RESIPI KEHIDUPAN - Ikmal Ahmad

6.4K 188 50
                                    

         

"Aku jerit 'I quit!' dekat depan muka dia, lepas tu aku terus berjalan laju pergi ke pintu pejabat dia, hempas pintu tu kuat-kuat. Sebelum aku hempas pintu tu, aku ludah dulu dekat carpet tiles yang dia beli second hand tu. Padan muka dia."

"Kau ni macam budak-budaklah. Kau tu engineer kot. Behave macam orang ada ilmu."

"Ala kau ni! Aku baru nak berdrama sikit untuk sesi valediction aku. Actually, aku hadap dia cara baik je pun."

Hasri menepuk-nepuk bahu Jagjeet untuk mengurangkan kepantasan peningkatan paras air pasang di kolam mata Jagjeet.

"Aku risau kita tak akan jumpa lagi lepas ni, Hasri."

"Aku bukannya nak pergi mati pun."

"Aku tak cakap kau mati pun. Kau tahulah kan rutin kerja kita macam mana. Sibuk kerja macam kerja kita ni 20 jam sehari. Untunglah kau dah dapat kemerdekaan. Aku ni akan terus stuck in this hell hole for the rest of my life."

Hasri tergelak besar bukan kerana lawak. Sebaliknya, mengakui kebenaran akan hakikat bahawa penatnya hidup sebagai seorang jurutera elektrik yang ditugaskan untuk memantau pengagihan tenaga elektrik, sistem ventilasi dan beberapa kerja membosankan yang lain di sebuah stesen kereta api bawah tanah Kuala Lumpur.

"Itu masalah kau lah Jagjeet. Aku nak ubah landasan dah."

"I see what you did there. Tapi kau nak kerja apa lepas ni?"

"Aku akan tinggalkan misteri tu dekat dalam kepala kau. Sekurang-kurangnya, kau akan ingat aku sebab wujudnya misteri tu."

"Dey, nee orre naiyee! Kau ni betul-betul anjing!" carut Jagjeet sambil mengangkat tangannya untuk memberi tamparan tak puas hati bercampur manja. Kemudian, ditarik balik. Mereka berdua ketawa terbahak-bahak persis orang gila.

Hasri menghulurkan salam tanda perpisahan dua orang rakan kerja tetapi disambut dengan pelukan Jagjeet. Hasri bukan jenis orang yang boleh mengucapkan selamat tinggal, lebih-lebih lagi apabila air di mata Jagjeet semakin penuh tetapi kali ini, Hasri boleh melawan rasa ingin menangis. Hasri semakin kebal emosinya.

Hasri meninggalkan stesen kereta api bawah tanah itu dengan aman.

Dengan adanya wang simpanannya, Hasri menghabiskan masa selama dua bulan berehat di rumah tanpa memikirkan masalah kewangan. Walaupun tidak lagi dimasukkan duit ke dalam akaun banknya pada setiap hujung bulan, hatinya tetap gembira kerana tidak lagi menjadi mangsa buli di tempat kerja. Hasri tidak lagi perlu bekerja lebih masa kerana boss di tempat kerja lamanya tidak mahu mengambil pekerja baru bagi meringankan beban yang ditanggung Hasri.

Menjadi rutin baru, kalau tidak keluar rumah, Hasri biasanya menghabiskan masa dan aiskrim coklatnya sambil menonton siaran TV Kulinari. Apa yang ditontonnya, mesti dicuba. Sedap tak sedap itu belakang kira.

Sepanjang pertapaan di hadapan kaca TV, Hasri mula membenih niat untuk selam ke dalam bidang pembuatan kek kerana terpengaruh dengan rancangan Qeq Boss, rancangan realiti yang memaparkan drama sepanjang proses penciptaan kek perkahwinan. Melihat kegembiraan yang terukir pada wajah pengantin, membuatkan Hasri merasakan arena pembuatan kek adalah satu bidang yang lebih memberi makna berbanding kerja dahulunya. Hasri ingin menjadi sebahagian daripada senyuman yang terukir di wajah penerima kek seperti yang ditontonnya.

Ketuhar angan-angannya mula memanas, memaksa Hasri untuk mengambil kelas membuat kek. Berhabis ribuan ringgit untuk menghadiri beberapa kelas membuat kek di serata Muara Lumpur. Asas membuat kek yang dipelajarinya, dicuba di rumah. Tidak mengambil masa yang lama, Hasri berjaya menghasilkan kek paling asas, Kek Vanila.

CERPEN HARI JUMAATWhere stories live. Discover now