Tiga kalendar kuda sudah digaris-garis, membelek cuti perayaan-perayaan besar Malaysia. Tidak penting bagi kau, tapi penting buat aku. Kalau ada cuti hari hari besar, baru pintu pagar akan dibuka. Masa tu aku akan bawa nasi kandar lauk kepala ikan bawal, buah lai manis berair dari Ropewalk dan air Zappel kegemaran kau.
Kadang kadang kalau pintu pagar tidak dibuka pun aku akan pergi. Mana tahu kalau kalau ada pegawai yang baik, untung nasib dia akan uruskan pertemuan kita. Bungkusan makanan kegemaran kau, kalau terlalu lama tunggu aku serahkan saja pada pengawal, dengan syarat ubat gigi tu, dia serahkan pada kau. Aku tahu kau memang malas gosok gigi kalau ubat gigi bukan dari jenama ini.
Aku minta cepat cepat semua ini berlalu. Dari kanun ke kanun di tahun pertama aku jadi pening, sekejap seksyen 132 bertukar pula jadi seksyen 396, cuba pula ditukar jadi seksyen 305, sehingga naik pening aku mendengar peguambela bangsa India itu menerangkan pada aku. Ada dia sebut pengampunan di Raja apa entah, kita mana ada darah raja raja? Penat, aku tak faham!
Aku mahu waktu itu kembali, kali ini kalau diberi peluang aku akan jadi yang terbaik buat kau. Kalau kau tidak mahu kerja pun tidak apa. Tak payahlah buat kerja pelik pelik, duduk rumah jaga aku, aku akan cuba masak semua lauk-pauk kegemaran kau. Kita berdua saja pun bagus juga tidak ada masalah, aku bahagia.
Memanglah sesuatu yang tidak mungkin kalau aku minta Tuhan kembalikan zaman zaman kita empat beranak berlegar-legar di seluruh Pulau Pinang, menikmati pasembur di Padang Brown, berenang di Batu Feringghi, lari lari dari monyet di Waterfall Kebun Bunga...apa yang kita tidak pernah lakukan? Semua lengkap, ke mana Datsun 120Y ayah kau tidak bawa kita? Tapi itulah...harapan jangan lebih lebih, aku cuma harap pada kau sahaja, keluarlah cepat. Aku rindu sangat mahu hidup macam dulu. Penat naik bas turun bas berjalan menuju ke Jalan Goal dengan hati berbunga bunga.
Kau pun satu, berkawan dengan orang tidak tentu, aku paling meluat tengok kawan kawan kau yang perangai macam jemuan. Memanglah mereka baik-baik bila depan aku, tapi aku orang tua, aku tahu mereka semua jenis yang tidak boleh pakai. Tidak apa, lepas ni kita buat yang terbaik, kau boleh pilih kawan kawan yang betul, tak berkawan pun tidak apa, kawan dengan aku. $350 duit pencen ayah kau cukuplah untuk kita berdua.
Kakak kau yang berkahwin dengan orang alim sekolah pondok di Sungai Patani pun sudah lama pergi. Sekolah pondok tu terbakar tau...aku tidak berapa ralat sangat, sebab selepas berkahwin ada saja benda yang tidak kena di rumah kita termasuk dengan aku aku sekali dan kau dihinanya kerana hidup kita tidak muslimin di mata mereka berdua. Orang ciwi beragamalah katakan, kecewa aku pada kakak kau tidaklah seberapa sangat berbanding kecewa aku menanti kau yang tidak lepas lepas.
Kau ingat janji hari itu? Masa pintu pagar dibuka sewaktu musim Raya Puasa 2013? Kau kata kalau tidak 2015, pasti di awal 2016. Aku tunggu, aku pujuk diri hari hari, aku kata dugaan dunia memang macam ini, lepas ini aku dan kau akan tutup buku dan mula hidup baru. Aku jadi bersemangat balik untuk naik bas turun bas di Dhoby Ghaut. Sabarlah sekejap, susah susah dulu senang bahagia kemudian.
Kalender 2016 ini digaris garis dua kali tau, punya tidak sabar aku tunggu kau. Cuma bulan bila? Aku kurang pasti...alih-alih setiap kali datang, pegawai geleng kepala tidak mahu buka, mahu masuk pun dia tidak bagi. Aku duduk juga, mana tahu hati mereka berubah jadi kasihan pada aku yang tua ini.
Kasar sungguh hidup ini, betullah kata ayah kau dulu dulu, manusia kadang kadang pelik. Ada waktu mereka baik macam malaikat, kalau tidak kena hari bulan, mereka boleh jerkah kita balik.
