Dia ingat hari ni hari Jumaat dan Jamil, 73 tahun, akan bangun seawal pagi dan berasa dirahmati Tuhan kerana sekali lagi dia akan bertemu dengan penghulu segala hari. Pada pukul 11.30, dia sudahpun bersedia untuk pergi ke masjid dan menunaikan solat Jumaat berjemaah. Ketika dia mandi dan menyanyikan lagu gembira, anaknya Ani akan menyiapkan segala kelengkapannya. Ani akan menyeterika baju Melayu berwarna putih kegemaran ayahnya serta menyediakan kain pelikat dan juga songkok untuk diletakkan di tepi meja kecil. Selepas itu Ani akan bergegas ke dapur untuk menyiapkan makanan tengah hari untuk mengalas perut ayahnya sebelum dia keluar rumah. Kadang-kadang Jamil makan sebelum bersolat, kadang-kadang dia berkeras hanya akan makan selepas pulang dari masjid kerana takut terlambat walaupun masa pada ketika itu hanya menunjukkan pukul 12.30 tengahari.
Jamil ada konsep tentang solat Jumaat yang berbeza dengan makmum, manusia Islam lain-dia melihatnya lebih dari satu kewajipan. Dia melihatnya sebagai satu nostalgia cinta dan juga rukun penyatuan sesama saudara seagama....ataupun....sesuatu yang lebih sukar untuk dijelaskan. Ya nostalgik adalah perkataannya bagi Jamil. Walau musim berubah, manusia bertukar tapi apa yang mengikatnya untuk melihat solat Jumaat sebagai sesuatu yang indah. Dia rindukan segalanya - mengharungi panas terik matahari, berwudhuk dengan air kolam di masjid dan yang paling dia sukai ialah bertemu dengan saudara se-Islam, seperti yang orang lain tak pernah merasainya
Ini bukan masjid yang Jamil hadiri sejak kecil. Seperti manusia yang lain, dia merantau dari satu tempat ke satu tempat dan sepanjang perjalanan itu dia telah memenuhi berpuluh masjid untuk solat Jumaat. Dia baru tinggal di sini sejak beberapa bulan yang lalu. Tapi masjid, walau dimanapun ia pasti akan membangkitkan nostalgia lama.
Selepas mandi, Jamil akan terus bersiap dan memastikan baju Melayu dan kain pelikatnya berada dalam keadaan baik dan sempurna. Kalau ada sesuatu yang tak kena dia akan segera menyuruh Ani menukarnya - kalau ada kotoran atau tumpahan sos atau apa sahaja. Tetapi Ani sudah bersedia untuk ini dan dia akan memastikan pakaian ayahnya itu berada dalam keadaan bersih dan sempurna pada malam sebelumnya. Minyak wangi juga akan diletak di sebelah kain pelikat dan pada pukul 10 pagi, Ani akan menggosok songkok hitam dan memastikan tiada habuk yang melekat padanya. Butang baju Melayu Ani hulur pada ayahnya sebaik sahaja dia lengkap memakai pelikat dan juga baju Melayu.
"Kita perlu beli baju Melayu baru, baju yang ni nampak sudah lusuh," kata ayahnya ketika Ani mengintai di balik birai pintu. Ani hanya mengangguk walaupun hakikatnya, Jamil ada 4 pasang baju Melayu dengan warna yang sama. Kesemuanya masih lagi elok dan bersih, tapi dia akur pada pandangan dan penilaian ayahnya itu. Sedikit pun dia tidak membantah. Dia akur pada memori ayahnya yang semakin lama semakin menghilang.
"Butang baju?" tanya Jamil dan Ani yang memang sedia menggenggam tiga biji butang kecil baju Melayu menghulurkannya pada lelaki tua itu. Jamil menghulurkan tangan untuk menerima butang baju itu dan Ani masuk ke dalam lantas terus menyemat butang baju itu di tempatnya.
"Ayah tak tahu apa ayah akan buat kalau kau takde Ani," kata Jamil masih membelek baju Melayu putihnya.
"Ayah nak makan dulu sebelum pergi masjid? Nasi dah siap."
Jamil tak menjawab. Sebaliknya dia terus duduk di kerusi ruang tamu, tempat biasanya dia duduk sebelum bersedia untk pergi ke masjid. Kerusi itu menghadap ke luar rumah, dengan pintu yang terbuka. Jam menunjukkan pukul 11.45 pagi.
"Kalau ayah nak makan, Ani boleh senduk nasi," kata Ani masih belum berputus asa mengajak ayahnya makan. Nasi masih panas dan lauk telur goreng serta ikan kayu goreng berserta sambal belacan sudah tersedia di atas meja. Tapi Jami masih mendiamkan diri. Pandangannya tertumpu keluar rumah dan dia seolah-olah tenggelam dalam khayalan.
YOU ARE READING
CERPEN HARI JUMAAT
General FictionCerpen-cerpen baru oleh mereka yang pernah hasilkan novel Fixi. Kongsikan kegembiraan ini setiap hari Jumaat! Siri ini disiarkan sempena tahun 2016 dan kini dah tamat.