau gerai ni saya yang punya," jawab Rashid mesra. "Eh! macamana abang tahu kerja saya? Glamer juga saya rupanya," dia menyambung jenaka.

"Aku ada barang nak hantar ke Petaling Jaya, malam ni juga, kalau kau mahu tolonglah abang, ada...ada upah, jangan risau."   

"PJ kat mana tu? Section berapa?" tanya Rashid sambil tangannya mengelap meja. "Hantar malam malam ada orangkah? Saya barang pelik-pelik, saya tak buat abang," sambungnya lagi sebagai mengambil langkah selamat.

CERPEN HARI JUMAATWhere stories live. Discover now