Aku ini bukan apa, wajah kau mirip benar dengan ayah kau, gerak langkah kau, cara kau bercakap saling tak tumpah seperti arwah. Aku rindu mahu membelai itu semua, itu macam nyawa bagi aku. Aku tak ada sesiapa lagi, arwah kakak kau yang sering dikatakan mirip wajah aku sebenarnya sudah pergi lama, dia pergi jauh dari hidup aku sebelum kebakaran itu lagi. Memang tidak patut, Setiap kali menziarahi aku dia tuduh kau macam-macam, kakak apa perangai macam tu? Itu tak kena, ini tak kena, ada dia sebut kau jadi perompak dan pembunuh. Ditokoknya lagi bahawa semua orang tahu, aku saja yang dia kata buta hati. Kakak jenis apa macam tu?
Aku ini tidak ada pilihan, setiapkali aku rindukan kau, aku akan belai gelang emas 916 yang kau hadiahkan pada aku sebelum kau dibawa masuk ke dalam. Legalah sikit emosi bila aku urut-urut gelang yang aku pakai tidak pernah tanggal ini.
Pagi yang bahagia.
"Assalamualaikum Puan Norhayati, tunggu siapa ni? Awal sungguh dia," sapa Encik Rashid Ahmad yang kembali bertugas di Jalan Goal
"La encik ka...lama tak nampak, tunggu sapa lagi, tunggu Amir la...depa ni lama sungguh buat gheja, sat kata tahun ni, sat kata tahun tu, Enick pi mama lama tak nampak?" aku melepas geram
"Saya baru balik mai Penang, dua tahun di Taiping," balas Encik Rashid pegawai yang segak tampan malah penuh budi bahasa
"Berapa lamalah saya nak kena tunggu ni Encik? Saya ni kadang-kadang tak larat dok naik turun bas, umoq pun bukan dok pelan muda, kadang kadang mai terdehak, depa tak bagi masuk, depa pemuhong kata Amir takdak, pegawai tak bagi jumpa, penat sungguh, awat depa tak bagi hidup jadi mudah?" Aku berbunyi macam berleter ibu-ibu tua nyanyuk.
Encik Rashid bagus, dia senyum saja melihat aku. Tenang orangnya.
"Mailah masuk, kita sembang pasai Amir."
Aku pun rasa lega, kali ini pasti semua akan selesai dengan elok. Aku berdoa dalam hati, aku minta sangat sangat, kali ini bagilah semua lancar. Aku berdoa sungguh sungguh kali ini.
Dipersilakan aku duduk di ruang pejabat yang kecil tapi selesa, Encik Rashid membuka fail, wajahnya kelihatan serius, cermin mata yang ada di atas kepalanya ditarik supaya selesa sewaktu dia menilai kertas kertas dan fail cokelat. Fail Amir agaknya....
"Puan ingat tak sewaktu pengkebumian Amir, puan ada di Hospital Besar Pulau Pinang, sebab sakit teruk? Ni ada tandatangan dan cap jari Puan yang membenarkan semua urusan dijalankan oleh pihak hospital dan penjara Pulau Pinang. Ni lama dah ni, bulan Mac tahun 2015, semua selesai elok dah..." Jelas suara Encik Rashid sambil melihat ke dalam mata aku
Aku diam, aku cubit paha kanan aku, supaya ini bukan mimpi. Betullah kata arwah suami aku, manusia ramai yang pembohong. Tanpa sebarang kata aku bangun, usah dilayan manusia macam ini. Nampak saja baik prihatin, tapi pendusta!
Tuhan pun satu tolonglah tukar nasib untung kami, penuhkanlah sekali impian aku ini. Kenapa susah sangat pada permintaan yang satu itu?
Februari ini aku garis-garis lagi kalendar kuda, 2 hari perayaan Tahun Baru Cina...janganlah sampai otak tua ini lupa. Nasi kandar gulai kepala ikan bawal, kuah campur, ubat gigi, buah lai Ropewalk dan tambang bas Rapid. Memang aku tua, air minuman Zappel kegemaran kau aku lupa!
Aku menanti sebab aku emak Amir ya Tuhan. Permintaan mudah macam ini pun kalau tidak dilayan, apa lagi harapan yang aku ada? Aku bukan minta banyak pun...
TAMAT
YOU ARE READING
CERPEN HARI JUMAAT
General FictionCerpen-cerpen baru oleh mereka yang pernah hasilkan novel Fixi. Kongsikan kegembiraan ini setiap hari Jumaat! Siri ini disiarkan sempena tahun 2016 dan kini dah tamat.