PETANG TANPA PEDOMAN - Mim Jamil

6.1K 162 30
                                    

Dalam proses mencari juadah di bazaar Ramadhan, aku ditemukan dengan beberapa perasaan. Perasaan-perasaan ini kadang-kadang datang secara serentak dan kadang-kadang secara berturut. Tibanya bulan puasa, hampir setiap petang aku ke bazaar untuk berfoya-foya dengan perasaan-perasaan ini dan mereka tidak pernah jemu singgah ke dalam hati aku.

Perasaan pertama semestinya lapar. Siapa tidak lapar bila masuk bulan puasa? Ada juga manusia yang cuba jadi pretentious dan mula kata benda-benda bullshit. Namun aku jujur, puasa buat aku lapar kerana secara lahiriahnya, aku perlukan makanan.

Bila adanya lapar, datang pula perasaan kedua iaitu sabar. Kalau nak diikutkan hati, mahu saja aku bedal semua makanan di bazaar Ramadhan. Bukan itu saja, boleh juga aku hirup minuman seteguk dua tanpa menunggu masa untuk berbuka. Walau bagaimanapun, aku tahu aku perlu patuh dengan waktu berbuka. Aku juga tahu aku tidak perlu banyak berbelanja di bazaar kerana kadang-kadang ada juga peniaga yang berangan dan jual benda-benda merepek. Aku masih belum boleh lupakan peristiwa laksa Penang yang dibeli hanya dipenuhi kuah yang cair, rasanya sungguh kosong dan tawar. Tidak lupa juga nasi ayam yang aku beli beberapa tahun lepas yang akhirnya bertukar menjadi nasi tulang ayam saja. Perkara macam ini boleh buat mood aku lari untuk seminggu dua. Kadang-kadang aku rasa macam nak boikot bazaar tapi aku tidak mahu mati kelaparan.

Namun begitu, ada kalanya perasaan lapar dan sabar ini tidak mampu dikawal lalu membuatkan perasaan ketiga muncul – serba-salah. Perasaan ini selalunya hadir bila nafsu aku sudah tidak mampu dikawal lalu aku mencurahkan segala wang ringgit yang dibawa untuk membeli segala jenis juadah. Makanan-makanan ini akan memenuhkan perut aku sehingga tahap aku tidak mampu untuk sumbat apa-apa lagi ke dalam mulut. Aku rasa nak muntah, aku mula loya, aku mula naik pening. Bagaikan ikan emas yang tidak berhenti makan, begitulah jadinya dekat aku pada petang-petang tanpa pedoman.

Namun aku ingat lagi pada tahun lepas sewaktu aku berjalan secara solo di salah sebuah bazaar Ramadhan berhampiran. Petang itu sibuk macam hari biasa. Orang ramai berpusu-pusu, ke sana ke mari, ke hulu ke hilir. Para peniaga mula menjerit-jerit, pembeli pula mula membuka mata seluasnya melihat juadah yang membuka selera tatkala ada juga yang meminta sedekah di tepi jalan. Petang itu aku rasa macam nak makan nasi lemak. Nasi lemak dalam erti kata yang sebenar. Jadi aku gunakan taktik biasa setiap kali ke bazaar. Jalan dari hujung ke hujung di leret yang pertama kemudian patah balik di leret yang bertentangan. Taktik ini bagi aku tidak sesuai untuk bazaar yang mempunyai banyak lorong, mungkin akan ambil masa sampai Isyak. Jadi cara ini lebih baik dipraktikkan di bazaar yang kecil dan sederhana seperti yang aku pergi petang itu. Dalam perjalanan sekitar 20 minit, aku sedar ada 3 buah kedai menjual nasi lemak dan kini ada satu lagi masalah yang timbul, which nasi lemak stall should I head to?

Pada waktu itu aku perlu gunakan strategi berikutnya. Aku perlu ambil kira harga, jarak dari tempat aku berdiri, saiz hidangan serta lauk yang disediakan. Selepas membuat perhitungan secara menyeluruh, aku telah memilih gerai Nasi Lemak Kak Amy. Harganya berpatutan, cuma 20 meter dari tempat aku berdiri dan saiz hidangan cukup-cukup untuk perut dan selera aku yang bagaikan seekor gorila. Tidak dilupakan, cuma kedai ini yang menyediakan lauk kegemaran aku – sambal kerang. Aku terus melangkah ke gerai Nasi Lemak Kak Amy tanpa berfikir dua.

"Er, kak, nak nasi lemak," kata aku dengan rasa segan memandangkan ayat aku macam tak berapa nak senonoh.

Gadis itu terus menoleh ke arahku, memandang aku terus ke dalam mata. Umurnya mungkin dalam lingkungan 20-an. Kulitnya sawo matang. Tudung bawalnya diikat cara Wardina. Dia senyum pada aku. Hati aku berdegup kencang.

"Nak apa?" duga dia-yang-aku-tak-pasti-namanya.

"Nasi lemak," jawab aku ringkas.

Dia terus mencedok nasi ke dalam bekas polisterin berwarna putih dengan cermat lalu memandang aku semula. Aku kaku.

"Hm?" tanya dia.

"Ha?" tanya aku semula.

"Nak lauk apa?" tanya dia lagi.

"Kena ambil sendiri ke kak ambilkan?" tanya aku lagi.

Dia hanya tersenyum. Aku terus menggapai senduk sambal kerang namun pada masa yang sama dia juga turut ingin mengambil senduk tersebut. Tangan kami mula macam kena sawan. Bergerak ke depan dan belakang dengan penuh keraguan. Aku pandang ke arahnya dan aku nampak dia senyum padaku. Pada saat itu, ketiga-tiga perasaan yang aku sebutkan sebelum ini datang secara serentak. Dan aku rasa petang itu aku sudah mengenali perasaan yang ke-empat – cinta.

"Er, kak ambilkanlah."   

"Eh, tak payah panggil kak. Panggil saya Amy."

Dia kenyitkan matanya padaku.

Aku terus rasa nak pitam.

TAMAT

CERPEN HARI JUMAATWhere stories live. Discover now