BAHIYOH DAN MASHITOH - Regina Ibrahim

4.7K 193 36
                                    


Dua wanita berkaliber, datang dari daerah yang sama. Satu dari bahagian selatan dan satu lagi dari utara. Siapa yang tidak kagum pada mereka? Sejak masih di bangku sekolah lagi mereka sangat pintar, cantik dan memang sudah nampak akan punya masa depan yang cerah berkilau.

Teman-teman melihat mereka berdua sebagai lambang wanita Melayu baru yang lengkap. Rugi kalau dikahwinkan begitu sahaja, namun jodoh tetap hadir demi mengelakkan maksiat manusia. Lelaki dan perempuan jangan dikekang nafsu mereka, nanti lain jadinya. Tidak ada ibu bapa Melayu yang mahukan anak perempuan mereka tampil seperti Sahara Jacobin, penghibur seksi berambut merah karat, berdada montok dan berbaju ketat (ada gosip yang mengatakan dia pandai mengaji, tapi itu mungkin gosip manja sahaja).

Urutan kehidupan mereka sama sahaja. Melanjutkan pendidikan ke peringkat yang lebih tinggi. Tidak mahu ke luar negara kerana ada pembuktian bahawa sistem pendidikan negara ini sama maju, tidak ada tolok bandingan. Mereka masih mampu mempelajari bahasa Arab dan terjemahan dengan mudah, menang pidato dari masa ke semasa.

Keluarga mana yang tidak bangga? Orang cantik nasibnya tidak sama dengan orang yang berwajah biasa. Sokongan padu membuatkan kedua-duanya subur mekar, nama disebut-sebut selalu di kedai kopi, di sela-sela pertemuan para wanita di desa dan juga sewaktu anak-anak muda desa menelan air liur mengimpikan bini, ya... Anak-anak muda desa tanpa hala, yang hanya ada kerja bila musim durian, berjualan di bulan puasa dan mendapat elaun sewaktu kempen PRU. Jangan diimpikan dua wanita hebat ini.

Mereka berdua tidak lama memegang jawatan di tempat kerja masing masing. Tidak lama menjadi pendidik, kerana mereka aktif memberi ceramah agama pada para wanita dari masa ke semasa. Demi pembangunan wanita setempat, jawapan padat apabila ditanya. Dua-dua bijak dan menjadi idola baru, mengenepikan ustazah-ustazah lasam, tua dan kuno. Mana ada lagi orang mahu melihat ustazah memakai tudung coklat labuh bersarung tangan dan bercermin mata? Garang sangat manusia jadi takut, sudahlah hidup di rumah penuh masalah, si ustazah tua asyik dengan syurga dan neraka. Di zaman ini mana ada lagi ustazah yang berceramah dalam pelat Indonesia (lambang hanya belajar agama di Padang, Sumatera). Ini zaman baru, zaman IT hebat, zaman yang bergabung antara teknologi dan mencari keredhaan hidup.

Kedua-duanya semakin kerap tampil di mana-mana media. Ayu jelita dan cara ikatan tudungnya menjadi ikutan anak-anak dara dan suri rumah. Jangan beritahu pada sesiapa, tapi dandanan itu adalah hasil olesan insan transgender. Susunan warna busana ditata oleh cik gayah sado. Jangan, usah diwar-warkan, biarlah itu semua kekal di balik tabir sahaja. Seksualiti mereka tidak boleh digembar-gemburkan, nanti jadi rosak bangsa. Rasa bersalah pula pendakwah berdua itu apabila sering mengatakan transgender dilaknati tuhan bila mati. Bumi tidak terima. Keliru di akhirat dan macam-macam lagi.

Namun semuanya ditangani dengan sikap profesional. Untuk apa bermasam muka? Kau cari makan, aku juga cari makan. Lagi pula soal hidup transgender adalah topik pancingan mudah, seronok menerakakan orang atas nama panduan sewaktu hidup. Ketawa penonton tak kering gusi, rating tinggi dipenuhi. Gaya juga semakin ranggi.

"Hari ini ustazah nak style macam mana?" tanya sang juru solek.

"Last week saya tengok kat TV, si anu tu ada kilat-kilat kat mata dia...saya nak yang macam tu juga, tapi tak naklah sampai ganas seperti syaitan betina Sahara Jacobin ya...boleh Zie sayang?"

"Owh! Nak yang ada shimmer...boleh ustazah, saya buatkan, pasti meletup. Next week ingat nak kasi ustazah pakai contact lens, saya carilah yang warna coklat muda, tapi yang tu ustazah kena fork out duit sendiri, dalam 120 gitu? Boleh?" Zie menyusun kata.

"Ermmm...insyallah..."

Saban minggu makan tahun, mereka tampil di media. Endorsan produk masing-masing ada habuannya. Mashitoh dapat celak, Bahiyoh dapat bedak. Bahiyoh dapat air mineral suci, Mashitoh dapat air zamzam buatan Taiping. Macam-macam endorsan tiba sebagai rezeki terpijak, suami terpaksa menjadi pengurus dana, siapa lagi yang boleh diharap apabila masuk hal-hal kewangan? Kamu pernah tengok ustazah solo tanpa suami yang popular? Mana ada, suami itu tunggak keluarga, harus dipatuhi sentiasa, kalau gagal nanti masuk neraka!

CERPEN HARI JUMAATWhere stories live. Discover now