CINTA 10 KM - Faizal Sulaiman

4.8K 270 67
                                    

         

"Kau dah daftar belum?" tanyaku kepada Afiq. Lelaki kurus tinggi lampai itu hanya menggaru kepala sambil tersengih-sengih. Seperti jangkaanku dia cepat sahaja menggeleng. Tiba-tiba penumbuk kecilku mendarat di bahunya. Sengihan Afiq luntur berganti wajahnya yang bengang tiba-tiba.

"Kata nak ngorat Laila? Kalau camnilah gayanya melepaslah kau, mangkuk!" ejekku. Aku alihkan kursor tetikus komputer riba lelaki itu lalu membuka tetingkap Google. Jemariku pantas menaip pada papan kekunci komputer Lenovo milik Afiq. Keputusan carian Standard Chartered KL Marathon terpapar sesaat kemudian.

    "Dah. Pergi daftar. Aku dengar dia ambik 10 kilometer," umpanku sambil tersenyum.

Senyuman Afiq kelihatan lebih lebar. Lesung pipit kecil betul-betul timbul di pipi kanannya. Ah! Comelnya! Adoi! Amende aku cakap ni! Fokus...fokus!

    Dari senyuman lebar itu aku tahu bahawa Afiq bersemangat untuk menyertai larian edisi kali ini. Itupun selepas dipujuk bahawa crush-nya Laila, setiausaha boss yang tinggi lampai, rambut hitam berombak (aku memanggilnya kepuk-kepuk, sekadar untuk menyakitkan hati Afiq) dan mempunyai wajah persis Fazura itu turut serta, Afiq seboleh mungkin tidak mahu melepaskan peluang.

    "Thanks beb! Kau memang kawan aku. Aku sayang ko!" balas Afiq teruja tanpa sedikitpun memandang wajahku. Mujur! Tuhan sahaja tahu betapa merah padamnya mukaku menahan malu. Ye Fiq. Aku malu kau cakap camtu. Aku sayangkan kau jugak, heee. Mungkin sayang lebih dari seorang kawan.

Aku tahu perasaan ini kedengaran janggal. Hakikatnya selama lima tahun bekerja satu bumbung dengan Afiq, aku senang dengannya. Afiq pandai melayan kerenahku. Kami banyak menghabiskan masa di tempat kerja bersama-sama. Itu belum lagi keluar waktu makan atau sekali sekala 'tuang' kerja, melepaskan tekanan lalu berkencan menonton wayang di KLCC.

    "Petang ni ajak Laila training kat tasik nak? Boleh aku kenal dia lagi," cadang Afiq tiba-tiba. Perkataan 'lagi' sengaja ditekannya. Kedua-dua kening lebatnya terangkat-angkat.

Lamunanku tercantas. "Kau serius ke ni Fiq?" balasku tidak percaya. Senyuman sinisku melebar kemudian. "Entah-entah larat sampai 1 km je kang," sindirku sambil membetulkan duduk yang canggung.

Afiq menjeling. "Weh? Ko jangan cabar aku," marah lelaki itu sambil menjelingku. Haih! Jeling pun comel!

    "Yelah, yelah. Nanti aku ajak dia. Itu pun kalau si rambut kepuk-kepuk tu nak la," putusku tanpa mempedulikan penumbuk Afiq yang sudah diacungkan ke udara. Aku bangun, bergegas menuju ke kubikel tempat kerjaku dengan perasaan berbelah bahagi. Separuh daripadanya cemburu. Ada juga sedikit perasaan marah. Tidak lebih juga menyampah. Aku merajuk sebenarnya. Tapi patut ke aku merajuk? Huh! Aku tak tahu apa lebihnya Laila melainkan wajahnya yang iras-iras Fazura itu. Itu sahajalah yang dibuat modal budak-budak baru bila terpandangkan Laila buat kali pertama. Kata-kata seperti 'Weh! Secretary bos yang muka cam Fazura tu senyum kat aku!' atau 'Fazura lalu woi' atau 'kalau aku dapat kapel dengan secretary bos kan best. Hari-hari mengadap muka Fazura' sudah lali keluar masuk telingaku baik ketika aku berada di ruangan pejabat, waktu berselisih di ruang koridor atau menikmati minum pagi di kantin.

     Yang aku tahu Afiq adalah antara puluhan lelaki di dalam syarikat ini yang memang memasang angan-angan untuk menjadikan Laila kekasih masing-masing, walaupun tahu bahawa dia akan bersaing dengan Eddy, akauntan syarikat lulusan universiti terkemuka di luar negara atau Luke, duda berbadan sasa pertengahan 30-an beranak satu, sepupu kepada Bos. Kedua-duanya dikhabarkan menaruh hati kepada Laila. Baru minggu lepas aku mencuri dengar Kak Temah, kakak pencuci pejabat merangkap tukang bancuh kopi bermesyuarat tingkap dengan perempuan-perempuan pertengahan umur di pantri lewat minum pagi. Masing-masing mendengar dengan tekun berita panas yang Kak Temah war-war kan. Hasilnya, kesemua dari mereka mula mencemburui Laila. Orang cantik semua pun boleh dapat, kata Kak Temah dengan hambar.

CERPEN HARI JUMAATWhere stories live. Discover now