RAKSAKA ITU DIMAKAN MANUSIA - Lokman Hakim

6.1K 159 20
                                    

         

Aku di sebelah katil yang menempatkan ibuku. Katil ini adalah antara puluhan katil-katil lain yang diduduki pesakit-pesakit kanser yang lain. Di sebelah kiri katil ibuku seorang wanita yang tidak mampu bercakap. Kanser tiroid, kata suaminya.

Acuh tak acuh aku menukilkan cerpen ini. Asalnya catatan akan apa yang aku nampak. Aku tidak boleh berhenti menulis langsung. Ia satu ketagihan. Mungkin juga kerana aku tahu ibuku sudah sembuh dari sakitnya. Ibuku berbaring di katil ini hanya sekadar prosedur. Sedangkan rawatan sebelum ini telah menyembuhkannya. Rawatan misteri.

Aku tidak bersyukur pada Tuhan. Kerana aku tahu, bila-bila masa roda hidup akan berputar. Mengharap tetapi tidak menukang mimpi. Menyayang tetapi tidak menyelami rasa itu ke dasarnya. Aku seorang berhati mati.

Maaf ibu. Aku berada di sini kerana aku mahu memahami mengapa aku tidak mengasihimu lagi. Aku melihat kau terlantar di katil itu, begitu rapuh fizikalmu, tetapi secebis simpati tidak tercerna dalam diri. Aku merasakan kehidupanku sudah tidak normal. Tidak senormal si anak gadis yang menjaga ibunya di katil bertentangan kami. Tidak senormal cinta si suami pada si isteri yang menyuapkan makanan ketika waktu makan tengahari.

Aku salahkan masa. Masa dan jarak memisahkan kita sekeluarga. Memisahkan memori menjadi cebisan demi cebisan yang tak tercantum dengan pertemuan semula. Jejak kasih umpama mitos. Namun aku masih ada moraliti. Moraliti buatkan aku tidak teragak-agak membeli tiket penerbangan balik biarpun aku kehabisan wang bulan ini dek kerana rakus menelan buku-buku. Moraliti juga buatkan aku kembali ke bandar yang aku kira mati ini. Moraliti ini jugalah yang buatkan aku mengerti bezanya menjadi raksasa ataupun manusia.

Moraliti mengekalkan aku selaku manusia di depan matamu. Namun hati kecil terdetik jua, adakah kau dapat melihat dengan hati nuranimu, bahawasanya anakmu ini tidak lagi manusia?

Beradulah ibu. Aku mahu berbual dengan manusia-manusia ini. Mungkin aku akan dapat ketemu manusia di hati mereka. Tidak seperti di metropolitan yang aku huni. Hanya raksasa bertopengkan manusia. Dan aku sendiri telah jadi mereka.

Buku nota hitam aku letak tepi katil ibu. Aku melangkah ke arah balkoni untuk mencuci tangan. Aku perhati bangunan Wisma Saberkas yang dikatakan pemandu teksi, telah mati, terkubur dan hanya tinggal bangunan dan orang-orang mati. Tidak, aku tak setuju. Wisma Saberkas dulu hidup. Dalam memoriku ia tetap hidup seperti mana Julie London menyanyi lagu Cry Me A River tanpa henti dari CD yang aku beli di Amcorp Mall sebelum ini.

Aku bergerak kembali ke tempat buku nota hitamku berada dan mengangkat pen. Aku sebenarnya memikir juga, adakah pen ini sedang menarikan matanya di muka kertas? Atau sebenarnya muka kertas ini sedang menarikan batang pen ini dan menuliskan takdirku di tengah wad kanser ini. Aku dapat rasa muka kertas ini adalah penulis sebenarnya. Aku hanya cerita.

Aku hanya cerita di mana aku adalah raksasa bukan manusia. Ataupun manusia berhati raksasa.

Dua orang lelaki berkopiah hitam, berpakaian seragam, jaket hitam dengan logo Baitulmal bergerak dari katil ke katil. Kata mereka, mereka mencari orang Islam yang tak berkemampuan untuk menanggung kos perubatan. Aku tersenyum kepada mereka dan memikirkan apakah dalam hati mereka ada raksasa. Mereka berlalu dari katil kami dan bergerak ke katil lain.

Aku tak dapat lihat raksasa dalam hati mereka.

Ibu sudah terlena. Aku capai kad penjaga pesakit di dalam beg pakaianku yang terletak di sisi katil lalu aku bergerak meninggalkan wad sebentar. Aku masih membayangkan di atas kepalaku ada sebatang pen gergasi sedang menari dan menuliskan perjalanan hidupku. Ia menjengkelkan. Aku mempercepatkan langkahku menuruni anak tangga. Dari bangunan yang menempatkan wad kanser ini ada satu jambatan kayu yang bagiku vintaj menghubungkannya dengan bangunan di depan. Aku sering membayangkan ada ratusan tangan terbit dari setiap penjuru lorong. Ia menyambar raksasa dalam diriku dan melontarkan jasad manusiaku laksana bola sepak. Kejap ditendang ke hujung. Kejap dilambung ke atas. Kejap dipukul dan dihenyak di atas lantai.

CERPEN HARI JUMAATWhere stories live. Discover now