"Kau akan muntah bila pertama kali membunuh. Siapa pun akan muntah!" kata Basyar sambil menyuap manakish ke dalam mulutnya yang dibuka luas. Sejak mereka datang ke gerai ini Basyar makan tak henti, dan 30 minit yang lepas dia baru sahaja makan hummus. Mehdad pula tak rasa nak berbuat apa-apa sekarang. Kedua belah telapak tangannya menjadi basah dan wajahnya berubah apabila mendengar perkataan muntah yang dikatakan Basyar apabila pertama kali membunuh orang. Dia sudah mendengar perkataan membunuh sejak dari malam semalam dan keresahan itu mengikutnya seperti bayang-bayang. Tetapi muntah pertama kali selepas membunuh adalah suatu yang baru, yang belum lagi Basyar ceritakan. Dan tiada siapa yang pernah memberitahunya kerja ini adalah kerja yang mudah dan tak meloyakan.
Kedua belah telapak tangannya yang basah itu digosok-gosok di atas paha. Dia mahu mengelak untuk bercakap terlalu banyak kerana sebentar lagi dia akan muntah seperti yang dikatakan Basyar. Tekaknya menjadi kembang. Lebih kembang apabila datang seorang pelayan membawa sepinggan fattoush yang terlihat seperti otak berkecai. Dia hanya melihat fattoush itu dengan kerlingan mata sebelum menolak pinggan dengan hujung jarinya ke tengah meja.
"Jangan risau Mehdad. Kita akan dibayar dengan harga yang mahal untuk kerja ini. Kau boleh melakukan pembedahan buang tanda lahir di pipi kau tu di klinik kulit di Beirut. Duit yang lebih boleh membeli kambing cukup untuk sekandang dan paling penting, untuk bernikah dengan gadis idaman kau, Marsya." Basyar meneguk air pepsi dengan mata yang melirik ke wajah Mehdad, sahabat baiknya itu. Mehdad hanya meneguk air soya suam, senyap dan tidak mahu untuk bertanya lagi apabila Basyar masih lagi mengingati nama Marsya, walaupun baru sekali diceritakan tentang perempuan itu dan tak percaya yang hari ini adalah hari pertamanya mengambil upah untuk membunuh orang. Tapi dia percaya dia akan muntah seperti mana yang Basyar beritahunya sebentar tadi kerana dia bukanlah orang yang kuat mana pun.
Melihatkan Basyar di hadapannya itu membuatkan Mehdad rasa seperti budak kecil. Seperti baru semalam dia bermain golek tayar bersama Basyar di hadapan rumah mereka. Memanjat bukit di Rachaiya dan menjelajah memasuki terowong-terowong gelap bawah tanah yang berdebu. Ketika Basyar menyebut nama Marsya sebentar tadi perutnya menjadi lebih kecut. Seperti ada puting beliung yang melipat segala organ perutnya menjadi pintalan lalu terperosok di bawah pungkur. Dia mula terfikir bila kali terakhir dia berak. Sepatutnya dia perlu berak sekarang atau kalau boleh dia ingin muntah sahaja sekaligus supaya dia tidak perlu muntah nanti selepas membunuh.
Mehdad menerima pelawaan Basyar untuk mengambil upah membunuh hanya kerana Marsya. Marsya adalah gadis yang pertama dicintainya. Bila sebut pertama, dia memang tak pernah bercinta walau sekalipun sebelum ini. Sepanjang dia hidup sehingga umurnya menjangkau 30-an sekarang, kerana dia terlalu malu kepada wanita. Dia tidak pernah berbual dengan mana-mana wanita sebelum ini selain ibunya. Menjadi anak tunggal dari keluarga yang tidak berbapa adalah sukar kerana setiap hari dia harus mencari duit bagi menyara ibunya yang selalu sahaja jatuh sakit. Bapanya telah lama hilang, pada satu tahun di waktu dia masih lagi kecil. Ayahnya menjadi kelasi dan tak pulang-pulang hingga ke hari ini. Kata emak, kapal ayahnya sudah terbalik dilambung badai di tengah-tengah laut Mediterranean. Kata rakannya mungkin dimakan ikan paus seperti kisah Nabi Yunus. Mehdad tidak pernah nangis sebab dia tak tau apa-apa lagi waktu tu. Dia tidak pernah memarahi rakan-rakannya bila mengatakan ayahnya ditelan ikan paus, atau ikan jerung, atau ikan apa sekalipun. Jika diingatkan sekarang, pada waktu ini, dia tetap tidak akan menangis sebab dia tidak ada idea bagaimana untuk mengalirkan air mata pada orang yang tak dikenalinya.
Di kaca TV masih lagi menayangkan filem hidustan Bobby yang entah ke berapa ratus kali dimainkan oleh Abdul Qossim si tuan empunya kedai makan. Dia tidak pernah jemu agaknya menonton filem yang sama atau mungkin sahaja itu adalah satu-satunya pita VCD yang dia ada. Tapi Basyar menonton dengan teruja sepertinya itu adalah pertama kali dia menonton. Filem sudah melepasi 3 lagu dan sudah sampai ke kemuncak yang jika disebut dialog pertelingahan antara Rishi Kapoor dan Prem Nath bapak Dimple Kapadia itu, sudah tentu Mehdad dapat menyebut satu persatu, kerana dia sudah menghafal benar.
YOU ARE READING
CERPEN HARI JUMAAT
General FictionCerpen-cerpen baru oleh mereka yang pernah hasilkan novel Fixi. Kongsikan kegembiraan ini setiap hari Jumaat! Siri ini disiarkan sempena tahun 2016 dan kini dah tamat.