PAK MAT DAN MAK TIMAH PERGI MAKAN CENDOL- Anuar Shah

4.5K 133 45
                                    




Mereka sedang baring di atas katil. Berkain pelikat dan berkain batik. Berlenggeng. Pendingan hawa dipasang kuat kerana cuaca panas. Dunia semakin panas. Kedua-dua penat dalam kehangatan.

"Jom?" kata Pak Mat.

"Jom ke mana?" tanya Mak Timah.

"Aku teringin betul nak makan cendol," jawab Pak Mat.

"Isy, awak ni buang tebiat ke apa?" soal Mak Timah sambil membetulkan ikat kainnya.

Dia bangun daripada katil tempat dia dan Pak Mat sedang berbaring. Dia berjalan ke cermin meja solek dan mengambil sikat seraya memberus rambutnya.

Pak Mat diam sambil memerhatikan lenggok Mak Timah berjalan. Dia senyum.

"Alah... awak ni. Dah lupa lah tu di mana kita berjumpa," usik Pak Mat.

Mak Timah tersenyum sambil memberus rambutnya yang panjang. Sesekali dia terjumpa uban yang bersembunyi sehelai dua di sebalik rambutnya yang lebat itu. Dia pintal uban yang dia jumpa dan dia tarik.

Walaupun ia menjadi cahaya di dalam kubur, dia ingin semua rambutnya hitam. Dah lama dia tidak inaikan rambutnya. Nanti dia nak minta anak perempuannya, Siti, untuk menginaikan rambutnya.

Pak Mat bangun dan tanpa berlengah lagi masuk ke bilik air, mandi dan bersiap. Dengan memakai baju kemeja corak kotak-kotak dan seluar khaki, Pak Mat solat Zuhur. Dia tahu kalau dia tunggu Mak Timah, sampai bila mereka takkan keluar mencari cendol.

Mak Timah yang termangu-mangu melihat Pak Mat bergegas masuk ke dalam bilik air apabila Pak Mat keluar dan hampir membatalkan air sembahyang Pak Mat. Dia tahu Pak Mat ni ada angin sikit. Kalau Mak Timah lambat, mahu dia kena tinggal. Dia pun nak makan cendol walaupun cendol bukan air sedap kegemarannya. Dia lebih suka makan air batu campur.

Mak Timah tak berapa gemar memakan cendol yang berwarna hijau dan menyebabkan dia teringat kepada ulat beluncas. Walaupun tak sama bentuk kerana ulat beluncas lebih gemuk dan bergerak-gerak, Mak Timah mempunyai pengalaman ngeri yang dia tidak gemar ceritakan kepada sesiapa.

Pengalaman itu melibatkan ulat beluncas, Maggi dan mangkuk berwarna hijau. Itu adalah semasa Mak Timah masih kecil. Namun, kesan peristiwa itu menyebabkan Mak Timah memilih untuk makan air batu campur jika dia diberi pilihan. Selalunya, di mana ada jual cendol, tentu ada air batu campur.

"Mana kunci kereta aku ni?" tanya Pak Mat apabila Mak Timah keluar dari bilik.

"Anak awak bawak lah tu. Dia kan sekarang sibuk ke sana sini mencari Pokemon Go. Entah-entah dah sampai ke Shah Alam. Bawak kereta saya je lah. Kunci kereta ada dalam beg tangan saya," cadang Mak Timah.

"Kereta awak di tempat parking awak kan?" tanya Pak Mat.

"Ye lah. Mana lagi,' jawab Mak Timah.

"Okay, jom. Kita pakai kereta awak je lah. Anak saya tu keluar esok pagi baru kita jumpa. Anak awak pulak bawak kereta pun takut. Dah lama belajar bawak kereta tak pandai-pandai," kata Pak Mat.

Mak Timah hanya senyum. Malas dia nak bertengkar dengan Pak Mat tentang anak masing-masing.

Menggunakan lif di hujung koridor mereka turun ke tingkat 4 untuk ke kereta Mak Timah. Kereta Pak Mat selalunya diparkir di Tingkat 1.

Mereka ke kereta CRV putih Mak Timah dan memandu keluar. Pak Mat terlupa macam mana nak lepaskan brek yang memerlukan dia menekan menggunakan kaki kirinya dan kemudian mematikan penggera kereta. Mereka terpaksa menghadapi bunyi bingit penggera selama 15 saat.

Pak Mat menyumpah sebelum kereta itu dipandu keluar daripada tempat letak kereta.

Pak Mat mengambil masa agak lama untuk mencari pas keselamatan pintu pagar berpalang untuk keluar dari kawasan kondominium mereka. Pengawal keselamatan bangsa Bangladesh yang menjaga pintu itu sedang sibuk mencatat maklumat di lesen memandu seorang amoi yang memakai skirt pendek berwarna merah. Sambil mencari pas keselamatan untuk membuka pagar berpalang itu, Pak Mat sempat mencuci mata melihat kaki amoi yang putih melepak dan sempat menjeling pengawal keselamatan yang sedang menikmati pemandangan yang sama.

CERPEN HARI JUMAATWhere stories live. Discover now