Ini masih giliran dia memandu ke pantai timur. Aku di sebelah masih segar menemaninya mengharungi gelita trafik lewat malam. Angin menderu masuk kala aku menguatkan muzik Joy Division di radio. Dia fokus hanya memandang ke depan dan aku juga kembali memandang ke depan. Garis jalan putus-putus datang dan bertukar dengan dua garis lurus dan kembali bertukar kepada garis putus-putus, bersinar putih disuluh lampu kereta. Di kiri dan kanan pohon-pohon melambai ditiup angin pantai dan tanah-tanah dikambus debu di dalam gelita. Cahaya di langit dicahayai kampung terdekat yang terletak jauh di pedalaman dan bintang-bintang jelas kelihatan di langit. Bulan sabit malam itu tergantung cantik di ufuk timur.
Selain muzik, gula-gula dan minuman tenaga, apa yang lebih menyegarkan pemandu jarak jauh dari naungan kantuk selain perbualan rancak? Radio yang sedang memutarkan New Dawn Fades diperlahankan berganti dengan suara garau dan pasifku.
Aku tanya pendapatnya perihal patriaki. Kenapa biasanya patriaki diasosiasikan dengan sesuatu yang tidak baik? Tak bolehkah patriaki dikaitkan dengan sesuatu yang baik. Sebagai contoh kita sebagai manusia punya bapa, dan dalam banyak-banyak bapa, atau dalam sistem keluarga yang didominasi seorang bapa, tak akan tak ada bapa yang baik? Filem kebapaan yang baik ada, seperti Red Beard oleh Akira Kurosawa, jadi sudah tentu ia secara tidak langsung punya nuansa patriaki. Patriaki boleh jadi sesuatu yang positif juga, bukan negatif konotasinya seperti yang biasa kita dengar terutama dalam bicara dan wacana golongan feminis. Di mana patriaki diasosiasikan dengan kekerasan, meski ada benarnya juga, cuma apakah ia sebenar-benarnya? Bolehkah pandangan satu hala ini melangkaui itu?
Dia tidak membalas percakapanku dan masih fokus memandu. Aku meneruskan hujah kerana aku tahu dia sedang mendengar dan menghadam sebelum merumuskan apa-apa.
Aku tanya dia tentang matriaki, samada matriaki itu wujud? Dia seakan menganggukkan kepala dan ini membuatkan aku sependapat dengannya. Sebelum ini aku pernah berdepan dengan seorang yang mengaku dirinya feminis radikal dan menyatakan bahawa matriaki tidak wujud. Ia absurd pada aku meski aku faham kerangka teori dan konsep yang cuba ditarbiyahnya, cuma pemerhatian terhadap kehidupan sekeliling lebih-lebih lagi di alam Melayu dan kita di Asia Tenggara ini membolehkan aku petik dua contoh untuk membuktikan kepadanya bahawa matriaki ada. Contoh pertama dan popular sudah tentu orang Minangkabau dengan adat pepatih mereka di mana kaum ibu dan wanita berkuasa ke atas rumah, jadi di sini dalam domain rumah, seorang wanita lebih berkuasa daripada lelaki menurut adat turun temurun, dan bukankah ini dalam satu skala ciri-ciri matriaki? Feminis radikal itu lalu menyatakan bahawa matriaki tidak ada, yang ada cuma matrilineal di mana ia berkaitan harta pusaka yang diturunkan lebih kepada kaum wanita, seperti adat pepatih tadi. Poin kuasa wanita di dalam domain rumah tidak dibalas membuatkan aku perlu beri contoh kedua. Dan sebelum contoh kedua aku beritahunya bahawa jika kita hidup di luar kerangka konsep dan teori yang diyakininya itu, kita dapat lihat kehidupan dengan lebih jelas dan ia mendekatkan kita dengan hakikat.
Isu aku dengan mereka yang masih dinaungi persekitaran akademik dan budaya intelek ini adalah seolah mereka tidak cukup mendampingi realiti seharian, lagi-lagi yang domestik, untuk sedar hal-hal rinci yang lebih esensi alaminya.
Kritikan aku terhadap dunia akademik dan mereka yang meletakkan intelek sebagai tanda aras dan hal super penting ini berlandaskan rasa skeptik. Orang yang benar-benar intelek tak akan terlalu kerap menggunakan istilah 'intelek' dan sebaliknya bukankah lebih baik untuk berkongsi terus buah fikirannya dengan mencakup bidang-bidang yang dikajinya dengan sepenuh hati. Ia sentiasa terbukti dengan tulisan dan esei. Dan poin paling utama yang sentiasa aku luahkan bila berdepan dengan situasi ini adalah, intelek bukan fakulti terpenting bagi seorang pengkarya dan manusia. Ya, benar seorang pengkaji ilmiah dan saintis akan meletakkan intelek mereka paling depan agar dapat meneroka hal-hal baru dan untuk ini kita berterima kasih kepada mereka. Cuma sebagai manusia, dan juga pengkarya, kita juga perlu ambil kira soal emosi, imaginasi, intuisi, nafsu, tenaga fizikal tubuh kita dan juga kepekaan pancaindera.
YOU ARE READING
CERPEN HARI JUMAAT
General FictionCerpen-cerpen baru oleh mereka yang pernah hasilkan novel Fixi. Kongsikan kegembiraan ini setiap hari Jumaat! Siri ini disiarkan sempena tahun 2016 dan kini dah tamat.